"Mana Farah? Dah seminggu aku di sini, tak pernah sekali pun dia datang menjenguk aku." Emak asyik bertanyakan Farah. Dia berasa hairan kerana menantunya itu tidak pernah datang melawatnya di hospital. Mana boleh Farah datang melawatnya dengan keadaannya yang sendiri baru dibedah. Nanti emak akan hairan dan rahsia Farah mendermakan buah pinggang padanya akan terbongkar.
"Farah bekerja. Lagipun dia sudah ambil cuti lama sewaktu emak mula-mula masuk hospital dulu. Lagipun tak eloklah dia cuti lama-lama. Nanti apa pula kata bos di tempat kerjanya itu." Aku membuat dalih untuk Farah. Sedangkan hakikatnya Farah masih bercuti dan sekarang sedang berehat di rumah Asmah.
Kesihatan emak semakin baik. Buah pinggang yang Farah dermakan itu sesuai dengan sistem tubuh emak. Aku amat bersyukur dengan keadaan emak sekarang yang semakin pulih. Semakin pulih emak, semakin rancak jugalah mulutnya menyindir Farah di hadapanku. Kadang kala terlintas juga di fikiranku untuk berterus terang, namun aku harus berpegang pada janjiku.
"Sudahlah emaknya. Cubalah jangan berprasangka sangat pada Farah tu. Dia memang
seorang menantu yang baik. Janganlah awak hendak memburuk-burukkan dia lagi. Bersyukurlah dengan keadaan awak sekarang nie." Ayah pula menyampuk. Mungkin ayah juga seperti aku yang tidak tahan mendengar emak yang sering menyindir Farah.
"Bila saya boleh keluar dari sini bang? Saya dah bosan asyik bau ubat saja di wad nie. Sampai pening kepala saya dibuatnya." Emak mengalihkan tajuk perbualannya apabila ayah mula bersuara.
"Esok." Pendek sahaja ayah menjawab pertanyaan emak.
"Farhan dan Azim ada di sini?" Emak kembali menyoalku.
"Ermmm... petang nanti Farah datang bawa anak-anak. Dia tahu emak akan keluar dari hospital esok, jadi selepas habis waktu kerja dia akan pulang ke sini segera dengan anak-anak." Aku mengutuk-ngutuk diriku sendiri kerana terpaksa berbohong kepada emak demi mahu menyembunyikan keadaan Farah sekarang.
Walaupun begitu, aku melihat kesihatan Farah juga semakin baik. Cuma dia perlu berhati-hati dalam pergerakannya. Risau akan tempat pembedahan itu akan terluka kembali. Azim pun tidak didukungnya walaupun berkali-kali anak kecil itu memintanya untuk didukung. Paling-paling tidak, diriba sahaja untuk tidak mahu menghampakan permintaan Azim.
"Apa yang kau menungkan. Teringatkan bini kesayangan dialah tu." Sindiran emak kusambut dengan senyuman memekar.
Memang aku rindukan dia. Rindukan kelincahannya. Tapi, sedikit masa lagi dia akan kembali seperti biasa. Aku tidak sabar untuk kembali ke rumahku. Aku mahu mulakan hidup baru bersamanya. Aku mahu membuka lembaran baru bersamanya. Dia tidak akan kusia-siakan lagi.
"Siapa yang tidak rindukan isteri mak. Tambahan pula isteri sebaik Farah, bukannya calang-calang orang yang dapat. Saya yang bertuah kerana dapat memperisterikannya, mak." Keluhku lalu tersenyum hambar.
"Amboi, puji melambung tinggi nampaknya. Takkan baru seminggu sudah nanar kau jadinya. Itu baru seminggu, nanti kalau Farah bersalin... kurang-kurang dua bulan kau kena 'puasa'." Ayah menyakat aku. Aku hanya ketawa besar. Percakapan ayah mengandungi maksud yang amat tersirat. Gelihati aku dibuatnya.
"Dua beranak nie, kalau bergurau langsung tak ingat dunia. Di sini hospital, mana boleh bising-bising begini." Emak memberi amaran kepada kami agar merendahkan sedikit nada suara kami.
"Hmmm... dah dekat setahun kau berdua berkahwin, takkanlah tak ada apa-apa lagi?" Ayah menyoalku. Aku hanya mengerutkan dahi, tidak memahami maksud pertanyaan ayah.
"Ada apa-apa? Apa maksud ayah, saya tak fahamlah." Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.
"Kau nie Khairul, sudah ada anak duapun masih tak faham-faham." Ujar ayah lalu ketawa kecil. "Yalah, cuba ayah cakap terang-terang. Janganlah berbelit-belit." Balasku pula yang semakin kebingungan.
Ayah ketawa kali ini. Emak menjeling ke arah ayah. Terhenti ketawa ayah apabila melihat jelingan emak.
"Awak jangan jeling saya macam tu, nanti gugur jantung saya." Ayah cuba bergurau dengan emak. Nampaknya gurauan ayah menjadi apabila jari emak menggutis lengan ayah. Aku tersenyum bahagia melihat kemesraan emak dan ayah.
"Ayah nie teringin hendak bercucu lagi. Belum 'berisi' lagikah Farah tu?" Kali ini ayah berterus-terang akan maksud kata-katanya sebelum ini.
Aku tersentak seketika. Terdiam aku mencari jawapan yang sesuai.
"Kau berdua merancangkah?" Ayah menambah pertanyaannya.
"Tak adalah. Cuma belum ada rezeki." Aku diserang serba salah.
Hampir setahun usia perkahwinanku, belum sekali pun aku tidur bersama dengan Farah. Mana mungkin Farah dapat mengandung dengan keadaan kami sekarang.
"Sementara masih muda beginilah kalau nak beranak. Lagipun, Farah muda lagi. Masih mampu untuk memberikan zuriat pada kau. Takkanlah dia tidak teringin hendakkan anak sendiri. Farhan dan Azim pun semakin membesar dan sudah tidak perlukan perhatian yang khusus." Panjang lebar ayah menasihatiku. Aku hanya mendiamkan diri, tidak mencelah langsung.
"Nanti kalau ada anak sendiri, sudah tentu tak diperdulikan Farhan dan Azim. Yalah, anak orang mana sama dengan anak sendiri." Emak mula memasukkan jarumnya. Topik yang ayah bualkan memberi peluang padanya untuk menyindir Farah.
"Emak jangan kata begitu. Farah bukan orang seperti yang emak sangkakan. Dia seorang ibu dan isteri yang baik. Saya yakin, walaupun dia sudah ada anak sendiri, kasih sayangnya terhadap Farhan dan Azim tetap tidak berubah." Aku membela Farah. Aku tahu emak tidak menyenanginya setiap kali aku memuji Farah di hadapannya.
"Emak nampak sejak akhir-akhir ini, sejak emak dimasukkan ke hospital kau dan ayah kau semakin memuji-muji Farah. Apa kena dengan kamu berdua?" Nada suara emak agak meninggi. Emak mula mencurigai kami. Aku dan ayah saling berpandangan.
"Sudahlah tu. Kita tamatkan sahaja perbualan kita di sini. Sekejap lagi waktu melawat akan tamat. Kami berdua beredar dululah. Malam nanti abang datang semula." Kata-kata ayah menyelamatkan aku dari terus diserang bertubi-tubi oleh emak.
"Selagi kita boleh rahsiakannya, kita cubalah Khairul. Itu permintaan Farah sendiri. Walaupun sukar, kita perlu berusaha. Farah memang seorang wanita yang baik, amat baik sebenarnya. Berjanjilah kau takkan mensia-siakan hidupnya, Khairul." Kata ayah kepadaku ketika kami sama-sama melangkah menuju ke kereta.
"Saya berjanji ayah. Selagi saya masih hidup, saya akan membahagiakan Farah." Itulah ikrarku pada ayah. Memang aku teramat menyayanginya. Tidak sanggup membiarkan hatinya terluka lagi. Cukuplah hatinya menderita sebelum ini. Akan kucuba untuk membahagiakan hidupnya walaupun Linda masih membayangi hidupku lagi.
Bersambung - Bab 29 : Farah
No comments:
Post a Comment