Perkarangan tanah perkuburan kembali sunyi. Orang ramai yang mengiringi jenazah Farah mula pulang ke destinasi masing-masing. Kini yang tinggal hanyalah aku seorang sedang mengadap kubur Farah, isteriku yang masih merah.
Farah, mengapa kau tinggalkan abang sepertimana Linda tinggalkan abang dulu. Mengapa kamu berdua pergi ketika abang amat memerlukan kasih dan sayang dari kamu berdua?
Abang banyak menyiksa perasaanmu Farah. Sepanjang kau menjadi isteri abang, abang tahu kau tidak bahagia seperti isteri-isteri mereka yang lain. Kau banyak memendam perasaan. Kau juga banyak makan hati dengan perangai emak. Namun, semuanya kau telan demi kebahagiaan Farhan dan Azim. Abang banyak menyusahkan kau. Tapi, belumpun sempat abang untuk menebus kembali kesalahan-kesalahan lalu... kau telah pegi meninggalkan abang buat selama-lamanya.
Abang berjanji Farah, abang akan menjaga dan mendidik anak-anak kita. Janganlah kau risau kerana kaulah kekasih abang yang terakhir. Tiada lagi kasih abang buat wanita lain. Kasih dan sayang abang hanya buat kau dan anak-anak kita. Tidurlah kau dengan setenang-tenangnya di sana .
"Khairul..." Suara ayah mertuaku menyapa dari belakang. Kemudian terasa bahuku dipegang. Aku berpaling ke belakang. Ayah mertuaku menganggukkan kepalanya kepadaku.
"Marilah kita pulang. Redhalah dengan pemergiannya. Biarlah dia berehat dengan tenang di sini." Ucapnya. Mataku kembali bergenang dengan air mata. Aku menganggukkan kepala. Perlahan-lahan aku bangun dan melipat tikar yang mengalas dudukku.
Selamat tinggal sayang. Bersemadilah kau di sini dengan tenangnya.
Aku menghayun kaki mengikut langkah ayah mertuaku. Lewat petang itu, kami meninggalkan kawasan tanah perkuburan sebelum senja berlabuh.
TAMAT
No comments:
Post a Comment