Wednesday, January 26, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 32

Bab 32 : Khairul

Kesal? Ya memang aku kesal atas apa yang berlaku semalam dan hari ini. Semalam memang aku tidak dapat mengawal perasaanku. Aku akui memang hatiku sudah mula menyayanginya semenjak melihat keikhlasannya mendermakan buah pinggang buat emak. Namun Linda tetap membayangi hidupku sampai hari ini. Dengan tidur bersamanya semalam, aku merasakan seolah-olah aku telah mengkhianati cintaku pada Linda.

Tapi aku amat terkejut dengan pengakuannya siang tadi. Rupa-rupanya selama ini, dia menaruh perasaan terhadapku. Tetapi, disebabkan aku sudah bersama Linda lalu dia mengundurkan diri dan membawa hati yang lara dengan merantau sebegini jauh ke kota. Aduh… makin sakit kepalaku memikirkan masalah kami.

Aku tahu perhubunganku dengannya semakin jauh. Dan tidak boleh diselamatkan lagi. Dia sudah tentu amat membenciku dengan kata-kataku hari ini. Mengapa mulutku terlalu ringan untuk menyatakan bahawa kejadian semalam adalah satu kesilapan. Bukankah aku sendiri yang mengharapkan begitu, dan hari ini tiba-tiba sahaja fikiranku berubah dan menyatakan yang sebaliknya pula. Sudah gilakah aku ini?

"Papa, nape Auntie Mama nangis?" Tiba-tiba sahaja Farhan berada di hadapanku. Perlahan-lahan aku menariknya rapat dan mengangkatnya ke pangkuanku.

"Auntie Mama marahkan papa." Jawabku lalu kuusap rambutnya.

"Kenapa Auntie Mama marah papa?" Farhan menyoalku lagi.

"Sebab papa buat dia nangis." Balasku pula. Farhan hanya mengangguk kecil. Entahkan dia faham atau tidak akan kata-kata papanya ini. Aku sendiripun tidak faham akan jawapan yang agak berbelit-belit yang aku berikan pada Farhan.

"Azim mana?" Sejak dari tadi aku tidak melihat kelibat anak bongsuku itu. Sewaktu makan malam tadi, Farah tidak menyertai kami. Setelah menghidangkan makanan, dia hanya meminta Farhan memanggilku untuk makan malam. Dia pula menghilangkan diri ke dalam bilik.

Sejak petang tadi, tiada sepatah katapun keluar dari mulutnya. Namun, dia tetap memaniskan mukanya untuk melayan anak-anakku. Aku risau jikalau dia tidak mahu melayan anak-anakku setelah apa yang berlaku siang tadi. Tetapi nampaknya, dia tetap seperti biasa melayan karenah Farhan dan Azim. Cuma denganku sahaja, dia cuba mengelak dan langsung tidak mahu memandang wajahku. Aku sendiri tidak pula cuba menegurnya. Biarlah hatinya sejuk dahulu.

"Auntie Mama bagi Ajim idur." Farhan menjawab dengan nada pelat.
"Pa, A’an ngantuk." Sebaik sahaja mendengar kata-kata Farhan, aku terus bangun dan mendukungnya untuk dibawa ke dalam bilik tidurnya. Sewaktu aku menolak pintu bilik Farhan, kelihatan Farah sudah terlena di sisi katil Azim. Perlahan-lahan aku masuk dan mengisyaratkan Farhan agar mendiamkan diri. Nampaknya Farhan memberikan kerjasama.

Aku terus membaringkan Farhan di atas katilnya. Kemudian aku menyelimutkan tubuh kecil itu dengan gebar yang bercorakkan gambar kartun Mickey Mouse. Aku menepuk-nepuk tubuh Farhan agar dia lebih cepat lena. Tak sampai lima minit, Farhan sudah pun terlena. Aku mengalihkan pandangku pada Farah yang terlentok di birai katil Azim. Mungkin terlena sewaktu menidurkan Azim. Di tangannya terbuka sebuah buku cerita kanak-kanak. Sudah menjadi kebiasaan anak-anakku sebelum masuk tidur, pasti akan didendangkan dengan cerita-cerita dari mama mereka.

Sungguh nyenyak Farah tidur. Tapi, terdapat sisa-sisa air mata di kelopak matanya. Dia tidak henti-henti menangis. Kejamnya aku kerana membuatkan dia menangis. Maafkan abang, Farah. Abang bersalah, namun untuk mendapatkan kemaafan darimu tentu sukar. Dirimu sudah tentu tidak dapat memaafkan abang buat selama-lamanya.

Ketika aku cuba mengangkatnya untuk di bawa masuk ke dalam biliknya, dia terjaga.  Wajahnya begitu terkejut. Cepat-cepat dia mengungkaikan pelukanku dari tubuhnya.

"Maafkan abang. Abang cuma mahu bawa Farah masuk ke dalam bilik Farah sendiri. Abang tiada niat lain."

Namun dia langsung tidak mengendahkan kata-kataku. Tanpa berkata apa-apa dia terus keluar dari bilik Farhan dan Azim. Seketika kemudian terdengar dentuman pintu biliknya ditutup dengan kuat. Aku mengeluh kekesalan.
Dia sudah membisu seribu bahasa padaku. Aku sudah tidak dapat mendengar suara lunaknya. Tiada lagi senyuman manis yang sentiasa dilemparkan buatku. Tiada lagi renungan mesra buatnya padaku. Aku kehilangan kesemua itu dalam sekelip mata sahaja. Hanya kesilapan kata-kataku mengatakan ‘kesilapan’.

Bersambung - Bab 33 : Khairul


No comments:

Post a Comment