Seawal jam enam pagi aku sudah bangun membersihkan diri dan terus menunaikan solat subuh. Selepas bersolat, aku berwirid panjang lalu kupanjatkan doa kepada ILAHI agar memberi aku kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang bersama suami dan anak-anak. Kupanjatkan jua doa pada-Nya agar menjadikan aku seorang sentiasa tabah, cekal dan sabar dalam mengharungi hidup berumahtangga. Hatiku sedikit tenang setelah aku mengadu nasib kepada-Nya.
Kemudian aku menuruni tingkat bawah lalu menuju ke dapur. Kuperhatikan sekeliling. Sungguh kemas. Mungkin Khairul jarang menggunakan dapur untuk memasak. Mungkin juga sekadar menjerang air sahaja. Aku mula membuka peti sejuk. Tiada langsung bahan yang boleh aku gunakan untuk memasak sarapan pagi ini. Cuma yang ada beberapa biji telur. Aku keluarkan telur tersebut lalu aku memasukannya ke dalam periuk kecil yang kuisikan air. Kemudian aku meletakkannya pula ke atas tungku dapur lalu kupasang api. Aku bercadang mahu merebus telur separuh masak.
Kemudian aku beralih ke rak dapur. Ku buka pintu rak itu, aku membelek-belek barang di situ. Hmmm... banyak barang-barang kering seperti tepung, bawang, cili kering, ikan bilis dan beberapa barang keperluan lain hampir kehabisan. Aku mencapai tepung gandung yang masih belum luak isinya. Aku berkira-kira di dalam hati, apa menu pagi hari ini? Memandang hanya tepung yang masih elok, aku rasa aku mahu membuat lempeng susu sahaja. Mungkin aku perlu menyambung cuti hari ini agar aku dapat keluar membeli barang keperluan.
Hampir pukul lapan, barulah aku selesai menyediakan sarapan dan menghidangnya di atas meja. Aku berpuas hati dengan hasil tanganku. Sedang aku sibuk mengeluarkan barang-barang yang tidak boleh digunakan lagi dari rak dapur, aku terdengar suara berdehem. Terhenti sebentar pergerakanku. Tetapi, tidak sekali-kali aku menoleh kerana aku tahu siapakah gerangannya yang sedang berada di belakangku itu.
"Assalamualaikum, selamat pagi." Ucapnya lembut dan bunyinya begitu hampir. Seluruh ruang dapur berbau harum wangian CK yang dipakainya. Terbuai sebentar perasaanku apabila menghidu wangian itu. Tetapi, cepat-cepat aku tersedar.
"Waalaikummussalam, selamat pagi." Balasku antara dengar dan tak dengar. Aku masih membelakanginya. Entah mengapa hatiku begitu berat untuk menatap wajahnya. Aku sebenarnya takut jika aku tidak dapat mengawal perasaanku sendiri dan akan menitiskan air mata.
"Farah masak apa pagi nie?" Kemudian aku mendengar bunyi kerusi ditarik. Mungkin dia sudah duduk menghadap sarapan pagi. Aku pula menyambung tugasku mengemas rak dapur ini.
"Farah tak bersiap hendak ke pejabat? Bersiaplah dulu. Balik nanti boleh kemas rak tu." Ucapnya dan serentak dengan itu aku mendengar bunyi cawan berlaga dengan piring. Mungkin dia sedang menuang air kopi ke dalam cawan. Tekaanku tepat apabila aku dapat menghidu aroma kopi.
Tiba-tiba aku diserang perasaan bersalah. Bukankah aku sebagai seorang isteri, wajib melayan segala keperluan suami? Sedangkan kini, aku masih tidak memperdulikan dia. Berdosakah aku? Tapi, bukannya aku sengaja mahu berkelakuan begini. Jika dia tidak melayani aku sebegini, sudah tentu... arghhhh... Aku berperang dengan perasaanku sendiri.
"Farah..." Panggilnya lagi. Begitu lembut. Hatiku digamit rasa pilu. Akhirnya aku mengalah, lalu berpaling memandang wajahnya.
Dia sudah siap berpakaian kemeja biru muda berjalur halus warna putih dan bertali leher warna biru laut. Seluar pula berwarna hitam. Nampak begitu tampan sekali. Aku memandangnya tanpa sebarang reaksi.
"Farah harap abang tak marahkan Farah keluarkan barang-barang dalam rak dapur nie. Farah tengok banyak barang dah expired. So, Farah beranggapan lebih elok dibuang saja. Lagipun hari ini Farah sambung cuti sehari lagi sebab Farah hendak keluar membeli barang-barang keperluan dapur. Tak ada benda yang boleh Farah guna untuk memasak. Apa yang dapat Farah masak pagi ini... apa yang terhidang di atas meja ini sajalah." Terangku dengan panjang lebar.
Dia tersenyum memandangku. Ketika kuberpaling kepadanya, dia sudah menghabiskan dua biji telur separuh masak dan sedang menikmati lempeng susu yang masih panas. "Tak mengapa. You are the madam in this house. Farah boleh buat sesuka hati Farah. Tak perlu ragu-ragu. Abang takkan marah atau halang Farah. Abang tahu Farah seorang isteri dan ibu yang baik malah abang bertuah kerana dapat mengahwini Farah." Kata balasnya membuatkan aku sebak. Kau memang bertuah mengahwini aku, sedangkan aku yang malang kerana menjadi isterimu, abang.
"By the way, kalau Farah mahu, abang boleh temankan Farah beli barang dapur." Sambungnya lagi. Kali ini dia bangun lalu mendekati aku yang setia berdiri di sisi rak dapur.
"It's okay. I can handle myself." Aku menjauhkan diri darinya dengan menuju ke sinki lalu mencuci tangan.
"Banyak barang yang hendak dibeli. Nanti Farah tak larat nak angkat." Dia menghampiri aku. Entah mengapa aku cuba menjauhkan diri darinya. Perasaanku masih lagi berserabut. Kata-katanya semalam, masih terngiang-ngiang di telingaku.
Sebaik sahaja aku mahu melangkah menjauhinya, tangannya pantas mencengkam lenganku. Tersentak aku dengan tindakannya itu. Pantas aku berpaling menatap wajahnya.
"Kenapa Farah macam cuba lari dari abang?" Pertanyaan yang keluar dari mulutnya menyebabkan dadaku berdebar kencang. Aku tidak menjawab, sebaliknya aku merenung ke dalam anak matanya. Agak lama kami bertatapan.
"Tak adalah." Jawabku tergagap-gagap.
"Yes, you are." Balasnya dengan suara yang perlahan tetapi sedikit ditekan.
Aku tidak membalasnya. Sebaik sahaja aku rasakan cengkamannya longgar, aku terus menuju ke peti sejuk. Aku membukanya tetapi aku sendiri sebenarnya tidak tahu apa tujuannya aku membuka peti sejuk itu. Cuma sekadar, mahu menghindarkan diri darinya.
"Okey, biar abang temankan Farah ya?"
"No need." Jawabku pantas lalu berpaling padanya. Dia sedikit tersinggung dengan kata-kataku.
"No... what I meant... Farah boleh pergi seorang. Anak-anak Farah akan hantar pada Kak Bedah. Farah pergi seorang." Terangku berhati-hati setelah menyedari kata-kataku tadi sedikit menengking.
Dia mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami peneranganku. Kemudian dia menyeluk kocek belakang seluarnya. Dia mengeluarkan dompetnya lalu membuka lipatan dompet tersebut. Perlahan-lahan dia menarik keluar sekeping kad kredit lalu dia menghampiri aku. Dia mencapai tanganku lalu meletakkan kad kredit tersebut di atas telapak tanganku.
"Farah guna kad ini untuk membeli apa saja barang keperluan rumah dan keperluan Farah. Abang sekarang suami Farah dan segala keperluan Farah adalah menjadi tanggungjawab abang. Memandangkan Farah tak mahu abang menemani Farah, biar abang pergi ke pejabat dulu." Sebuah kucupan hangat dihadiahkan di dahiku. Terpana sebentar aku dengan perbuatannya. Kemudian dia terus
berpaling dan beredar dari ruang dapur. Tetapi kemudiannya berpaling semula.
"Lupa pula abang nak beritahu. Apa yang Farah masak pagi ini, sedap sekali." Dia tersenyum manis dan kemudiannya terus hilang dari pandanganku.
Bersambung - Bab 20 : Khairul
No comments:
Post a Comment