Semakin hari semakin aku bingung dengan gelagat Khairul. Perhatiannya buatku semakin mendalam. Diriku dijaga dengan begitu rapi. Aku bukannya sakit hingga memerlukan pemerhatian yang sebegitu. Adakalanya aku menjadi rimas. Lagipun luka sewaktu pembedahan tiga bulan yang lalu, sudah pun sembuh.
Perubahan terhadap dirinya berlaku semenjak aku menjalani pembedahan dahulu. Dirinya seakan begitu mesra denganku. Ucapan 'sayang' sudah menjadi sebati dengan telingaku. Tiada lagi panggilan yang berupa nama buatku, hanya panggilan 'sayang' menggantikan panggilan nama buatku.
Dia juga sudah berani mendakapku dan mengucup pipiku setiap kali sebelum pergi ke tempat kerja. Satu perbuatan yang tidak pernah dia lakukan sebelum ini. Jika dahulu, aku yang akan mengucup tangannya ketika bersalaman sebelum berpisah dari dalam lif (pejabatnya selang dua tingkat dari pejabatku). Setiap hujung minggu pula aku dihadiahkan sejambak besar bunga ros pelbagai warna. Bila kutanya mengapa, dia hanya tersenyum.
Adakalanya aku merasa bahagia dengan perubahannya ini, dan ada ketikanya pula aku keliru. Keliru dengan perubahan yang begitu mendadak ini. Ada apa-apakah yang tersirat di sebalik perubahannya ini. Atau sekadar mengaburi pandanganku sahaja.
"Apa yang sayang menungkan itu? Jauh sangat nampaknya. Ingat pakwe ke?" Guraunya sambil tangannya erat memeluk pinggangku dari belakang. Tika itu aku sedang mengacau seperiuk bubur jagung yang sedang mendidih untuk hidangan minum petang.
"Eh, abang? Ingatkan siapa tadi?" Aku terkejut dengan kedatangannya secara tiba-tiba.
""Abanglah, siapa lagi dalam rumah nie? Sayang masak apa tu? Wanginya bau." Dia menjenguk sedikit kepalanya ke hadapan untuk melihat ke dalam periuk.
"Farah masak bubur jagung." Balasku lalu cuba mengungkaikan pelukan kemasnya.
"Kenapa? Tak suka?" Soalnya mengusik.
"Bukan. Farahkan tengah memasak sekarang." Jawabku. Dadaku berdegup dua kali lebih pantas dari biasa.
Dia hanya tersenyum lalu melepaskan rangkulannya dan terus beredar ke ruang tamu. Aku menghela nafas kelegaan. Setiap kali dia berada di sisiku, perasaanku menjadi tak keruan. Kadang kala aku jadi takut apabila dia berada di sisi. Entah mengapa perasaan itu timbul sekarang sewaktu dia sudah mula menampakkan kemesraan terhadapku. Adakah aku sudah tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya?
Bersambung - Bab 30 : Khairul
No comments:
Post a Comment