Bab 11 - Farah
Mustahil!!! Mengapa aku? Mengapa tak cari sahaja orang lain? Mengapa aku? Aduh... sakitnya kepala aku memikirkan ini.
Aku mundar-mandir seorang diri di dalam bilik. Sekejap aku pandang ke luar tingkap. Sekejap aku duduk di birai katil dan sekejap pula aku bangun dan mengadap cermin meja solekku. Serba tak kena aku sejak pulang dari taman tadi.
Kejamkah aku meninggalkan mereka begitu sahaja tadi? Mengapa aku mengambil tindakan seperti itu tadi? Kasihan Farhan dan Azim. Mesti mereka terpinga-pinga melihat aku berlalu pergi tadi. Auntie minta maaf...
Air mata sudah bergelen-gelen turun mencurah-curah di pipiku. Sudah berapa kali aku menahan daripada menangis. Tapi semakin ditahan, semakin laju ianya menuruni pipiku.
Telefonku menjerit-jerit minta diangkat. Kali ini sudah hampir sepuluh kali dia berdering. Aku tahu, sudah pastinya itu panggilan dari Khairul. Aku tak mahu bercakap dengannya. Fikiranku runsing. Aku buntu. Aku tak tahu apa yang perlu aku katakan.
Masih terngiag-ngiang lagi kata-kata Khairul di telingaku.
'Kau begitu memahami perangai anak-anakku. Lagipun Farhan dan Azim juga nampaknya begitu manja dengan kau. Bagaikan tidak boleh dipisahkan. Adakah ini bermaksud kau....'
Tidakkk!!! Aku tak boleh menggantikan tempat Linda. Sungguhpun aku sayangkan Farhan dan Azim, tapi itu tidak bermakna aku perlu menggantikan tempat mama mereka. Terasa seperti aku mengkhianati persahabatan kami.
Aku membenamkan mukaku ke bantal. Entah berapa lama aku menangis sehingga terlena. Aku hanya terjaga apabila mendengar bunyi loceng pintu dibunyikan berkali-kali. Dengan malas aku bangun lalu menghadap cermin. Kubetul-betulkan rambutku yang agak kusut.
Hmmm... mataku merah dan sedikit bengkak. Teruk juga aku menangis tadi. Aku cuba mengorak senyuman.
Perlahan-lahan aku melangkah ke luar bilik dan menuju ke pintu utama. Terbuka sahaja pintu...
"Farah..."
"Khairul???" Dia berada di hadapanku sekarang. Aku terpaku seketika.
"Please... beri aku peluang untuk berterus-terang." Mendatar sahaja kata-katanya. Aku hanya mendiamkan diri.
"Ermm... kau duduklah dulu di taman, sekejap lagi aku datang." Aku berpaling lalu menuju ke dapur. Di dapur, aku termenung sebentar. Kemudian aku mencuci mukaku di sinki.
Aku perlu kuatkan semangat. Aku mesti berani berdepan dengannya. Kulihat jam di dinding. Hampir pukul enam setengah. Dengan tidak melengah-lengahkan masa, aku mengambil botol gula dan teh untuk membancuh air untuknya. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, aku keluar menatang sedulang air dan sedikit kuih. Aku letakkan di atas meja lalu menuangkan teh ke dalam cawan lalu ku hulurkan kepadanya.
Dia menyambut cawan tersebut lalu menghirup sedikit. Aku tahu matanya tidak lepas-lepas memandang tepat ke arahku. Hanya aku buat tak tahu sahaja.
"Mana anak-anak?" Soalku sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku ke kerusi.
"Aku hantar kepada pengasuhnya sebentar. Malam nanti aku ambil semula." Jawabnya perlahan.
Kami kembali terdiam. Suasana dirasakan begitu sepi. Aku menanti-nanti kata darinya. Tetapi, dia hanya
menundukkan wajahnya. bermain-main dengan jarinya.
"Aku... aku minta maaf kalau permintaanku tadi terlalu mendadak." Khairul mula bersuara. Aku memandang wajahnya. Riak wajahnya agak tegang.
"Sudah lama aku fikirkan mengenai pengganti mama mereka. Dan aku memang mencari-cari calon yang sesuai. Setelah lama mencari, dan akhirnya aku temui. Dan orang itu tak lain dan tak bukan adalah kau sendiri." Khairul berterus-terang kepadaku.
Aku sendiri tak tahu apa yang patut aku katakan. Rasa gembira dan serba-salah saling berganti di dalam hatiku. Aku hanya mengeluh sedikit tapi cukup untuk didengarinya.
"Kenapa aku?" Soalku bergetar.
"Aku hanya mengharapkan kebahagiaan anak-anakku. Aku tahu, aku tak mampu untuk memberikan kasih sayang seorang ibu pada mereka. Setelah berjumpa dengan kau semula, entah mengapa hatiku seolah-olah berkata pada diriku sendiri bahawa, calon yang aku cari-cari selama ini telah kutemui. Aku sengaja membawa anak-anakku berjumpa dengan kau. Aku mahu membiarkan mereka rapat dengan kau. Agar senang mereka menerima diri kau kelak. Nampaknya, aku tak perlu berusaha keras kerana memang anak-anakku menyukai kau. Malah mereka beranggapan bahawa kau adalah ibu mereka. Aku tahu kau mungkin terkejut atau mungkin juga kau marah dengan tindakanku ini, tapi kau fikirlah. Aku sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaan anak-anakku." Begitu panjang lebar dia meluahkan perasaannya padaku. Dadaku sebak mendengar keluhan hatinya.
"Tapi, mengapa aku?" Soalan yang sama kuutarakan sekali lagi.
"Hanya kau yang layak menggantikan tempat Linda pada anak-anakku dan pada diriku sendiri." Jawapannya membuatkan aku terkedu sebentar.
Memang aku amat menyayanginya suatu tika dahulu dan sentiasa mengimpikan bahawa dia akan menjadi suami ku suatu hari nanti. Tapi, harapanku itu hancur setelah aku ketahui bahawa dia bertunang dengan Linda. Sejak itu, harapanku itu aku benamkan sahaja jauh di lubuk hatiku. Tapi kini, dia kembali semula ke sisiku. Ini bermakna impianku dulu akan tercapai. Tapi, mampukah aku menjadi ibu buat Farhan dan Azim sekaligus menjadi isterinya.
"Farah, sudikah kau menjadi ibu buat Farhan dan Azim, sekaligus menjadi isteriku?"
Dia... dia melamar aku? Adakah apa yang aku dengar ini betul atau aku sedang bermimpi?
"Aku.... aku...." Aku kehilangan kata-kata.
Bersambung - Bab 12 : Khairul
No comments:
Post a Comment