Monday, January 17, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 15

Bab 15 : Farah

Majlis perkahwinan di antara aku dan Khairul meriah walaupun dibuat secara sederhana. Aku menolak untuk bersanding, tetapi atas desakan oleh emak, aku menurut. Lagipun inilah satu-satunya majlis perkahwinan yang diadakan oleh mereka kerana tinggal aku sahaja yang belum berumahtangga. Kakak tiriku sudah mendirikan rumahtangga dan kini menetap di Pulau Pinang. Majlis perkahwinan dia diadakan di rumah emak saudara sebelah ibunya.

Dengan dua kali lafaz, maka sahlah aku menjadi isteri Khairul. Aku bersyukur kerana majlis perkahwinan ini berjalan lancar walaupun aku tahu, emak Khairul tidak menyenangi diriku. Tapi demi Farhan dan Azim, akan kutelan segala kepahitan yang bakal aku tempuhi.

Pada hari keesokan harinya pula selepas majlis di rumahku, majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki pula diadakan. Aku agak berdebar-debar untuk ke sana. Perjalanan yang mengambil masa tiga jam ke rumah emak Khairul, agak meletihkan. Sebaik sahaja kami sampai, kompang dipalu. Suasana kelihatan lebih meriah jika dibandingkan dengan majlis di rumahku.

Khairul menggenggam erat tanganku sewaktu beriringan menuju ke tempat persandingan. Sebaik sahaja kami duduk, pertunjukan silat pulut diadakan. Tidak lama kemudian, acara menepung tawar pula diadakan. Ayah Khairul yang memulakan acara menepung tawar dan diikuti oleh emak Khairul. Sewaktu bersalam dengannya, aku dapat rasakan tanganku digenggam kuat. Aku tidak mengerti mengapa dia berbuat begitu. Tetapi, cepat-cepat aku menutup rasa kurang enak itu dengan mengucup tangannya. Sedihnya hati ini bila emak Khairul cepat-cepat menarik tangannya.

Azim tidak mahu berenggang denganku. Sewaktu makan beradap tadi pun, dia mahu duduk bersamaku. Aku dengan senang hati memangku Azim. Farhan pula berada di sebelah ayahnya. Agak kecoh sewaktu acara makan beradap apabila tetamu-tetamu yang hadir, mengusik kami. Tersipu-sipu aku dibuatnya.

"Selalunya pengantin lelaki suap pengantin perempuan dan pengantin perempuan suap pengantin lelaki pula. Tapi, sekarang kena suap anak-anak pulak." Kedengaran suara mengusik kami yang sedang leka melayan Farhan dan Azim yang makan bersama kami. Berderai ketawa para tetamu semuanya.

Setelah semua tetamu pulang, aku membantu untuk mengemas barang-barang dan makanan yang bersepah. Walaupun dilarang oleh saudara mara Khairul, sengaja aku pekakkan telinga. Takkanlah aku mahu goyang kaki sahaja dan melihat mereka yang lain bertungkus-lumus berkemas. Nanti apa pula kata emak Khairul. Khairul juga bertungkus-lumus membasuh periuk besar dan kawah yang digunakan untuk memasak lauk-pauk untuk majlis tadi.

"Penat?" Soalnya kepadaku sewaktu aku sedang leka mengelap pinggan dan mangkuk di sudut dapur.

"Sedikit. Abang nak air?"

"Boleh juga." Balasnya. Aku lantas bangun lalu menuju ke meja. Aku mengambil gelas dan menuang air teh lalu kuhulurkan kepadanya. Dengan beberapa kali teguk, habis air teh itu diminumnya. Nampak sangat dia kehausan.

"Abang nak lagi?" Soalku lagi tatkala dia menghulurkan gelas itu kembali kepadaku. Dia hanya menggelengkan kepala lalu mengesat peluh di dahinya.

"Amboi, pengantin baru nie… berdua-duaan di dapur ya!" Mak Ngah Tijah, ibu saudara Khairul tiba-tiba sahaja menjenguk lalu mengusik kami. Aku dan Khairul tersipu-sipu.

"Saya masuk nak minum airlah mak ngah. Haus sangat." Terang Khairul lalu tersengih.

"Takkan lari ke mananya Farah tu." Giat Mak Ngah Tijah lagi.

"Apalah mak ngah nie." Balas Khairul, segan apabila diusik oleh ibu saudaranya itu. Aku pula hampir
meledak tawaku apabila melihat muka Khairul merona merah kerana malu disakat!

Mak Ngah Tijah tersenyum mesra. Kemudian Khairul meminta diri untuk menyambung kerjanya di luar.

"Tak habis lagi mengelap pinggan tu Farah?" Soal Mak Ngah Tijah lalu duduk bersila di sebelahku.

"Belum lagi mak ngah. Ada sikit lagi." Balasku mesra.

"Cukuplah tu Farah, esok boleh sambung mengemas. Pergilah kau bersiap-siap dalam bilik." Arah Mak Ngah Tijah. Aku kebingungan.

"Bersiap-siap? Kita nak ke mana mak ngah?" Tanyaku sambil mengerutkan dahi. Takkanlah hendak keluar dalam keadaan rumah yang berselerak begini.

"Isy budak nie. Ke situ pulak perginya."

"Habis tu, mak ngah suruh bersiap-siap. Kita nak keluar ke?" Soalku lagi.

Mak Ngah ketawa besar mendengar soalanku. Aku semakin kebingungan.

"Apa mak ngah nie? Ketawakan Farah. Cakaplah betul-betul mak ngah."

"Farah… Farah… Mak ngah suruh kau bersiap-siap, pakai lawa-lawa, letak minyak wangi. Lepas tu, kau tunggulah suami kau dalam bilik. Takkan itu pun tak faham."

Terbeliak mataku mendengar kata-kata Mah Ngah Tijah. Merah mukaku menahan malu. Mak Ngah Tijah pula semakin galak ketawa. Aku menampar lembut peha Mak Ngah Tijah lalu ketawa bersama. Aku berasa sungguh selesa apabila berbual dengan ibu saudara suamiku ini. Walaupun dia adik emak Khairul, tetapi nampaknya dia dapat menerima aku dalam keluarga mereka. Berbeza dengan ibu Khairul sendiri, sampai tika ini, dia masih belum menegurku apatah lagi mahu berbual serta bergelak ketawa seperti begini. Dia asyik mengelak sahaja dari bertembung denganku.

"Bulan tengah mengambanglah mak ngah…" Beritahuku tersipu-sipu.

"Ya ke? Kena puasa dululah Khairul tu." Tak habis-habis Mak Ngah Tijah menyakatku. Aku hanya tersenyum lebar mendengar kata-katanya.

"Auntie mama, Aan ngantuk…" Tiba-tiba sahaja Farhan menjengah ke dapur. 'Auntie mama' adalah panggilannya buatku setelah bergelar isteri papanya. Khairul mahukan anak itu memanggilku mama, tapi dengan petah anak itu menjawab bahawa mamanya sudah mati. Berbeza dengan Azim yang memang memanggilku dengan panggilan mama. Hmmm… nampaknya aku perlu membiasakan diri dengan panggilan yang berbeza dari anak-anak tiriku.

"Pergilah Farah bawa Farhan masuk tidur. Sudah mengantuk benar dia. Azim sudah mak ngah tidurkan dalam bilik opahnya. Kerja-kerja nie semua tinggalkan dulu. Esok boleh sambung semula. Kau pun mak ngah tengok dah letih sangat. Pergilah berehat." Kata Mak Ngah Tijah kepadaku.

Tanpa berlengah lagi aku mendukung Farhan lalu kubawa keluar dari dapur.

"Aan nak idur ngan Auntie mama…" Kata Farhan yang sudah terlentok di bahuku.

"OK, kita tidur sama-sama ya." Balasku lalu mengucup pipinya.

Di ruang tamu, masih lagi ada tetamu. Mereka sedang berbual-bual dengan ayah Khairul, Khairul dan saudara mara yang lain. Aku meminta diri untuk menidurkan Farhan. Tetapi, masih sempat disakat oleh mereka.

"Hah, Khairul! Farah sudah beri signal tu. Pergilah masuk." Sakat Pak Ngah Karim, suami kepada Mak Ngah Tijah. Tersipu-sipu Khairul dibuatnya. Habis bersorak semua orang yang berada di situ. Aku cepat-cepat melangkah menuju ke bilik pengantin sambil mendukung Farhan yang sudah terlena di dukunganku. Suami isteri sama saja kuat mengusik!

Di dalam bilik, aku meletakkan Farhan di atas katil. Aku mengambil kain batik untuk mengalas tempat pembaringan Farhan. Aku letakkan juga sebiji bantal lalu perlahan-lahan aku alihkan Farhan ke atas hamparan kain batik yang aku letakkan tadi. Setelah aku pastikan Farhan betul-betul lena, aku mengambil tuala dan masuk ke dalam bilik air yang sedia ada di dalam bilik itu untuk membersihkan diri.

Sewaktu aku keluar dari bilik mandi, kulihat Khairul sudahpun masuk ke dalam bilik. Hatiku berdebar-debar apabila melihat dia tidak berbaju sebaliknya hanya bertuala dari pinggang hingga ke lutut.

"Farah tidurlah dulu. Abang nak berendam dalam tab." Ucapnya sambil matanya tajam merenungku.

"Abang nak Farah sediakan air panas dalam tab mandi?"

"Tak mengapa. Abang boleh buat sendiri. Farah tidurlah dulu. Abang tengok Farah letih sangat." Kemudian dia menghilang di dalam bilik air.

Setelah melihat dia masuk ke dalam bilik air, aku menuju ke meja solek lalu menyisir rambutku. Kemudian aku letakkan sedikit haruman di sebalik kedua-dua belah belakang telingaku dan sedikit di pergelangan tangan.

Setelah selesai, aku beredar ke katil. Aku merebahkan badanku di sebelah Farhan. Farhan aku letakkan di tengah-tengah. Perlahan-lahan kuusap rambut Farhan. Sungguh nyenyak anak ini tidur. Aku mengucup dahi Farhan lalu memejamkan mata untuk melelapkan mata. Esok adalah hari baru yang bakal aku hadapi setelah bergelar isteri buat Khairul dan ibu buat Farhan dan Azim.

Bersambung - Bab 16 : Khairul

No comments:

Post a Comment