Monday, January 31, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 55

Bab 55 : Khairul

Farah masih lagi tidak sedarkan diri. Wajahnya begitu pucat. Tangannya yang berada dalam genggamanku begitu sejuk. Nafasnya begitu perlahan hingga seakan tidak kedengaran langsung bunyi nafasnya.

"Papa, kenapa lama sangat Auntie Mama tidur?" Farhan yang berada di sebelahku menyoal. Awal-awal pagi lagi ayah datang bersama Farhan dan Azim.

"Auntie Mama sakit. Jadi, dia kena rehat." Balasku lalu tersenyum hambar.

"Auntie Mama pun sakit macam mama dulu ke? Nanti Auntie Mama pun nak tinggalkan kita macam mama dulu ke?" Begitu petah sekali mulut comel itu menyoalku. Aku menjadi gugup apabila melihat Farhan cuba mengimbas semula peristiwa yang berlaku kepada Linda dahulu. Jantungku berdegup kencang.

Aku tiada jawapan untuk persoalan yang diutarakan oleh Farhan. Pertanyaannya kubiarkan tidak berjawab. Yang sebenarnya aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepadanya.

"Farhan, jangan bising. Nanti ganggu mama nak berehat." Ayah bersuara kepada Farhan. Farhan lantas menutup mulutnya. Aku tertawa kecil melihat gelagatnya.

Aku kembali menatap wajah isteriku yang kepucatan. Tiba-tiba kelopak matanya seakan bergerak-gerak. Begitu juga dengan tangannya yang berada di dalam genggamanku.

"Farah... bangun sayang. Abang ada di sini. Anak-anak pun ada sekali." Bisikku di telinganya. Aku berpaling kepada ayah dan emak yang duduk berhampiran dengan anak perempuanku di sebelah katil Farah.

"Abang..." Kedengaran suara Farah memanggilku begitu perlahan sekali.

"Ya, sayang... abang ada di sini." Jawabku dengan hati berbunga ceria. Kelopak matanya terbuka perlahan-lahan.

"Syukurlah kamu dah sedar Farah." Ucap emak lalu mengucup dahi Farah. Farah cuba senyum, namun senyumannya begitu tidak bermaya sekali. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

"Mana anak kita bang? Saya nak tengok anak kita." Suaranya begitu lemah sekali.

"Sekejap ya, nanti abang bawa anak kita." Balasku lalu bangun menghampiri katil kecil di sebelah kiri katil Farah. Anakku yang masih kemerah-merahan kuangkat dengan berhati-hati. Perlahan-lahan aku meletakkan bayi kami di atas dadanya.

"Kita dapat anak perempuan sayang." Beritahuku. Farah mengalirkan air mata sambil mengucup dahi bayi kami yang sedang nyenyak tidur.

"Abang dah letak nama pada anak kita?" Soalnya sambil membelai-belai tangan kecil itu. Sekali sekala dia mengucup tangan kecil itu.

"Belum. Biar sayang saja yang namakannya." Dia tersenyum kepadaku.

"Kalau saya letak nama Fatihah, sedap tak bang?"

"Fatihah? Hmmm... bagus juga nama tu."

"Kelak bila saya dah tak ada, bolehlah dia sedekahkan Al-Fatihah kepada saya selalu." Aku tersentak. Cepat-cepat aku meletakkan jariku di bibirnya. Aku menggelengkan kepala tanda tidak suka dia berkata begitu. Dia mengalihkan tanganku dari bibirnya dan tersenyum hambar.

"Farah rasa, Farah takkan lama di sini. Apabila Farah sudah tiada nanti... abang... abang jagalah anak kita; Fatihah, Farhan dan Azim dengan baik ya!" Begitu payah sekali dia cuba menuturkan kata-katanya itu. Hatiku sayu mendengar kata-katanya itu.

"Jangan kata begitu sayang. Farah akan hidup lama. Kan kita dah berjanji akan membesarkan anak-anak bersama-sama." Dadaku bergetar. Akan berulang kembalikah peristiwa lama? Aku tidak sanggup menghadapinya buat kali kedua. Emak sudah mula menangis. Ayah pula sugul sekali wajahnya.

"Maafkan Farah bang. Farah rasa..... Farah tak dapat menunaikan janji itu. Farhan, Azim mari pada mama." Farhan dan Azim memanjat katil Farah.

"Sayang mama sikit." Mintanya. Farhan dan Azim bergilir-gilir mengucup pipi Farah. Aku sudah tidak mampu untuk menahan air mata. Kukalihkan wajahku ke sisi. Tidak mahu mereka melihat air mata lelaki yang mengalir di pipiku.

"Farhan dan Azim bantu papa jaga adik baik-baik ya. Jangan nakal-nakal." Pesan Farah buat anak-anakku. Sekali sekali dia mengerutkan dahi menahan kesakitan. Emak menghampirinya lalu mengambil Fatihah dari pangkuannya dan meletakkan kembali ke katil.

"Mama nak pegi mana?" Azim yang masih kecil menyoal tanda tidak faham dengan keadaan yang berlaku.

"Mama nak pergi jauh sayang..." Suara Farah begitu dalam sekali. Begitu sukar untuk dia berbicara. Namun, demi untuk tidak menghampakan Azim, digagahnya untuk menjawab. Emak sudah tersedu-sedu. Ayah pula kulihat mengesat bibir matanya. Suasana begitu pilu.

"Macam mama A'an dulu?" Farhan memintas bicara Farah. Farah hanya tersenyum. Dia mengusap-usap pipi Farhan. Kemudian membelai-belai rambut Azim. Air mata mengalir dari kelopak matanya.

"Mama sayangkan Farhan dan Azim. Selalu ingat di dalam hati bahawa mama sentiasa sayangkan kamu berdua. Janji pada mama ya!" Farhan dan Azim mengangguk serentak. Farah tersenyum lagi.

"Emak... ayah..." Panggil Farah kepada emak dan ayah. Mereka bergegas menghampiri Farah. Tangan Farah digenggam erat oleh emak.

"Terima kasih kerana menjaga saya selama ini. Maafkan segala kesalahan dan, aduhh..." Farah memegang perutnya. Aku cemas melihat keadaannya.

"Abang panggil doktor ya." Ucapku dan cuba untuk bangun tetapi ditahan oleh Farah. Dia menggelengkan kepalanya. Aku kembali duduk.

"Maafkanlah segala kesalahan saya emak, ayah. Halalkan makan minum saya selama ini." Farah cuba menghabiskan kata-katanya.

"Kami maafkan kamu dan halalkan makan minum kamu." Tersedu-sedu emak. Ayah pula hanya mampu menganggukkan kepalanya sahaja. Farah nampaknya berpuas hati dengan jawapan emak. Dia tersenyum lagi. Dia kembali menatap Farhan dan Azim.

"Ingat ya... mama sayangkan kamu berdua." Ucapnya buat kali ketiga. Ditariknya Farhan dan Azim rapat ke dadanya. Dia memeluk mereka dengan erat. Dadaku bertambah sebak. Aku biarkan sahaja air mata lelakiku mengalir lesu di pipi. Tidak upaya lagi aku menahannya. Mengapa kamu mahu meninggalkan abang sayang? Mengapa semua orang yang aku sayang pergi meninggalkan aku? Adakah aku tidak berhak untuk mengecap kebahagiaan?

"Abang..." Suaranya serak. Aku merenung ke dalam mata Farah sudah kehilangan cahayanya. Wajahnya juga sudah kehilangan serinya.

"Ya sayang." Perlahan aku tunduk lalu mengucup dahinya.

"Farah rasa letih. Farah hendak tidur." Ucapnya kepadaku. Aku mengangguk-angguk. Memahami akan maksudnya itu.

"Tidurlah sayang..." Balasku sambil membelai-belai rambutnya. Kemudian aku mencapai tangannya lalu kukucup berulang kali.

"Kalau emak dan abah sampai, sampaikan salam saya buat mereka ya. Katakan pada mereka bahawa saya mahu berehat." Dia tersenyum lagi. Air mataku berderai kembali.

"Baik sayang. Berehatlah dengan tenang." Selesai sahaja aku berkata, dia menutup matanya. Tangannya terlepas dari genggamanku. Jatuh terkulai di tepi katil. Aku tersentak. Emak meraung sambil memeluk ayah.

Bersambung - Bab 56 : Khairul 


Kasih Di Hujung Rindu : Bab 54

Bab 54 : Khairul

Hampir satu jam Farah dimasukkan di dalam bilik kecemasan. Sudah beberapa kali aku berjalan berulang-alik di hadapan pintu bilik itu. Namun, tiada tanda-tanda doktor atau jururawat akan keluar dari bilik itu. Aku semakin gelisah. Pelbagai kemungkinan yang buruk bermain-main di fikiranku. Ya Allah, kau selamatkan isteriku. Permudahkanlah kesulitan yang dihadapinya.

"Khairul, cuba bawa bertenang. Insyaallah Farah tak apa-apa." Emak bersuara. Aku berpaling kepada emak. Perlahan-lahan aku menapak ke arahnya. Aku mengambil tempat di sebelahnya.

"Saya risau kalau apa-apa terjadi pada dia dan anak kami." Aku menekup wajahku dengan kedua-dua belah tanganku. Air mata seakan bergenang di kelopak mata, aku tahan daripada mengalir. Aku lelaki. Aku harus kuat!

"Kita berdoa saja pada Allah agar Farah selamat. Kita mesti yakin!" Kata-kata emak melegakan sedikit perasaanku. Ayah pula tidak datang kerana terpaksa menjaga Farhan dan Azim di rumahku.

"Tapi, kenapa lama sangat mereka di dalam tu? Apa yang mereka sedang lakukan?" Aku masih tidak puas hati. Aku sudahpun berdiri dan kembali berlegar-legar di hadapan pintu bilik kecemasan. Emak menggeleng-gelengkan kepalanya melihat keadaan aku yang seperti cacing kepanasan.

Tiba-tiba pintu bilik kecemasan terbuka. Kelihatan seorang wanita yang sedang membuka penutup mulutnya berjalan menghampiriku. Aku bergegas mendapatkannya.

"Bagaimana dengan keadaan isteri saya?" Soalku tidak sabar.

"Awak suaminya?" Doktor wanita yang umurnya mungkin dalam lingkungan akhir 30-an bertanya kepadaku.

"Ya." Jawabku sambil mengangguk beberapa kali.

Doktor wanita mengeluh perlahan. Dahinya berkerut. Hatiku bertambah risau apabila melihat keadaannya begitu.

"Isteri anda mengalami tumpah darah. Jadi, dia tidak dapat melahirkan anak secara normal. Pembedahan perlu segera dilakukan. Jadi, saya memerlukan tandatangan anda sebagai suaminya untuk membolehkan kami melakukan pembedahan ke atas isteri anda." Terang doktor wanita itu satu persatu.

Ya Allah, musibah apakah yang Engkau jatuhkan kepadaku? Kami baru mahu mengecap kebahagiaan, dan aku baru saja mahu melimpahkan kasih sayangku buatnya. Tapi, kini Kau mendugaku dengan dugaan yang hebat seperti ini!

"Buatlah apa yang doktor rasa perlu lakukan. Saya bersetuju asalkan doktor dapat menyelamatkan anak dan isteri saya." Balasku dengan bibir bergetar. Dia menganggukkan kepalanya. Tidak lama kemudian, dia kembali masuk ke dalam bilik kecemasan.

"Khairul, kita berdoalah supaya Farah selamat." Aku berpaling kepada emak yang sedang berdiri di belakangku. Tanpa aku sedari, aku telah memeluk emak untuk mencari kekuatan agar dapat aku hadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.

Tiga jam sudah berlalu aku rasa bagaikan tiga tahun lamanya. Lampu bilik kecemasan masih menyala. Ini menandakan doktor masih bertungkus lumus menyelamatkan Farah di dalam. Aku di luar, menanti dengan resah. Jam sudah menunjukkan angka dua belas tengah malam. Suasana sudah lama sunyi. Hanya sekali sekala kedengaran suara petugas-petugas di hospital sedang berbicara sesama mereka. Emak pula sudah lama menghilang ke surau. Katanya hendak membaca Al-Quran.

Sedang aku hampir terlena di bangku, aku didatangi oleh doktor wanita tadi.

"Tahniah encik! Anda mendapat anak perempuan." Ucapnya sambil menyalami tanganku.

"Iya? Alhamdulillah..." Lega perasaanku. Tanpa aku sedari emak sudah berdiri di sisiku.

"Emak, saya dapat anak perempuan. Memang dah lama saya mengidam anak perempuan. Akhirnya Allah perkenankan permintaan saya." Ucapku dengan gembira. Emak juga tersenyum bahagia.

"Tapi..." Bicara doktor wanita itu terhenti. Jantungku seakan berhenti berdegup. Sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas Farahkah?

"Tapi apa doktor? Bagaimana dengan isteri saya? Dia selamat?" Soalku dengan debaran di dada. "Dia selamat tapi, dia amat lemah. Dia mengalami tumpah darah yang agak serius. Dan sekarang dia masih tidak sedarkan diri. Saya sudah lakukan yang terbaik untuknya. Kita berserah saja kepada Allah." Ujarnya sebelum berlalu. Terpaku aku mendengar kata-kata doktor itu. Aku memandang wajah emak.

"Emak, Farah takkan tinggalkan sayakan?" Soalku kepada emak. Air mata emak sudah membasahi pipinya.

"Insyaallah Khairul. Semangatnya kuat." Jawab emak. Dalam masa yang sama, seorang jururawat baru sahaja keluar dari bilik kecemasan sambil menyorong troli yang menempatkan Farah di atasnya. Mereka mahu menempatkan Farah di wad. Aku dan emak mengekori mereka.

Bersambung - Bab 55 : Khairul

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 53

Bab 53 : Farah

"Farah!! Jangan duduk di luar waktu maghrib begini. Tak elok. Sudah, masuk dalam. Khairul, bawa masuk isteri kamu ke dalam!" Emak mertuaku melaung dari dalam rumah. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk tanda faham. Aku menghabiskan kerjaku menyiram pokok bunga di halaman rumah. Khairul pula sedang menyapu daun-daun pokok yang berselerak gugur ke bumi. Sesudah selesai menyiram, aku menuju ke paip lalu memutarnya untuk menghentikan pengaliran air. Aku menyangkut paip getah itu di kepala paip lalu menuju ke buaian. Aku melepaskan lelah di atas buaian. Tidak lama kemudian, Khairul menyertaiku yang sedang berbuai di atas buaian.

Aku akhirnya kalah dengan perasaan sendiri. Demi kebahagiaan anak dalam kandunganku dan juga anak-anak tiriku, aku kembali ke dalam hidup Khairul. Aku rasa langkahku kali ini tidak silap. Aku dijaga dengan penuh perhatian. Emak mertuaku juga sudah berubah sikap. Dia benar-benar berubah. Diriku dan juga kandunganku dijaga rapi. Pelbagai pantang dan nasihat buat wanita yang sedang hamil, diperturunkan kepadaku. Aku benar-benar bahagia dengan kehidupan aku sekarang.

Malah dia sanggup tinggal bersama kami di kota semata-mata mahu menjagaku sehinggalah aku bersalin nanti. Yang membuat aku semakin terharu, ayah mertuaku juga sependapat dengannya. Dan yang kelakarnya, dia menawarkan diri untuk menjaga aku sewaktu berpantang nanti! Semuanya aku terima dengan hati yang terbuka. Biarlah aku membahagiakan diri mereka selagi hayatku dikandung badan.

"Jauhnya melamun. Ingat pakwe lama ke?" Usik Khairul lantas memelukku. Pipiku dikucupnya berkali-kali. Aku ketawa kegelian.

"Haah, ingat pakwe lama. Agak-agaknya... bagaimana keadaan dia sekarang?" Balasku lalu ketawa kecil. Dia tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari bibirku.

"Eh, betulkah sayang teringatkan pakwe lama? Siapa dia? Abang kenalkah dengan dia?" Bertubi-tubi soalan diajukan kepadaku. Dia memusingkan badanku supaya berhadapan dengannya. Wajahnya sedikit cemas. Aku ketawa gelihati melihat gelagatnya.

"Cemburu yaa..!!!" Usikku sambil menarik hidungnya.

"Eh, mestilah. Siapa yang tak sayang bini oii!!!" Balasnya lalu ketawa besar. Aku turut ketawa bersamanya.

"Tak adalah. Mana Farah ada pakwe lain. Abanglah pakwe pertama dan terakhir Farah. Tapi, tak tahulah pula abang. Agak-agaknyalah... Farah nie makwe yang ke berapa ya?" Aku cuba mengujinya. Dia tersenyum lebar mendengar bicaraku.

"Ermm... yang pertama Peah, yang kedua Minah, yang ketiga Temah, yang keempat... ermmm siapa ya?" Katanya sambil mengira-ngira jarinya.

"Amboi!!! Banyaknya dalam senarai... gatal ya!" Lengan tangannya yang terdedah kucubit manja. Dia ketawa terkekeh-kekeh. Suka benar dia dapat mengusikku. Kemudian dia terus memelukku erat.

"Kekasih abang yang pertama sudah tentu Linda. Harap Farah tak marah dengan pengakuan abang ini." Aku hanya tersenyum. Tiada sekelumitpun perasaan marah apabila dia berkata begitu. Malah, aku amat maklum tentang itu.

"Farah faham bang. Farah tak marah." Tangannya membelai wajahku. Betapa bahagianya hidupku tika berada dalam pelukan suami tercinta.

"Dan kekasih terakhir abang, sudah tentu 'mak buyung' nan seorang nie." Selorohnya lalu mencubit pipiku. Aku ketawa besar. Selalu sangat dia mengusikku dengan memanggil 'mak buyung'. Mentang-mentanglah aku sedang 'boroi'. Suka hati dia dapat mengusikku.

"Aduhh..!" Kaki anak dalam kandungan menendang perutku. Terasa bergegar perutku. Aku memegang perutku yang sudah menjangkau sembilan bulan. Hanya menanti hari saja.

"Kenapa sayang? Sudah terasa sakitkah" Khairul kelihatan cemas. Aku menggelengkan kepala dan melemparkan senyuman.

"Taklah. Baby nie nakal, agaknya tak sabar-sabar hendak keluar. Asyik menendang saja. Bergegar kita dibuatnya." Aku ketawa bahagia.

"Lega hati abang mendengarnya. Ingatkan dah sampai masa tadi." Dia menghela nafas kelegaan sambil mengurut-urut dadanya.

"Hai bang! Anak dah nak masuk tiga pun masih cemas lagi?" Usikku. Dia tersenyum.

"Memanglah. Inikan anak pertama buat Farah. Sudah tentu abang risau jika ada kesulitan." Ucapnya bersungguh-sungguh. Aku ketawa lagi. Dia yang lebih-lebih risau. Aku biasa saja!

"Insyaallah bang. Takkan ada apa-apa yang berlaku. Jika ada apa-apa berlaku pada Farah, abangkan ada untuk menjaga baby kita nie." Luahku lalu mengusap-usap perutku. Dia turut sama mengusap perutku.

"Ya Allah... tak masuk-masuk lagi? Takkan hendak tidur di luar tu budak-budak oii!!" Kali ini ayah mertuaku pula melaung dari ambang pintu. Tersentak aku dan Khairul dibuatnya. Kami berdua ketawa gelihati. Cepat-cepat kami bangun dari buaian. Khairul memimpin aku berjalan dengan berhati-hati.

"Oppsss... terlupa pula Farah nak ambil kain tuala yang Farah sangkut di buaian tadi. Sekejap ya bang... Farah pergi ambil." Ujarku lalu hendak berpusing semula ke buaian.

"Tak mengapa, biar abang tolong ambilkan." Ucap Khairul pula.

"It's okay... I can do it! Don't worry." Bahunya kutepuk-tepuk perlahan. Kemudian aku berpusing lalu melangkah perlahan-lahan menuju ke buaian. Tanpa aku sedari kakiku tersangkut pada paip getah yang bergulung di halaman rumah. Aku gagal untuk mengimbangkan diri. Badanku terdorong ke depan dan jatuh terhempap ke bumi.

Ya Allah!!! Sakitnya perutku.

"Abang!!!" Aku menjerit kesakitan. Khairul terkocoh-kocoh mendapatkan aku.

"Sakitnya bang!! Tolong bang... sakit." Rintihku perlahan menahan kesakitan. Tiba-tiba aku terasa air hangat mengalir di pehaku. Aku meraba pehaku.

"Abang, darah bang! Darah..!!" Aku menghulurkan tanganku yang berlumuran darah. Khairul semakin cemas.

"Sabar sayang.. sabar. Abang bawa sayang ke hospital ya! Emak!!! Ayah!! Tolong saya. Farah jatuh!!" Suara laungan Khairul sayup-sayup kedengaran di telingaku. Aku semakin lemah... lemah... Pandanganku semakin kabur dan kelam...

Bersambung - Bab 54 : Khairul

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 52

Bab 52 : Farah

Hari minggu merupakan hari yang aku nanti-nantikan. Ini kerana pada hari minggulah aku dapat mengemas rumah dan melihat-lihat keadaan persekitaran halaman rumah. Selalu juga aku menggembur-gembur tanah pokok-pokok bunga yang aku tanam di halaman rumah. Sedikit sebanyak keluar juga peluh. Sekali sekala aku akan mengajak Hanim suami isteri datang ke rumah untuk makan tengahari. Tapi kini Hanim sudah tidak lagi menetap di kota ini. Dia mengikut suaminya yang telah ditukarkan ke Sabah sebulan lalu. Kini hanya telefon sahaja yang menghubungkan kami. Ahh... rindunya aku pada gelak tawamu, Hanim. Rindu dengan usikan dan jenaka nakalmu. Bilalah kita dapat bertemu kembali.

Mentari terik yang menyerakkan cahayanya ke seluruh alam agak mengganggu kerjaku mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh di dalam pasu bunga yang aku tanam dengan bunga kertas. Peluh membasahi wajah dan leherku. Aku mengesat dahiku dengan belakang tapak tangan. Hmmm... tinggal sepasu ini saja lagi. Lepas habis mencabut rumput-rumput nie, bolehlah aku berehat.

"Assalamualaikum..." Tanganku terhenti mencabut rumput-rumput liar itu apabila terdengar seperti suara memberi salam. Cepat-cepat aku menghabiskan kerjaku. Aku yang sedang duduk bersila, cuba untuk bangun. Aduhh... kakiku agak lenguh apabila bersila agak lama di atas halaman rumah yang berumput halus. Kakiku juga bengkak semenjak kandunganku berusia empat bulan hingga aku tidak boleh memakai kasut yang biasa kupakai ke tempat kerja. Jadi, terpaksalah aku membeli sandal biasa.

Suara memberi salam kedengaran sekali lagi. Aku cuba meninjau dari kejauhan tapi tidak dapat melihat orang yang mungkin sedang berdiri di luar pintu pagar rumahku. Hanya bahagian belakang kereta berwarna putih sahaja yang kelihatan. Aku cuba untuk berjalan pantas, namun keadaan aku yang sudah sarat menghalangnya.

"Waalaikummussalam..." Sahutku dari jauh. Aku semakin hampir dengan pintu pagar.

Tiba-tiba langkahku kaku. Betulkah apa yang aku nampak ini? Emak Khairul sedang berdiri di hadapan pintu pagar bersama-sama dengan Khairul sendiri dan anak-anaknya. Minggu lepas aku dikejutkan dengan kemunculan secara tiba-tiba oleh Khairul. Dan hari ini dia muncul sekali lagi. Kali ini bersama-sama emaknya dan anak-anak. Apa yang dia cuba lakukan?

"Mama... mama... bukalah pagar nie. Azim nak masuk!!" Azim menggoyangkan pintu pagar berkali-kali sambil memanggilku. Farhan pula melambai-lambaikan tangannya kepadaku. Adakah aku sedang bermimpi??

"Mamaaa!!!" Aku tersentak apabila Azim memekik. Aku bagaikan baru tersedar dari mimpi ngeri. Perlahan-lahan aku menapak mendekati mereka yang sedang menanti di pintu pagar. Kulihat wajah Khairul yang kelihatan serba salah. Aku tatap pula wajah emak. Dia tersenyum kepadaku. Biar betul!!! Emak senyum kepadaku?? Aneh sekali perangainya hari ini. Jika dulu, wajahku pun tidak ingin dilihatnya. Apatah pula mahu memaniskan muka kepadaku!

Adakah kedatangan mereka pada hari ini terselindung makna yang bisa menggugat pendirianku? Jangan-jangan mereka mahu mengambil anak yang sedang aku kandungkan ini. Tidak!! Tidak!! Ini anak aku. Aku takkan serahkan kepada mereka. Inilah saja 'harta' yang aku ada. Peluh dingin memercik di dahiku. Nafasku menjadi tidak teratur.

Pelbagai kemungkinan sedang berlegar-legar di benakku. Aku dapat merasakan tanganku menggigil ketika sedang membuka pintu pagar. Perlahan-lahan aku menarik nafas sedalam-dalamnya dan berkata di dalam hati bahawa kedatangan mereka hanyalah sekadar untuk melawatku sahaja. Kemudian aku menghembuskan nafas. Lega rasanya perasaanku seketika.

"Apa khabar mak?" Kataku lalu tunduk menyalami serta mengucup tangannya lembut. Walaupun perbuatannya telah mengguris hatiku, namun dia tetap ibu mertuaku. Sebaik sahaja aku menegakkan kembali badanku, dengan tak semena-mena dia terus memelukku. Aku terpinga-pinga dalam pelukan erat emak Khairul. Mengapa jadi begini?

Aku memandang kepada Khairul seolah-olah meminta penjelasan. Dia hanya tersenyum hambar dan kemudiannya melarikan pandangannya dariku. Kemudian aku bagaikan terdengar esakan halus. Emak Khairul sedang menangis! Tetapi, mengapa?

Aku cuba meleraikan pelukan erat emak Khairul. Perlahan-lahan aku menggenggam tangannya. Memang, dia menangis! Tetapi mengapa dia menangis? Sesuatu yang buruk telah menimpa keluarga inikah? Hatiku menjadi tidak enak.

"Mari mak, kita masuk dulu. Abang, bawa anak-anak masuk." Ujarku lalu memimpin emak Khairul masuk ke rumahku. Di dalam rumah aku menjemput emak Khairul duduk di ruang tamu. Kemudian, aku meminta diri seketika dan menghilang ke dapur. Farhan dan Azim mengekoriku ke dapur.

"Auntie Mama, kenapa Opah nangis?" Soal Farhan kepadaku. Tanganku sedang ligat membancuh nescafe terhenti seketika.

"Ini mesti Farhan nakal. Sebab itulah Opah nangis." Balasku lalu ketawa kecil semata-mata untuk menutup keresahan yang sedang terbuku di dalam hati.

"Mana ada. Kan A'an dah janji dengan Auntie Mama tak nak nakal-nakal." Tingkahnya lalu memasamkan muka. Terhibur aku melihat mimik mukanya. Azim ketawa melihat abangnya seperti merajuk.

"Sudah, mari kita ke depan. Farhan tolong Auntie Mama bawa kuih nie ke depan ya! Bawa baik-baik, jangan bagi jatuh!" Aku menghulurkan sepiring kuih cara berlauk yang aku masak untuk sarapan pagi tadi kepada Farhan. Dia mengangguk lalu menyambut piring kuih dari tanganku dan terus berjalan menuju ke ruang tamu.

"Azim nak bawa apa?" Tanya Azim pula kepadaku. Aku tersenyum lalu tunduk dan mengucup dahinya.

"Azim pun nak tolong mama?" Dia menganggukkan kepalanya bersunguh-sungguh. Aku ketawa gelihati melihat telatahnya.

"Tak apalah sayang. Lain kali sajalah ya!" Balasku lalu mengusap-usap rambutnya. Kemudian aku berjalan beriringan dengannya menuju ke ruang tamu. Aku menarik nafas dan menghembusnya sebelum melangkah.

Di ruang tamu kelihatan emak Khairul sedang melayan perasaannya sendirian. Khairul pula sedang menatap suratkhabar. Aku mendekati mereka perlahan-lahan. Dadaku berdebar kencang. Agaknya apa tujuan mereka datang mengunjungiku? Dan mengapa ibu mertuaku menangis?

"Jemput minum mak." Cawan berisi air nescafe yang masih kelihatan wap panas kuhulurkan kepada emak Khairul. Dia menyambutnya lalu tersenyum kepadaku. Dia tidak terus minum, sebaliknya meletakkan kembali cawan itu di atas meja.

"Farah apa khabar?" Perlahan saja emak Khairul bersuara. Dia merenung wajahku mesra. Tidak seperti dulu, renungannya begitu tajam hingga membuatkan aku gerun.

"Alhamdulillah mak, sihat. Emak macam mana pula? Farah tengok emak macam dah kurus sedikit. Muka emak pun cengkung. Emak sakitkah?" Aku pula menyoalnya. Memang, wajahnya bagaikan kehilangan seri. Kalau dulu aku cukup mengagumi akan kejelitaan emak mertuaku walaupun sudah berusia, namun wajahnya tetap cantik.

Dia tidak menjawab sebaliknya hanya mendiamkan diri. Kemudian wajahnya berkerut-kerut menahan tangis. Aku semakin bingung dengan gelagat emak Khairul. Apa yang sedang berlaku sekarang? Perasaan ingin tahuku melonjak-lonjak. Namun, aku cub menahan daripada bertanya kepadanya. Aku mengalihkan pandanganku kepada Khairul. Matanya tetap tidak beralih dari menatap suratkhabar yang berada di tangannya. Aku kembali mengalihkan pandanganku kepada emak Khairul di hadapanku.

"Kau memang seorang perempuan yang baik. Emak yang jahat menghasut anak sendiri hingga membuatkan kau terseksa begini." Terkedu aku mendengar kata-kata emak Khairul.

"Apa... apa yang emak cakapkan nie? Farah tak faham." Tergagap-gagap aku membalas kata-katanya. Aku menatap Khairul yang sedang memerhatikan kami. Tiada reaksi darinya.

Air mata menitis laju menuruni pipi emak Khairul. Terkesima aku melihatnya. Aku semakin kebingungan. Apa yang telah terjadi???

"Maafkan emak Farah. Emak telah berdosa terhadap kamu. Emak telah memfitnah kamu. Emak mengada-adakan cerita tentang kecederaan yang menimpa Farhan. Disebabkan mulut jahat emak, kamu berdua suami isteri telah bergaduh hinggalah kamu telah dihalau keluar dari rumah. Apalah gunanya hidup seorang isteri jika tidak dapat berada di samping suaminya. Engkau bagaikan digantung tak bertali. Emak telah memporak-perandakan rumahtangga kamu berdua. Maafkan emak Farah." Hatiku terharu mendengar kata maaf dari emak Khairul. Lidahku kelu, tidak dapat berkata. Air mataku gugur tanpa kusedari. Hatiku menjadi hiba.

Ya Allah, Engkau telah memperkenankan doaku selama ini. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Maha Mengetahui. Aku bersyukur ke hadrat-Mu Ilahi. Namaku yang tercemar selama ini akhirnya menjadi bersih kembali. Aku bagaikan telah mendapat kemenangan mutlak!

"Sudahlah emak. Farah tak ambil hatipun tentang kejadian itu. Sudah ditakdirkan nasib Farah begini. Farah redha mak. Mungkin ada hikmah di sebalik perpisahan kami ini." Balasku memujuk emak Khairul. Hatiku hiba melihat dia menangis terisak-isak. Terasa besarnya dosaku kerana membuatkan dia menangis. Khairul dan anak-anaknya terpaku melihat 'drama air mata' di hadapan mereka.

"Betapa mulianya hatimu nak. Walaupun kamu mendapat layanan buruk dari emak, kamu tak pernah merungut atau melenting. Kamu menerimanya dengan sabar dan tabah. Bertuah emak dan ayah kamu kerana mendapat anak yang sebaik kamu. Emak yang tidak pernah bersyukur kerana dapat menumpang tuah emak dan ayah kamu. Emak layan kamu dengan buruk, emak sindir kamu... emak hasut cucu-cucu emak supaya bencikan kamu... namun Allah Maha Besar, Dia tahu kamu tak bersalah dan melindungi kamu. Emak benar-benar menyesal sekarang Farah. Maafkanlah emak. Emak sebenarnya terhutang nyawa kepada kamu. Seumur hayat emak pun belum tentu emak dapat membalasnya." Panjang lebar emak Khairul berbicara. Namun, ayat terakhirnya menyentakkan aku. Adakah dia sudah tahu?

"Terhutang nyawa? Apa maksud emak?" Soalku dengan dada sarat dengan kebimbangan.

"Kamu sudah menjadi sebahagian dari hidup emak. Emak dapat hidup sampai hari inipun semuanya kerana kamu, Farah. Ini..." Dia menarik tanganku ke sisi pinggangnya. Aku menatap wajahnya, cemas!

"Buah pinggang yang berada dalam tubuh emak sekarang adalah kepunyaan kamu,kan?" Terpana aku mendengar kata-kata emak. Betullah tanggapan aku tadi bahawa dia telah mengetahuinya. Aku memandang wajah Khairul meminta penjelasan.

"Abang, bukankah kita sudah berjanji!" Ucapku dengan bibir bergetar.

"Jangan kamu marahkan suami kamu. Dia tidak pernah membuka mulut tentang hal ini. Ayahnya yang telah membuka rahsia ini. Maafkanlah ayah kamu." Lembut suara emak Khairul menusuk ke dalam telingaku. Aku menghela nafas.

Tiada kata yang dapat aku ungkapkan tika ini. Aku dikejutkan dengan pelbagai kejutan. Hinggakan adakalanya aku terasa bagaikan mimpi sahaja. Mula-mula aku dikejutkan dengan kedatangan Khairul. Kemudian kedatangan emaknya dan sekarang pula rahsia yang aku simpan selama ini akhirnya terbongkar juga. Aku tidak pasti adakah kejutan-kejutan ini memberi tanda baik kepadaku atau sebaliknya. Aku sendiri tidak tahu apa peraasaanku sekarang? Gembira? Lega? Sedih? Takut? Tapi, yang pastinya aku sedang keliru!!!

"Kamu maafkan emak tak Farah?" Lamunanku terhenti pabila suara emak Khairul menerjah ke telingaku. Terpinga-pinga aku seketika.

"Emak tak pernah buat salah pada Farah. Emak tak perlu minta maaf. Farah yang bersalah kerana tak dapat menjadi seorang menantu yang baik buat emak dan isteri yang baik kepada Khairul." Aku bersuara merendah diri. Aku menggenggam erat tangan emak mertuaku.

"Kamu terlalu baik sebenarnya... terlalu baik." Perlahan-lahan emak Khairul merapatkan bibirnya ke dahiku. Dahiku dikucup lembut. Terasa perasaan bahagia menyelinap ke dalam jiwaku. Ya Allah, aku bersyukur di atas rahmat yang Engkau curahkan kepadaku pada hari ini. Aku harapkan ianya takkan berakhir.

"Sudahlah mak. Perkara yang lepas, tak perlulah kita ungkitkan lagi. Saya tak pernah menyalahkan sesiapa yang menyebabkan saya jadi begini. Saya salahkan diri saya sendiri kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan hidup dan masa depan saya. Tapi, semuanya telah berlaku. Tak mungkin dapat diundurkan kembali masa itu untuk membetulkan keadaan. Yang berlaku tetap berlaku. Itu hakikatnya, saya akur. Cuma yang dapat saya lakukan sekarang hanyalah berwaspada dan berhati-hati agar tidak mengulanginya buat kali kedua." Jelasku lalu tersenyum hambar. Aku menarik Azim agar duduk di pangkuanku. Kasihan mereka berdua yang tidak memahami apa yang sedang berlaku sekarang. Mungkin yang menjadi tanda tanya mereka hanya mengapa aku dan Opah mereka menangis? Agak sukar untuk menjawab pertanyaan mereka nanti jika ditanya.

"Emak tahu, kamu serik dengan apa yang telah terjadi. Tetapi, emak amat berharap kamu berdua dapat hidup sebumbung seperti dahulu. Berilah kesempatan kepada kami untuk menebus kesalahan yang telah kami lakukan. Mendapat kemaafan dari kamu belum cukup untuk melepaskan kami dari rasa bersalah yang menggunung ini." Aku tersentak. Wajah emak Khairul kutatap tanpa berkelip. Wajahnya menggambarkan pengharapan yang sungguh tinggi.

"Maafkan saya emak. Tak mungkin... tak mungkin! Saya bukanlah seorang isteri yang baik untuk Khairul." Dadaku berdegup kencang. Aku amat cemas sekali.

"Jangan begitu Farah. Jangan kamu hukum Khairul kerana kesalahan yang emak lakukan. Dia sayangkan kamu. Hidupnya tak terurus semenjak ketiadaan kamu. Kembalilah kepadanya. Emak merayu kepada kamu, Farah. Terimalah suamimu kembali." Mendayu-dayu suara emak Khairul merayuku. Hatiku goyah melihat air mata yang mengalir lesu dari kelopak matanya. Ya Allah, kuatkanlah semangat hamba-Mu yang lemah ini.

"Betul Farah, terimalah abang kembali ke dalam hidupmu. Abang amat memerlukan Farah dalam hidup abang. Kaulah kekuatan abang untuk meneruskan hidup setelah ketiadaan Linda. Mungkin tanpa abang sedar abang telah lama jatuh cinta kepadamu, ketika kita sepejabat dulu. Namun Allah telah takdirkan jodoh abang bersama Linda dahulu, kemudian barulah bersamamu. Abang berjanji akan menjagamu dengan baik dan tidak akan mensia-siakan dirimu lagi. Berilah abang peluang sekali lagi untuk membuktikan kata-kata abang pada hari ini." Wajahnya juga penuh penyesalan. Aku menatap wajah Khairul dan emaknya berulang kali.

Mengapa aku dikelirukan begini? Aku benci jika aku terpaksa membuat pilihan yang terlalu sukar untuk dilakukan. Tersepit dengan kemahuan sendiri dengan kemahuan orang lain. Perlukah aku memberi peluang kepada mereka atau mengabaikan sahaja permintaan mereka ini? Aku tak mahu terluka lagi. Aku cukup selesa dengan kehidupan aku sekarang. Mengapa mesti mengganggu hidupku lagi setelah mereka merosakkannya? Memang aku tidak menaruh perasaan benci ataupun dendam, cuma aku serik!! Serik untuk kembali hidup bersama keluarga ini. Kejadian-kejadian itu pasti akan menghantui aku setiap masa. Aku tidak mahu ia mengganggu kehidupan baru aku jika kembali menyertai keluarga ini.

"Jika kamu mahu emak melutut kepada kamupun... emak sanggup asalkan kamu dapat kembali kepada keluarga kami."

"Emak!! Jangan begitu emak." Hampir aku menjerit apabila melihat emak Khairul cuba untuk melutut di hadapanku. Cepat-cepat aku menahannya dan sebaliknya ku yang melutut di hadapannya. Aku menangis di pangkuannya.

"Fikirkanlah Farah, demi anak yang berada dalam kandungan kamu ini. Dia memerlukan kasih sayang ayahnya. Janganlah kamu mahu memisahkan kasih sayang itu sedangkan ayahnya masih hidup. Kamu lihat sajalah apa yang telah terjadi kepada Farhan dan Azim yang kehilangan kasih sayang Linda, mama mereka ketika masih kecil. Takkan kamu mahu perkara yang sama berlaku kepada anak kamu ini. Jika tidak kerana Khairul sendiri, fikirkanlah demi masa depan anak dalam kandungan kamu, demi Farhan dan Azim yang telah menganggap kamu bagaikan ibu kandung mereka sendiri." Emak Khairul tidak jemu-jemu memujukku agar kembali ke pangkuan mereka sekeluarga.

Aku mengangkat kepalaku lalu memandang wajah mulus Farhan dan Azim. Mereka duduk mendiamkan diri di pangkuan papa mereka. Kedua-duanya membisu. Aku sayangkan mereka. Terlalu sayangkan mereka. Mereka bagaikan nyawaku. Mana mungkin aku dapat hidup tanpa kehadiran gelak ketawa dan telatah nakal mereka. Aku amat merana di awal aku kehilangan mereka dulu. Dan kini aku diberi peluang untuk kembali menjadi ibu mereka. Sudah tentu aku dapat menjaga dan membelai mereka. Aku dapat memperdengarkan kisah sewaktu mereka hendak tidur. Aku dapat memasak makanan kegemaran mereka. Haruskah aku menerima peluang ini? Bolehkah ku hidup bersama keluarga ini dan menganggap kejadian itu semuanya seperti tidak pernah berlaku?

Bersambung - Bab 53 : Farah

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 51

Bab 51 : Khairul

Aku kebingungan. Farah memang tidak dapat memaafkan aku. Perbualan kami semalam berakhir setelah Farah memintaku agar pulang sahaja dan dia mahu sendirian. Aku memang berat hati untuk pulang dan jika boleh aku mahu berada di sisinya selalu. Tambah-tambah lagi dalam keadaannya yang sedang hamil.

Pelawaanku untuk menemaninya ditolak mentah-mentah. Memang aku bagaikan sudah tidak wujud dalam hidupnya. Dia seperti sudah menyingkirkan aku dari hidupnya dan tidak memerlukan aku sebagai suaminya. Salah aku sendiri yang terburu-buru membuat keputusan tanpa menyelidik terlebih dahulu. Menyesal pun sudah tidak berguna lagi, nasi sudah menjadi bubur.

"Khairul." Kedengaran emak menyapaku dari belakang. Ketika itu aku sedang berbaring di atas sofa di ruang tamu rumah emak. Semenjak kejadian pertengkaran hari itu, emak sudah jarang untuk berbual-bual dengan aku dan ayah. Aku merasakan sudah tiada kemesraan antara kami sekeluarga. Apabila aku suarakannya pada ayah, ayah hanya tersenyum hambar dan menyatakan bahawa emak sebenarnya rasa bersalah terhadap Farah dan malu setelah mengetahui perkara sebenarnya. Entahlah, yang pasti aku tidak senang dengan kebisuan emak.

Aku bangun dari pembaringan. Emak sudahpun duduk menghadapku. Aku menantikan bicara emak.

"Sudah kau bertemu dengan Farah?" Soal emak perlahan. Pantas aku memandang wajahnya. Terkejut dengan pertanyaan itu.

Aku tidak menjawab sebaliknya hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Bila?"

"Semalam mak!" Balasku yang masih hairan dengan gelagat emak.

"Dia tinggal di mana? Bagaimana dengan dia dan kandungannya, sihatkah?"

"Mengapa emak tanya semua nie? Bukankah emak tak suka bercakap tentang Farah?" Perasaan ingin tahu aku semakin memuncak apabila melihat emak berminat untuk mengetahui keadaan Farah. Apa yang emak ingin lakukan pula kali ini?

Emak terdiam apabila ditanya begitu. Dia menundukkan wajahnya dan tak lama kemudian bahunya terhinggut-hinggut. Aku menerpa kepadanya. Setitis air matanya jatuh dari pipinya.

"Emak, maafkan saya mak. Tak terniat di hati saya hendak menyinggung perasaan emak." Aku amat terkejut apabila menyedari emak menangis. Aku menggengam erat tangan kirinya. Tangan kanannya pula sedang mengusap-usap rambutku.

"Emak yang sepatutnya minta maaf dari kau, Khairul. Emak yang bersalah hingga membuatkan rumahtangga kau berdua hancur. Emak yang bersalah, terlalu ikutkan kata hati. Emak sebenarnya takut kehilangan kasih sayang dari anak-anak kau." Sambil tersedu-sedu emak menuturkan kata-katanya.

Jadi inilah puncanya yang membuatkan emak tidak menyenangi apabila aku berkahwin dengan Farah. Dia takut jikalau kasih sayang Farhan dan Azim beralih darinya. Memang kasih sayang yang Farah curahkan kepada anak-anakku tidak ternilai harganya. Dia sanggup menahan sindiran dan tohmahan dari emak demi anak-anakku. Malah sanggup mendermakan sebuah buah pinggangnya untuk emak. Aku yang buta kerana tidak menyedari betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh Farah buat keluargaku.

"Saya juga bersalah emak, kerana membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Saya telah menghalau dia keluar dan telah membuatkan anak-anak saya terputus kasih sayang darinya yang sudah menganggap dia bagai ibu kandung mereka sendiri. Dia tidak pernah cuba untuk merampas kasih sayang dan perhatian anak-anak saya dari emak. Malah dia cuba untuk mencurahkan kasih sayang buat anak-anak saya yang ketandusan belaian dan perhatian seorang ibu." Luahku kepada emak. Emak terisak-isak menangis. Sekali sekali dia mengesat air mata yang membanjiri pipinya.

Emak mengangguk-anggukkan kepalanya berkali-kali. Air matanya telah lama membasahi pipi tuanya dikesat lagi. Terlakar seribu penyesalan di wajahnya. Aku tahu, emak memang menyesali atas perbuatannya ke atas Farah. Namun, aku tidak pasti samada Farah dapat memaafkan kesalahan emak. Sedangkan aku sendiripun gagal untuk mendapat kemaafan darinya.

"Emak mahu berjumpa dengan Farah, Khairul! Emak mahu minta ampun dari dia. Emak dah banyak berdosa padanya. Dan emak mahu memujuknya agar kembali hidup bersama kau sekeluarga. Bawa emak berjumpa dia ya!" Ucap emak bersungguh-sungguh. Riak wajahnya menggambarkan kesungguhan untuk bertemu dengan Farah.

Permintaan emak memang tidak aku jangkakan. Emak mahu berjumpa dengan Farah sedangkan Farah sudah memberitahuku supaya tidak mengganggu dirinya lagi. Bagaimana dapat aku membawa emak untuk bertemu dengannya.

"Khairul, bawalah emak berjumpa dengan Farah." Pinta emak lagi. Aku diserang perasaan serba salah.

"Tapi mak..." Kata-kataku terhenti. Aku tidak sampai hati hendak memberitahu kepada emak tentang permintaan Farah agar tidak diganggu lagi.

"Emak mahu meminta maaf, bukannya mahu memarahinya seperti dulu. Emak amat menyesal sekarang. Selagi emak tidak mendapat kemaafan darinya, hidup emak takkan tenang. Tidur emak takkan lena. Tolonglah Khairul..." Mendayu-dayu suara emak merayu kepadaku. Hatiku hiba melihat keadaan emak. Sebak dadaku menahan rasa.

"Baiklah emak." Aku memberi persetujuan sedangkan aku sendiri tidak yakin. Mahukah Farah menerima kedatanganku membawa emak bersama. Aku tidak mahu dia membuat tanggapan yang buruk tentang kedatangan kami nanti.

"Kita bawa Farhan dan Azim sekali ya!" Ujar emak dengan wajah yang berseri-seri.

Aku menganggukkan kepala lalu tersenyum hambar. Mungkin dengan membawa anak-anak, dapat mengubah pendirian Farah. Dia teramat sayangkan mereka dan tidak mahu menghampakan harapan anak-anak kecil itu.

Bersambung - Bab 52 : Farah

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 50

Bab 50 : Farah

Tanganku menggigil sewaktu mengangkat minuman menuju pada Khairul yang sedang duduk bersandar di atas buaian di halaman rumah. Perlahan-lahan aku menapak mendekati meja yang letaknya berhampiran dengan buaian itu. Kehadirannya memang memeranjatkan aku. Tiba-tiba sahaja dia sudah berada di depan pintu pagar rumahku.

“Jemput minum bang.” Ujarku kepadanya. Dia berpaling kepadaku lalu tersenyum manis. Dia kemudiannya bangun dan mendekati aku yang duduk di meja. Dadaku berdebar kencang.

“Apa khabar Farah sekarang?’ Soalnya sambil matanya tidak lepas dari memandang kepadaku. Hatiku tidak keruan dibuatnya.

“Seperti yang abang nampak sekarang?” Balasku perlahan tanpa memandang wajahnya. Kulontar pandanganku jauh ke depan.

Suasana kembali sepi. Masing-masing kehilangan kata-kata.

“Ermm… dah berapa bulan?” Dia kembali membuka suara.

“Enam.” Sepatah jawabku. Dia menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Farah bekerja?” Soalnya lagi.

“Sudah tentu. Kalau tidak, macam mana saya nak survive hidup saya dan anak yang bakal lahir ini!” Sinis sekali jawapanku. Dia agak tersentak dengan kata-kataku. Berubah air mukanya. Terdengar keluhan keluar dari mulutnya.

“Abang minta maaf atas kelancangan perbuatan dan kata-kata abang dulu. Abang menyesal dengan perbuatan abang terhadap Farah. Maafkan abang…” Sayu sahaja bicaranya. Kelihatan matanya berkaca-kaca. Kemudian dia meraih tanganku. Erat sekali dia menggenggam jemariku. Aku membiarkan sahaja perbuatannya.

“Abang sudah tahu akan perkara yang sebenarnya. Anak-anak yang bercerita kepada abang. Tapi, janganlah pula Farah menghukum mereka setelah abang mengetahui kebenaran ini.” Sambungnya lagi. Terkedu aku seketika.

“Saya sayangkan mereka. Tak tergamak saya mahu hukum atau marahkan mereka. Mereka bagaikan nyawa bagi saya.” Balasku lalu tersenyum hambar. Entah mengapa hatiku amat terasa apabila dia berkata begitu. Kasih sayang aku buat Farhan dan Azim melebihi kasih sayang seorang ibu buat anaknya. Seekor nyamuk pun aku tak mahu hinggap pada mereka, inikan pula mahu memukul atau menghukum mereka.

“Abang tahu Farah sayangkan mereka. Teramat sayangkan mereka sebenarnya. Entah apa yang merasuk abang pada malam itu hingga sanggup menghalau Farah keluar dari rumah. Setelah apa yang berlaku, abang amat menyesal. Dan setelah mengetahui keadaan sebenar, bertambah-tambah lagilah rasa sesal ini. Maafkan abang Farah… maafkan abang..” Rayunya dengan bersungguh-sungguh. Terkedu aku apabila melihat air jernih menuruni pipinya. Dia menangis? Khairul menangis? Betulkah apa yang aku lihat ini?

“Abang…” Kataku dan mengambil nafas seketika.

“Farah tahu, abang juga teramat sayangkan Farhan dan Azim. Malah tidak mahu mereka disakiti. Kerana merekalah ‘permata’ yang Linda tinggalkan buat abang. Walau sedalam manapun kasih saya pada mereka tetap tidak mengubah hakikat bahawa saya hanya ibu tiri mereka. Farah faham kenyataan itu. Tapi, abang perlu tahu… kasih sayang Farah buat mereka bukannya dibuat-buat untuk mengaburi mata sesiapa. Ianya datang dengan sendirinya. Farah sayangkan mereka bang… tidak tergamak Farah hendak menyakiti mereka. Tapi, abang tergamak menuduh Farah menyakiti mereka. Abang tidak memberikan Farah peluang untuk membela diri Farah. Abang terus menuduh dan menghina Farah. Abang samakan Farah dengan perempuan murahan di jalanan yang tak ubah seperti pelacur. Sampai hati abang kata begitu pada Farah dan kemudian tak cukup dengan hinaan, abang halau Farah keluar dari rumah.” Aku mula tersedu-sedu. Hatiku sedikit lega kerana kali ini aku berpeluang untuk bersuara.

“Abang tahu… abang tahu sayang. Abang telah lakukan kesalahan yang tak mungkin dapat Farah maafkan.” Dia cuba untuk memelukku, namun aku cepat menolak tubuhnya agar menjauhiku. Aku tahu dia tersinggung dengan tindakanku.

“Abang ingin menebus kesalahan abang pada Farah. Abang berharap Farah ikutlah abang pulang ke rumah kita. Kita bina semula hidup baru bersama anak-anak dan juga anak kita yang bakal lahir ini.” Ucapnya dan mengusap-usap perutku perlahan. Di wajahnya jelas tergambar kegembiraan. Berderau darahku apabila mendengar dia menyebut perkataan ‘anak kita’. Secara spontan aku berdiri. Bibirku menggigil.

“Ini anak Farah. Abang tak boleh rampas dia dari Farah.” Aku tiba-tiba menjadi cemas. Inilah satu-satunya anak yang mungkin aku ada dan kini dia cuba untuk mengambilnya dari aku. Aku tidak akan membenarkannya.

“Farah, bawa bertenang sayang. Abang bukannya mahu merampas anak kita. Abang mahu kita kembali seperti dulu, hidup bahagia seperti dulu.” Khairul juga kelihatan cemas melihat gelagatku. Dia juga bangun dan menghadapku. Aku menapak ke belakang dan menjauhinya.

“Abang bahagia sebelum ini?” Soalku bergetar. Dia melihatku dengan hairan.

“Abang sangat bahagia dapat hidup bersamamu sayang. Dan abang mahukan kebahagiaan itu kembali menerangi hidup kita sekeluarga.” Ucapnya bersungguh-sungguh.

“Abang fikir saya juga bahagia?” Aku menyoalnya kembali. Kali ini aku tidak mampu untuk menahan air mata dari gugur berderai menuruni pipiku. Dia tergamam mendengar pertanyaanku.

“Farah tak bahagia hidup bersama abang?” Kali ini suaranya pula bergetar.

Aku mendiamkan diri. Dia kelihatan resah menantikan jawapan dari mulutku. Sedangkan aku sebenarnya sedang berperang dengan perasaanku sendiri. Apakah jawapan yang perlu aku berikan kepadanya?

Bahagiakah aku menjadi isteri kepadanya? Dulu mungkin ya, walaupun kehadiranku tidak direstui oleh emaknya. Tapi setelah kejadian itu, aku sendiri tak pasti dengan perasaanku terhadap dirinya. Masih sayangkah aku kepadanya? Masihkah adakah cintaku buatnya? Masihkah aku memerlukan dia di dalam hidupku?

Bersambung - Bab 51 : Khairul

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 49

Bab 49 : Khairul

Kereta Perodua Kancil berwarna hijau muda berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar rumah Kak Bedah. Aku memerhatikan kereta itu dengan debaran di dada. Memang tidak silap lagi, kereta itu kepunyaan Farah. Dia membunyikan hon beberapa kali. Tidak lama kemudian, Kak Bedah keluar tergesa-gesa lalu membuka pintu pagar untuk memberi laluan kepada kereta Farah untuk masuk.

Nampaknya penantianku selama dua jam tidak sia-sia. Betul kata Farhan bahawa Farah akan datang menziarahi mereka setiap hari Sabtu. Mungkin, tempat kerja barunya hanya bekerja lima hari seminggu. Jadi, ini memberi dia peluang untuk berjumpa dengan Farhan dan Azim pada hari ini setiap minggu. Manakala aku pula terpaksa bekerja enam hari seminggu. Aku menghela nafas lega. Aku masih lagi memerhatikan mereka. Seketika kemudian kelihatan Farhan dan Azim keluar menerpa ke arah pintu kereta yang sudah terbuka. Mereka kelihatan amat gembira menyambut kedatangan mama mereka.

Aku tidak sabar untuk melihat Farah, agak lama dia berada di dalam kereta. Bagaimana rupa dia sekarang yang sedang hamil? Aku teringin sekali untuk berjumpa dengannya. Kalau ikutkan hatiku ini, ingin sahaja aku bertemunya sekarang juga. Tapi, itu bukanlah satu tindakan yang bijak. Perbuatan aku dulu sudah tentunya memberi kesan yang begitu mendalam terhadapnya. Tapi, sampai bila harus aku menunggu? Aku tidak mahu mensia-siakannya lagi. Aku ingin sentiasa berada di sampingnya. Tapi, bagaimana caranya untuk aku mendapatkannya semula?

Sedang aku melayani fikiranku, rupa-rupanya dia sudah keluar dari keretanya. Isteri akukah itu? Walaupun dari jauh, aku dapat nampak dengan jelas rupanya. Pipinya tambah berisi. Perutnya... sudah tentu besar. Agaknya sudah berapa bulan usia kandungannya itu? Wajahnya bertambah cantik. Aku terpaku melihatnya dari kejauhan. Dadaku berdebar-debar. Aku bagaikan jatuh cinta pada isteriku sendiri! Seketika kemudian, mereka bersama-sama menghilang ke dalam rumah.

Apa yang harus aku lakukan sekarang? Takkanlah aku hanya mahu menunggunya di sini? Aku sepatutnya berjumpa dengannya dan memujuknya. Tapi, adakah dia mahu menerima kehadiranku kembali ke sisinya? Aduhhh… sakit kepala aku memikirkannya.

Hampir setengah hari Farah menghabiskan masanya di rumah Kak Bedah. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam rumah itu. Terlintas juga di hatiku untuk menjenguk, tetapi aku batalkan sahaja niatku itu. Hakikatnya aku tidak yakin dengan diriku sendiri.

Tiba-tiba sahaja aku teringatkan akan pertengkaran di antara aku, emak dan ayah beberapa minggu yang lepas. Dalam pertengkaran itu terbongkar segala rahsia yang disembunyikan selama ini.

"Kau sejak akhir-akhir nie mak tengok gelisah saja. Kadang-kadang mak dengar kau mengigau menyebut nama Farah. Apa kena dengan kau?" Soal emak ketika aku sedang berehat sambil menonton siaran berita di televisyen. Ayah yang sedang membaca akhbar hanya menoleh sekilas kepada emak dan kemudiannya menumpukan kembali pada suratkhabar di tangannya.

Pertanyaan dari emak mengganggu sedikit tumpuanku di kaca tv. Aku memperlahankan suara televisyen dan menumpukan perhatian kepada emak.

"Entahlah mak, saya asyik teringatkan Farah. Hampir lima bulan dia meninggalkan kami. Entah di mana dia tinggal sekarang?" Balasku lalu mengeluh perlahan.

"Lagi-lagi perempuan itu juga yang kau ingatkan. Dia sendiri yang keluar dari rumah kau. Nampak sangat dia bersalah." Entah kenapa emak begitu membenci Farah.

"Saya sendiri yang menghalau dia mak." Jawabku. Emak terdiam.

"Emak mahu, kau ceraikan dia. Apa guna kau begini? Lepas kau ceraikan dia, kau boleh cari orang lain untuk gantikan dia." Terlopong aku mendengar kata-kata emak. Takkan sampai begitu sekali.

"Emak, saya tak berniat hendak ceraikan dia. Saya sayangkan dia. Dia bakal ibu kepada anak saya. Sebenarnya saya dah tahu hal yang sebenarnya emak. Cukuplah mak, berhentilah dari terus membenci Farah. Dia menantu emak dan tak lama lagi dia akan melahirkan seorang lagi cucu emak."

"Apa? Farah mengandung?" Ayah yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, menyampuk perbualan di antara aku dan emak.

"Ya, ayah." Jawabku lalu tersenyum.

"Alhamdulillah… mana kau tahu? Kau sudah bertemu dengan dia? Di mana dia sekarang?" Bertubi-tubi pertanyaan dari ayah. Aku hanya tersenyum. Memang sudah lama ayah menggesa aku untuk mencari Farah. Dan memang aku berusaha mencarinya, cuma aku tidak tahu di mana dia berada sehinggalah Farhan memberitahuku.

"Yang sebenarnya, saya belum bersemuka dengannya. Saya hanya melihatnya dari jauh. Rupa-rupanya dia ada berjumpa dengan anak-anak di rumah pengasuh mereka. Itupun, secara tak sengaja Azim terbuka cerita mengenai pertemuan mereka dengan Farah. Saya tak tahu di mana dia tinggal dan di mana dia bekerja sekarang." Aku berterus terang kepada ayah. Nampaknya ayah begitu berminat dengan ceritaku. Suratkahbar sudah dilipat dan diletakkan di atas meja. Dia menumpukan perhatiannya kepadaku.

"Apa?? Farah ada berjumpa dengan Farhan dan Azim? Secara sembunyi-sembunyi pula?" Emak kembali menyinga. Merah padam mukanya. Aku kecut perut melihat riak wajah emak.

"Apa salahnya. Lagipun budak-budak tu sakit selama ini pun disebabkan terlalu rindu pada Farah. Awak tengoklah keadaan kesihatan mereka semenjak kebelakangan ini, semakin baik. Kita seharusnya bersyukur sebab Farah tetap tidak mengabaikan kasih sayangnya terhadap Farhan dan Azim. Walaupun anak bertuah awak nie dah menghalau dia keluar, namun kasih dan sayangnya terhadap cucuc-cucu kita tak pernah surut." Ayah cuba menasihati emak. Aku hanya mendiamkan diri. Terasa terpukul dengan kata-kata ayah. Memang, aku yang bersalah kerana terlalu mengikutkan perasaan dan membuat keputusan yang terburu-buru.

"Apa salahnya kata awak? Entah-entah dia cuba hendak melarikan cucu-cucu kita. Kalau dulu dia tak dapat, tak mustahil dia akan buat sekarang. Kau jangan lagi hantar anak-anak kau pada Bedah tu, biar emak yang jaga mereka." Kepalaku semakin kusut apabila mendengar kata-kata emak.

"Kenapa dengan awak nie? Kenapalah awak benci sangat dengan Farah tu. Dia budak baik, awak nie memang tak sedar dirilah." Suara ayah pula meninggi. Aku mula rasa cemas. Aku tidak mahu emak dan ayah bertengkar kerana hal aku dan Farah.

"Ayah… mak… sudahlah. Tak perlulah emak dan ayah bertekak kerana kami." Aku cuba mententeramkan suasana yang semakin tegang.

"Saya tak pernah menganggap dia menantu saya dan anak dalam kandungan dia tu bukan cucu saya. Entah dengan siapa dia buat, senang-senang saja dia nak mengaku anak itu adalah anak dia dengan Khairul." Emak merengus.

"Astaghfirullahalazim…. Bawa mengucap Limah. Syaitan mana yang dah merasuk fikiran awak nie? Kenapa awak menuduh dia sebegitu sekali? Selama saya hidup, saya tak pernah lagi berjumpa dengan perempuan yang sebaik dan setabah Farah. Kau ingat, senangkah hendak berjumpa dengan perempuan sebegitu?" Suara ayah kembali kendur. Aku sendiri pun tidak menyangka sampai begitu sekali emak menuduh Farah. Mengapa emak jadi begini? Mengapa emak begitu kejam?

"Anak yang Farah kandungkan itu, anak saya mak. Cucu emak dan ayah. Jangan tuduh dia sebegitu mak. Dia perempuan baik mak. Cuma saya yang tak sedar diuntung kerana melepaskan seorang isteri yang sebaik Farah itu." Rintihku perlahan.

"Heh… kamu dan ayah kamu sama saja. Memuja-muja sangat si Farah tu. Sudahlah dia patahkan tangan anak kamu, itupun kamu kata dia baik? Agaknya kamu berdua dah diguna-gunakan oleh si Farah tu." Emak masih tidak berpuas hati. Perasaan bencinya sudah sampai ke kemuuncak.

"Limah!!! Jaga sikit mulut kau tu. Tangan Farhan patah, kau yang buat. Farhan sendiri yang beritahu Khairul. Dia kata kau yang merebutnya dari dukungan Farah. Kau yang menyebabkan tangan Farhan jadi begitu. Tak cukup dengan itu, kau kurung Azim dalam bilik. Apa yang merasuk kau, Limah? Mengapa kau buat begitu pada Farah? Lepas tu, kau tolak dia… kau halau dia… mengapalah kau jadik sekejam itu. Ke mana hilangnya perasaan simpati dan sayang kau terhadap manusia?" Ayah bertempik. Emak tersentak. Dia hanya memandang wajah ayah yang sedang menyinga.

"Dia cuba merampas kasih sayang Farhan dan Azim dari kita." Emak bersuara antara dengar tak dengar. Aku merengus.

"Dia tak pernah merampas kasih sayang Farhan dan Azim dari kita. Malah, dia mencurahkan kasih sayang pada mereka. Sudahlah Limah… cukuplah. Kalau tak kerana dia, kau takkan dapat hidup sampai hari ini." Ayah menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Ayah, jangan…" Ujarku memberi peringatan supaya ayah tidak membocorkan rahsia.

"Tidak Khairul, kita mesti beritahu. Kalau tidak, emak kau takkan sedar bahawa Farah telah berkorban demi memastikan emak kau nie masih dapat terus menghirup udara di dunia ini." Balas ayah dengan penuh kesalan.

"Apa yang dia dah korbankan demi saya? Saya tak nampak apapun yang dia korbankan. Menyakitkan hati saya lagi adalah." Emak kembali bersuara. Riak wajahnya menggambarkan perasaan tidak puas hati.

"Memanglah awak tak nampak. Sebab apa yang dia korbankan itu ada dalam badan awak." Bidas ayah sinis.

"Apa maksud abang?" Emak menyoal dengan wajah penuh tanda tanya.

"Demi memastikan awak dapat meneruskan hidup, dia telah mendermakan sebelah buah pinggangnya untuk awak. Buah pinggang yang ada dalam badan awak tu, adalah kepunyaan Farah. Dia sudah menjadi sebahagian dari diri awak sekarang Limah."

Emak terkedu mendengar penjelasan dari ayah. Dan sejak hari itu, emak seolah-olah menguncikan mulutnya dari berbicara tentang Farah. Aku tak tahu apa yang emak fikirkan selepas mendengar kata-kata ayah. Yang pastinya emak menjadi seorang pendiam dan selalu termenung sendirian.

Hmmm… sedar tak sedar hampir ke pukul tiga. Sepatutnya tika ini, aku sudah sampai menjemput Farhan dan Azim pulang. Sudah lama aku mengelamun di sini. Tiba-tiba aku terdengar enjin kereta dihidupkan. Aku pantas menoleh ke arah rumah Kak Bedah.
Nampaknya Farah sudah bersedia untuk pulang. Kak Bedah, Farhan dan Azim menghantar kepulangan Farah di pintu pagar. Aku pula cepat-cepat menghidupkan enjin keretaku. Aku mahu mengekori Farah. Aku mahu tahu di mana dia tinggal kini.

Jalanraya agak sesak, namun aku cuba pastikan aku takkan terlepas pandang dari kereta Perodua Kancil berwarna hijau muda kepunyaan Farah. Selepas lampu isyarat bertukar kepada warna hijau, Farah membelok ke kanan. Aku masih mengekorinya dari belakang. Kemudiannya dia membelok ke kiri, memasuki satu kawasan perumahan.

Aku rasa, aku pernah melalui jalan ini. Kalau tak silap, perumahan ini adalah rumah lama Farah. Rumah di mana dia tinggal sebelum kami berkahwin. Takkanlah dia kembali menetap di sini? Dadaku berdebar kencang. Jalan yang dilaluinya ini memang sama. Hampir lima minit menyelusuri jalan di kawasan perumahan ini, akhirnya Farah memberhentikan keretanya di hadapan rumah berwarna putih. Sah! Dia menetap di sini setelah keluar dari rumah aku. Mengapa aku tidak terfikir yang dia akan kembali ke sini. Inikan rumahnya. Sudah tentu dia akan menuju ke sini. Bodohnya aku kerana tidak pernah terfikir akan rumah ini.

Aku memberhentikan kereta betul-betul di belakang keretanya. Farah menoleh pantas ke belakang apabila menyedari ada kereta lain yang mengunjunginya tika ini. Dengan hati yang tak keruan, aku keluar perlahan-lahan dari kereta.

"Farah…" Panggilku lalu melemparkan senyuman bahagia.

"Abang???" Dia berdiri kaku dengan wajah yang pucat.

Bersambung - Bab 50 : Farah