"Farah!! Jangan duduk di luar waktu maghrib begini. Tak elok. Sudah, masuk dalam. Khairul, bawa masuk isteri kamu ke dalam!" Emak mertuaku melaung dari dalam rumah. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk tanda faham. Aku menghabiskan kerjaku menyiram pokok bunga di halaman rumah. Khairul pula sedang menyapu daun-daun pokok yang berselerak gugur ke bumi. Sesudah selesai menyiram, aku menuju ke paip lalu memutarnya untuk menghentikan pengaliran air. Aku menyangkut paip getah itu di kepala paip lalu menuju ke buaian. Aku melepaskan lelah di atas buaian. Tidak lama kemudian, Khairul menyertaiku yang sedang berbuai di atas buaian.
Aku akhirnya kalah dengan perasaan sendiri. Demi kebahagiaan anak dalam kandunganku dan juga anak-anak tiriku, aku kembali ke dalam hidup Khairul. Aku rasa langkahku kali ini tidak silap. Aku dijaga dengan penuh perhatian. Emak mertuaku juga sudah berubah sikap. Dia benar-benar berubah. Diriku dan juga kandunganku dijaga rapi. Pelbagai pantang dan nasihat buat wanita yang sedang hamil, diperturunkan kepadaku. Aku benar-benar bahagia dengan kehidupan aku sekarang.
Malah dia sanggup tinggal bersama kami di kota semata-mata mahu menjagaku sehinggalah aku bersalin nanti. Yang membuat aku semakin terharu, ayah mertuaku juga sependapat dengannya. Dan yang kelakarnya, dia menawarkan diri untuk menjaga aku sewaktu berpantang nanti! Semuanya aku terima dengan hati yang terbuka. Biarlah aku membahagiakan diri mereka selagi hayatku dikandung badan.
"Jauhnya melamun. Ingat pakwe lama ke?" Usik Khairul lantas memelukku. Pipiku dikucupnya berkali-kali. Aku ketawa kegelian.
"Haah, ingat pakwe lama. Agak-agaknya... bagaimana keadaan dia sekarang?" Balasku lalu ketawa kecil. Dia tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari bibirku.
"Eh, betulkah sayang teringatkan pakwe lama? Siapa dia? Abang kenalkah dengan dia?" Bertubi-tubi soalan diajukan kepadaku. Dia memusingkan badanku supaya berhadapan dengannya. Wajahnya sedikit cemas. Aku ketawa gelihati melihat gelagatnya.
"Cemburu yaa..!!!" Usikku sambil menarik hidungnya.
"Eh, mestilah. Siapa yang tak sayang bini oii!!!" Balasnya lalu ketawa besar. Aku turut ketawa bersamanya.
"Tak adalah. Mana Farah ada pakwe lain. Abanglah pakwe pertama dan terakhir Farah. Tapi, tak tahulah pula abang. Agak-agaknyalah... Farah nie makwe yang ke berapa ya?" Aku cuba mengujinya. Dia tersenyum lebar mendengar bicaraku.
"Ermm... yang pertama Peah, yang kedua Minah, yang ketiga Temah, yang keempat... ermmm siapa ya?" Katanya sambil mengira-ngira jarinya.
"Amboi!!! Banyaknya dalam senarai... gatal ya!" Lengan tangannya yang terdedah kucubit manja. Dia ketawa terkekeh-kekeh. Suka benar dia dapat mengusikku. Kemudian dia terus memelukku erat.
"Kekasih abang yang pertama sudah tentu Linda. Harap Farah tak marah dengan pengakuan abang ini." Aku hanya tersenyum. Tiada sekelumitpun perasaan marah apabila dia berkata begitu. Malah, aku amat maklum tentang itu.
"Farah faham bang. Farah tak marah." Tangannya membelai wajahku. Betapa bahagianya hidupku tika berada dalam pelukan suami tercinta.
"Dan kekasih terakhir abang, sudah tentu 'mak buyung' nan seorang nie." Selorohnya lalu mencubit pipiku. Aku ketawa besar. Selalu sangat dia mengusikku dengan memanggil 'mak buyung'. Mentang-mentanglah aku sedang 'boroi'. Suka hati dia dapat mengusikku.
"Aduhh..!" Kaki anak dalam kandungan menendang perutku. Terasa bergegar perutku. Aku memegang perutku yang sudah menjangkau sembilan bulan. Hanya menanti hari saja.
"Kenapa sayang? Sudah terasa sakitkah" Khairul kelihatan cemas. Aku menggelengkan kepala dan melemparkan senyuman.
"Taklah. Baby nie nakal, agaknya tak sabar-sabar hendak keluar. Asyik menendang saja. Bergegar kita dibuatnya." Aku ketawa bahagia.
"Lega hati abang mendengarnya. Ingatkan dah sampai masa tadi." Dia menghela nafas kelegaan sambil mengurut-urut dadanya.
"Hai bang! Anak dah nak masuk tiga pun masih cemas lagi?" Usikku. Dia tersenyum.
"Memanglah. Inikan anak pertama buat Farah. Sudah tentu abang risau jika ada kesulitan." Ucapnya bersungguh-sungguh. Aku ketawa lagi. Dia yang lebih-lebih risau. Aku biasa saja!
"Insyaallah bang. Takkan ada apa-apa yang berlaku. Jika ada apa-apa berlaku pada Farah, abangkan ada untuk menjaga baby kita nie." Luahku lalu mengusap-usap perutku. Dia turut sama mengusap perutku.
"Ya Allah... tak masuk-masuk lagi? Takkan hendak tidur di luar tu budak-budak oii!!" Kali ini ayah mertuaku pula melaung dari ambang pintu. Tersentak aku dan Khairul dibuatnya. Kami berdua ketawa gelihati. Cepat-cepat kami bangun dari buaian. Khairul memimpin aku berjalan dengan berhati-hati.
"Oppsss... terlupa pula Farah nak ambil kain tuala yang Farah sangkut di buaian tadi. Sekejap ya bang... Farah pergi ambil." Ujarku lalu hendak berpusing semula ke buaian.
"Tak mengapa, biar abang tolong ambilkan." Ucap Khairul pula.
"It's okay... I can do it! Don't worry." Bahunya kutepuk-tepuk perlahan. Kemudian aku berpusing lalu melangkah perlahan-lahan menuju ke buaian. Tanpa aku sedari kakiku tersangkut pada paip getah yang bergulung di halaman rumah. Aku gagal untuk mengimbangkan diri. Badanku terdorong ke depan dan jatuh terhempap ke bumi.
Ya Allah!!! Sakitnya perutku.
"Abang!!!" Aku menjerit kesakitan. Khairul terkocoh-kocoh mendapatkan aku.
"Sakitnya bang!! Tolong bang... sakit." Rintihku perlahan menahan kesakitan. Tiba-tiba aku terasa air hangat mengalir di pehaku. Aku meraba pehaku.
"Abang, darah bang! Darah..!!" Aku menghulurkan tanganku yang berlumuran darah. Khairul semakin cemas.
"Sabar sayang.. sabar. Abang bawa sayang ke hospital ya! Emak!!! Ayah!! Tolong saya. Farah jatuh!!" Suara laungan Khairul sayup-sayup kedengaran di telingaku. Aku semakin lemah... lemah... Pandanganku semakin kabur dan kelam...
Bersambung - Bab 54 : Khairul
No comments:
Post a Comment