Kehidupan rumahtanggaku berjalan lancar. Dan sedar tak sedar sudah hampir enam bulan kami bergelar suami isteri. Aku tidak nafikan, Farah memang seorang isteri yang baik. Anak-anakku begitu menyayanginya. Farhan dan Azim ditatang bagai minyak yang penuh. Kehidupan kami sentiasa dibungai keceriaan dan kebahagiaan.
Cuma sampai kini emak masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Farah memang seorang menantu yang baik. Kebenciannya terhadap Farah semakin memuncak apabila anak-anakku ternyata melebihkan Farah darinya. Malah, nama mamanya itu sentiasa bermain di bibir mereka. Aku kadang kala serba salah dibuatnya.
Hm... tanpa kusedari jam sudah hampir ke pukul tiga pagi. Mata ini pula, begitu liat untuk lena. Berkali-kali kucuba untuk memejamkan mata, namun hasilnya tetap sama. Baik aku turun untuk mengambil minuman.
Tap! Suis lampu dapur berbunyi apabila dipetik. Aku mengambil sebiji gelas lalu menuangkan air mineral ke dalamnya. Kuteguk seketika air tersebut, sejuk menuruni tekakku. Tiba-tiba telingaku menangkap derap tapak kaki seseorang sedang menuruni tangga. Aku mendiamkan diri.
"Eh abang!" Rupanya Farah. Rambutnya sedikit kusut. jika itu dia hanya memakai baju tidur yang amat jarang hingga menampakkan lekuk tubuhnya. Terpaku aku sebentar. Dadaku berdebar-debar menatap keindahan ciptaan Tuhan buat isteriku itu.
Farah nampaknya seperti tidak selesa apabila aku merenungnya. Dia memeluk tubuhnya seolah-olah untuk menahan tubuhnya daripada tatapan mataku.
Entah kuasa apa yang diberikan kepadaku, aku mendekati Farah perlahan-lahan. Aku paut bahunya lalu aku mengucup dahinya. Kemudian pipinya pula menjadi sasaran bibirku. Dia hanya mendiamkan diri. Saat bibirku mahu menjamah bibirnya, tiba-tiba sahaja aku bagaikan baru tersentak dari mimpi. Aku menjauhkan diriku darinya. Terpinga-pinga dia memandang wajahku seperti meminta penjelasan.
"Why?" Soalnya perlahan seperti berbisik. Aku berundur ke belakang beberapa langkah.
"Abang minta maaf. Abang tak sepatutnya buat begitu tadi." Aku mengelus rambut ke belakang. Aku mula kegelisahan apabila manatap matanya yang penuh kehampaan.
"Hina sangatkah saya hingga abang tak ingin menyentuh saya?" Pantas aku menoleh ke arahnya. Tidakku duga sebegitu sekali dia membuat tanggapan terhadap dirinya.
"Bukan begitu... abang cuma minta maaf sebab hampir tidak dapat mengawal diri abang tadi."
"Abang tak perlu minta maaf. Abang berhak ke atas tubuh saya sebab abang suami saya. Andai kata ianya terlanjur, bukan dosa yang kita dapat. Saya halal bagi abang." Ada titisan air mata yang mengalir di pipinya. Terkedu aku mendengar kalimah yang dituturkan oleh Farah. Baru aku tersedar, bahawa kehidupan kami bukanlah seperti suami dan isteri yang lain. Aku sendiri telah membina sempadan di antara kami, dan tadi aku hampir merobohkannya. Tetapi aku sendiri tersedar dan menjauhkan diri darinya. Aku fahami perasaannya tadi.
"Farah, abang bukannya kejam hingga menyeksa batin Farah sebegini. Cuma abang masih tidak dapat lari dari bayangan Linda."
"Saya tidak pernah meminta abang melupakan Linda. Saya tahu betapa pentingnya dirinya di sisi abang. Saya cuma meminta sedikit kasih sayang dari seorang suami. Saya manusia bang. Sampai bila saya dapat menahan kesabaran apabila ianya sering diuji. Kesabaran ini hampir tipis bang. Andainya saya diberi pilihan dulu, saya rela menjadi pengasuh buat Farhan dan Azim dari menjadi isteri abang."
"Apa maksud Farah?"
"Entahlah bang. Abang sajalah fikirkan maksud kata-kata saya itu. Andai kata abang sudah tidak perlukan saya di sini, berterus-teranglah. Jangan siksa saya begini lagi." Farah terus berlalu meninggalkan aku seorang di ruang dapur.
Apa maksud kata-katanya itu? Dia seolah-olah memberi bayangan untuk berpisah. Manakan sanggup aku mahu berpisah dengannya. Bagaimana dengan anak-anakku apabila dia pergi nanti? Dan bagaimana pula dengan diriku?
Aku tahu, imanku semakin menipis. Ingin sekali aku membelai dirinya tetapi aku tak berdaya. Seringkali aku teringatkan akan permintaanku sewaktu aku membawanya masuk ke rumah ini enam bulan yang lalu. Kadang kala ingin sahaja aku berterus terang dengannya dan menyatakan aku ingin membatalkan sahaja perjanjian yang pernah kukatakan padanya dulu. Namun ego ini membantutkan niatku.
Farah, maafkan abang. Abang akui abang juga menyayangimu...
Bersambung - Bab 24 : Khairul
No comments:
Post a Comment