Wednesday, January 26, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 40

Bab 40 : Farah

Kedatanganku di sambut dingin oleh emak Khairul. Namun, dia agak terkejut melihat aku berada di hadapan rumahnya sebentar tadi. Setelah mempelawa aku masuk, dia membiarkan aku seorang diri di ruang tamu bersama Farhan dan Azim. Ayah Khairul pula keluar membeli barang di bandar.

"Ada apa kau datang ke sini?" Tiba-tiba sahaja emak Khairul muncul di belakangku sambil menatang dulang.

Aku agak tersentak. Namun, aku cuba berlagak selamba dan melemparkan senyuman. Azim pula duduk di atas ribaku. Farhan pula sedang memeluk leherku dari belakang. Aku tahu dia mahukan aku mengendongnya. Nampak sangat dia rindukan diriku ini. Tetapi kemesraan yang ditunjukkan oleh Farhan dan Azim seperti tidak disenangi oleh emak Khairul. Dia hanya menjeling sahaja kepada cucu-cucunya itu.

"Emmm… saya mahu bawa pulang Farhan dan Azim." Jawabku perlahan.

"Apa? Aku tak benarkan." Terpegun aku mendengar jawapan dari mulut emak. Kenapa pula?

"Emak…"

"Aku kata tak boleh, tak boleh. Selagi kau belum berhenti kerja, aku takkan benarkan kau ambil balik cucu-cucu aku nie. Aku mahu kau berhenti dan jaga Farhan dan Azim sepenuh masa. Bukannya tinggalkan budak-budak ini kepada pengasuh. Lagipun Khairul berkahwin dengan kau dulupun sebab mahukan kau menjaga anak-anaknya."

Aku terdiam tanpa kata. Farhan dan Azim juga seperti terkejut apabila melihat opah mereka meninggikan suaranya kepadaku. Azim memeluk erat tubuhku. Aku tahu dia takut melihat perubahan pada suara opah mereka.

"Auntie Mama, naper opah marah-marah?" Farhan menyoalku. Aku berpaling kepadanya. Wajahnya kelihatan ketakutan.

"Tak adalah." Balasku lalu mengucup pipinya.

"Emak. Bukankah Khairul sudah berjanji bahawa bila tiba masanya nanti, saya akan berhenti kerja." Aku cuba untuk memujuk emak agar membenarkan.

"Aku tak kata aku setuju." Pintas emak. Aku mengeluh perlahan. Nampaknya emak cuba untuk ‘menyerang’ku semasa ketiadaan ayah dan Khairul.

"Lagipun aku tengok kau sekarang sudah berubah. Badan kau pun makin berisi. Kau mengandungkah?" Pertanyaan yang keluar dari mulut emak bagaikan merentap nyawaku. Bagaimana emak dapat mengesan aku sedang hamil? Mukaku pucat kerana ketakutan rahsiaku akan bocor. Apa harus aku katakan?

"Tidak." Balasku sepatah. Emak merenung ke wajahku lalu tersenyum sinis.

"Aku hidup lagi lama dari kau. Aku dah masak dengan keadaan orang yang mengandung. Kau jangan nak berdalih dengan aku." Terlalu kasar bahasa yang emak gunakan kepadaku. Air mata sudah bergenang di kelopak mataku. Aku kuatkan hati agar tidak menitiskan air mata di hadapan emak.

"Mungkin juga. Saya belum pergi buat pemeriksaan. Tapi, mak… benarkan saya bawa pulang anak anak." Rayuku lagi. Kali ini emak berdiri sambil bercekak pinggang di hadapanku. Aku terkejut dengan tindakannya.

"Kau tak fahamkah? Aku kata tak boleh, maknanya tak bolehlah. Selagi kau tak turutkan kata-kata aku, jangan harap kau dapat cucu-cucu aku ini. Sudah Farhan, Azim… mari ikut opah." Emak menengking aku di hadapan Farhan dan Azim. Kemudiannya dia terus menarik tangan Farhan dan Azim agar menurutnya. Tetapi mereka berdua berkeras dan terus mengeratkan pelukan padaku. Air mata sudah berderai di pipiku.

"Emak, jangan buat saya begini. Jangan pisahkan anak-anak dari saya." Ucapku bercampur sendu.

"Aku tak pisahkan mereka dari kau. Kau yang pisahkan mereka dari aku. Sejak kau ada di rumah itu, aku nie dah macam tak ada cucu-cucu. Selama mereka duduk di sini, nama kau tak pernah lekang dari mulut mereka. Apa yang dah buat pada cucu-cucu aku hah? Kau dah guna-gunakan mereka anak-beranak ya?" Begitu sekali tuduhan emak Khairul terhadapku. Sampai sanggup menuduh aku telah mengguna-gunakan mereka sekeluarga.

"Sampai hati emak tuduh Farah begitu. Farah tak pernah lakukan perbuatan syirik itu mak. Kasih sayang Farah pada anak-anak bukannya dibuat-buat dan Farah juga tahu kasih sayang anak-anak pada Farah juga bukannya dipaksa-paksa. Semuanya lahir secara semulajadi."

"Aku tak percaya. Kalau tidak takkan Khairul yang selama ini tidak pernah membantah kata-kataku, tiba-tiba sahaja menolak cadangan aku dengan mentah-mentah. Aku tahu kau memang berniat buruk pada kami sekeluarga."

"Astaghfirullah… saya tak pernah lakukannya apa yang emak katakan itu, percayalah!" Lantas aku memegang tangan emak. Namun, ditepisnya tanganku. Hampir membuatkan aku hilang imbangan badan. Nasib baiklah aku sempat berpaut pada sofa.

"Aku mahu cucu-cucu aku. Kau boleh balik sendiri. Aku tak jemput pun kau datang ambil mereka di sini." Emak merampas Azim dari dukunganku. Menjerit-jerit anak kecil itu apabila diambil tanpa kerelaannya. Tangan Azim menggapai-gapai ke arahku. Apabila aku cuba menyambutnya, emak cepat-cepat membawa lari Azim lalu menguncinya ke dalam bilik. Aku hanya melihat gelagat emak tanpa kata. Hanya air mata sahaja yang berjujuran di pipiku.

"Farhan, mari sini!" Tinggi suara emak memerintahkan Farhan. Namun, Farhan memelukku erat. Aku juga memeluk Farhan dengan erat sekali.

"Kalau emak tak benarkan saya bawa balik kedua-duanya sekali, benarkanlah saya bawa Farhan sahaja." Rayuku lagi. Emak memandangku dengan bengis.

"Jangan harap kau hendak merampas cucu-cucu aku ini selagi aku masih hidup." Serentak dengan itu emak cuba merentap tangan Farhan dari dukunganku.

"Emak, tolonglah… saya merayu pada emak…"

Emak tidak menjawab sebaliknya terus berkeras menarik Farhan dari dukunganku. Pelukan Farhan makin lama makin longgar. Aku cemas.

"Emak…" Panggilku meminta simpati. Farhan sudah meraung kesakitan kerana tangannya direntap kasar.

Tak semena-mena emak menampar pipiku. Dan aku terlepas rangkulan Farhan akibat tamparan emak yang kuat itu membuatkan aku tersungkur di lantai. Aku terkedu dengan tindakan kasar emak kepadaku. Ternyata emak amat membenciku.

Aku berpaling ke arah emak. Dia sedang memegang erat tangan Farhan yang ketika itu sedang cuba melepaskan diri dari genggaman opahnya. Sekuat manalah kekuatan kanak-kanak sekecil Farhan jika dibandingkan dengan opahnya.

"Emak, jangan begini. Saya tahu saya bukan menantu pilihan emak. Tapi, saya betul-betul sayangkan anak-anak Khairul. Mereka bagaikan nyawa saya. Jangan kerana saya mengandung, emak mahu pisahkan mereka dari saya. Jika beginilah, saya turutkan kemahuan emak. Saya akan berhenti, tapi benarkanlah saya bawa pulang anak-anak." Aku tidak berputus asa merayu agar emak membenarkan aku membawa balik Farhan dan Azim. Entah mengapa emak bersikap sebegini kasar dan menuduh aku telah mengguna-gunakan Khairul anak-beranak semata-mata mahu merebut kasih sayang darinya.

"Huh! Kau buktikan dahulu. Dan kau jangan pula bersenang hati aku akan beri semula cucu-cucu aku untuk kau jaga selepas kau berhenti kerja. Jangan harap! Lagipun kau sedang mengandungkan anak sendiri dan bakal mempunyai anak sendiri. Sudah tentu kau tidak akan pedulikan mereka berdua. Aku takkan biarkan cucu-cucuku terbiar. Aku akan jaga mereka dan kau pula jaga anak kau sendiri."

"Emakkkk…..!!!!" Jeritku lantang. Mengapa begini teruk sekali tanggapannya terhadapku. Aku bangun dan merapati emak. Farhan masih lagi menjerit-jerit pinta dilepaskan tangannya. Sungguh sedih aku melihat Farhan diperlakukan sebegitu. Dalam waktu yang sama, kedengaran suara Azim meraung-raung memanggil aku dari dalam bilik yang berkunci. Mana aku sanggup mendengar raungan yang meruntunkan jiwaku.

"Sudah, keluar kau dari sini! Aku tak mahu tengok muka kau." Emak menghalau aku. Namun, aku tetap berdiri dan cuba melepaskan cengkaman tangannya dari tangan Farhan.

"Emak, jangan buat Farhan dan Azim begini. Mereka masih kecil. Lepaskanlah tangan Farhan, sakit tangan dia mak."

"Kau jangan nak bermanis mulut di sini, pergi kau dari sini!" Sekali lagi dia menghalau aku. Kali ini dia menolak aku agar keluar dari rumahnya. Dia mencengkam lenganku lalu mendorong aku ke pintu. Aku hanya menurut. Namun, aku amat sedih apabila dia mengheret Farhan tanpa belas kasihan. Farhan kembali menjerit kesakitan. Aku rasa seperti mahu pecah dadaku melihat Farhan meraung kesakitan.

"Pergi kau dari sini. Jangan kau jejakkan kaki ke sini lagi." Serentak dengan itu pintu ditutup dengan kasar. Namun, aku cepat-cepat menghalangnya. Emak tidak berpuas hati lalu melepaskan cengkamannya dari Farhan dan cuba menutup pintu dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya. Ketika itulah Farhan terus keluar meluru kepadaku lantas memelukku erat. Emak terkejut apabila melihat Farhan sudah berada di dalam pelukanku.

"Farhan, mari sini!!" Jerkahnya. Farhan menggelengkan kepalanya. Aku menapak ke belakang.

"Kau mahu bawa ke mana cucu aku tu?" Soal emak lalu menerpa kepadaku dan merentap tangan Farhan. Aku yang sememangnya sudah lemah, tidak mampu menghalang emak dari merampas Farhan dariku. Farhan meraung kesakitan. Aku tahu, tangannya direntap kasar oleh emak.

"Emak… jangan buat Farhan begitu. Nanti tangannya patah. Jangan sakiti mereka. Kalau emak nak pukul, pukullah saya tapi jangan anak-anak saya. Mereka kecil lagi." Mendayu-dayu rayuanku kepada emak. Namun, sedikitpun tidak diperdulikan rayuanku itu.

"Anak-anak kau? Jangan mimpilah." Ucap emak dan kemudiannya terus berpaling sambil mendukung Farhan lalu terus hilang di sebalik pintu.

"Emak… buka pintu emak. Jangan begini. Saya minta ampun kerana telah menyakiti hati emak. Tapi, jangan pisahkan saya dengan anak-anak. Saya tak boleh hidup tanpa mereka. Benarkanlah saya bawa mereka pulang." Aku mengetuk-ngetuk pintu. Aku sudah tidak memperdulikan jiran-jiran di sebelah. Emak tidak membalas kata-kataku. Cuma kedengaran raungan tangisan Farhan dan Azim. Sedihnya hati aku mendnegar tangisan mereka. Tapi aku tak tahu apa yang boleh aku lakukan. Mengapa begini???

"Emaakkkk….."

Bersambung - Bab 41 : Khairul


No comments:

Post a Comment