Thursday, January 27, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 41

Bab 41 : Khairul

Aku bergegas pulang apabila mendapat panggilan dari emak yang mengatakan bahawa Farhan dikejarkan ke hospital. Belum pun sempat aku bertanya mengapa, emak telah memutuskan talian. Nasib baiklah, waktu itu aku memang sudah berkira-kira mahu pulang setelah menyiapkan kerja-kerjaku.

Kenapa dengan Farhan? Dia cederakah? Mungkin juga demam atau kemalangan. Nauzubillah… minta dijauhkan perkara-perkara buruk dari terjadi terhadap anakku itu! Sebaik sahaja aku sampai di perkarangan hospital, aku terus memakir kereta dan berlari-lari anak menuju ke wad.

Dari jauh aku melihat emak dan ayah kelihatan begitu sugul sekali. Hatiku berasa tidak enak. Parahkah penyakit Farhan. Aku mendekati mereka dengan perasaan yang tidak menentu.

"Emak, ayah… bagaimana dengan keadaan Farhan?" Soalku sebaik sahaja sampai.

"Khairul…" Emak teresak-esak. Hatiku bertambah cuak.

"Ayah, macam mana dengan anak saya?" Aku menyoal ayah pula apabila melihat emak begitu sedih hingga tidak mampu untuk berkata-kata kepadaku.

"Entahlah Khairul. Ayah pun tak tahu macam mana benda nie boleh berlaku. Sebaik sahaja ayah sampai di rumah, ayah dengar Farhan meraung seperti kesakitan. Emak kamu pula sedang mengurut-urut tangannya. Kata emak kamu, Farah cuba melarikan Farhan dan Azim tetapi emak kamu tak benarkan. Tetapi, Farah berkeras dan menyentap tangan Farhan. Agaknya tergeliat tangan anak kamu itu." Beritahu lalu mengeluh perlahan.

"Ayah tak tahan tengok dia meraung begitu. Ayahpun bawalah ke hospital. Dah hampir sejam dia masuk sampai sekarang tak keluar-keluar." Sambung ayah kembali.

Aku menahan rasa di dalam hati. Tak mungkin Farah sanggup mengasari Farhan kerana dia terlalu menyayangi anak-anakku. Tapi, takkanlah pula emak mahu mengada-adakan cerita.

"Betulkah apa yang emak katakan ini?" Aku menyoal emak yang sedang duduk di atas kerusi. Serta merta emak mendongak kepadaku yang sedang berdiri.

"Kau tak percaya pada emak?" Emak menyoalku semula.

"Bukan begitu, tapi… tak mungkin Farah sanggup mengasari Farhan. Dia terlalu sayangkan Farhan, begitu juga dengan Azim."

Apabila mendengar bicaraku, tiba-tiba sahaja emak menyinga.

"Heh, depan kau tentulah dia tunjuk sayang. Belakang kau, ada kau tahu apa yang dia dah buat pada anak-anak kau tu. Depan aku pun dia berani buat anak-anak kau. Dah jadi begini pun, kau sanggup ketepikan emak semata-mata mahu menangkan bini kau tu. Aku dah agak akan jadi begini." Emak merengus kasar.

Terkedu aku mendengarnya. Aku keliru. Yang mana harus aku percayai. Naluriku atau kata-kata ibuku sendiri.

"Azim mana ayah?" Aku mengalihkan tumpuanku kepada ayah pula.

"Ayah tumpangkan dia pada Kak Ros sebelah rumah kita." Hambar sahaja ayah menjawab soalanku. Aku menganggukkan kepalaku. "Azim mana ayah?" Aku mengalihkan tumpuanku kepada ayah pula.

"Ayah tumpangkan dia pada Kak Ros sebelah rumah kita." Hambar sahaja ayah menjawab soalanku. Aku menganggukkan kepalaku.

Tiba-tiba sahaja pintu wad ditolak perlahan. Kelihatan seorang doktor muda keluar lalu melemparkan senyuman kepada kami bertiga. Aku terus mendapatkan doktor muda itu.

"Doktor, bagaimana dengan keadaan anak saya?"

"Encik ayahnya?" Soal dia pula. Aku segera menganggukkan kepala.

"Oh, encik tak perlu risau. Tangannya cuma tergeliat sedikit. Kemungkinan akibat ditarik atau direntap dengan kuat. Jadi buat masa sekarang, tangannya terpaksa dibendunglah buat sementara waktu." Jawapan dari mulut doktor itu melegakan hatiku. Setelah bersalam dengan doktor kacak itu, aku menyandarkan badanku ke dinding.

"Emak mahu kau biarkan emak sahaja yang menjaga anak-anak kau itu. Emak dah tak percayakan dia lagi. Kalau ikutkan rasa marah aku nie, mahu saja aku suruh kau ceraikan dia."

"Emak…. Takkanlah sampai mahu saya buat begitu!" Aku cepat-cepat memintas kata-kata emak.

"Habis tu, apa yang kau nak buat? Takkan kau nak tutup mata sahaja dengan perangai bini kau yang mendera cucu-cucu aku nie? Kalau sayang sekalipun, takkan kau sanggup biarkan anak-anak kau jadi korban." Kata-kata emak menusuk ke hatiku. Namun, aku tidak segera membalas kata-kata emak. Aku hanya mendiamkan diri. Ayah pula sudah menghilangkan diri entah ke mana. Agaknya melihat Farhan.

Memang aku sayangkan dia, tapi dia sudah tidak sayangkan aku. Sudah bermacam-macam aku lakukan untuk mengembalikan kemesraan dulu… namun segala-galanya sia-sia saja. Dia sudah tidak memperdulikan akan diriku lagi. Walaupun begitu, tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu tetap dilakukan. Mana mungkin aku mendapat seorang wanita yang setabah dan sebaik Farah.

Tapi, ada kemungkinan juga dia melepaskan rasa marah dan tidak puas hatinya terhadapku kepada Farhan dan Azim. Tapi, tak mungkin!! Farah bukannya begitu. Dia terlalu menyayangi Farhan dan Azim.

"Apa yang kau menungkan? Kau masih tak percaya akan kata-kata emak?" Tiba-tiba sahaja suara emak menerjah ke corong telingaku.

"Bukan begitu, cuma…."

"Emak tahu kau tak percaya dengan apa yang emak katakan itu. Tapi, kau fikirlah sendiri Khairul. Emak sayangkan cucu-cucu emak. Emak juga tidak sanggup biarkan mereka diperlakukan sebegitu. Takkanlah emak mahu mengada-adakan cerita apabila melihat hal-hal seperti ini. Lagipun emak lihat kau dengan Farah tidaklah seperti suami dan isteri yang lain. Selama emak dan ayah berada di rumah kamu, emak tahu kamu berdua sedang bermasalah. Kamu berdua seperti menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan emak dan ayah. Tapi, emak takkan memaksa kamu memberitahunya. Itu masalah rumahtangga kamu. Emak tak mahu masuk campur. Pandai-pandailah kau urus dan selesaikannya. Dalam hidup berumahtangga memang perlu ada sikap saling percaya antara satu sama lain tetapi perlu juga ada sikap berwaspada. Perangai manusia sukar untuk dijangka. Emak bukannya mahu menghasut, tapi kau dan tengok apa yang sudah terjadi pada anak kau. Takkanlah kau mahu diamkan saja apa yang Farah sudah lakukan. Kau perlu bertindak Khairul. Kau perlu bertegas. Farhan dan Azim sajalah anak-anak kau. Tiada yang lain lagi. Hari ini nasib baiklah tangannya cuma tergeliat, esok lusa…" Bicara emak terhenti di situ. Emak menepuk-nepuk bahuku lalu berlalu dari sisiku. Terkedu aku mengamati kata-kata emak sebentar tadi. Tak mungkin emak mahu mengada-adakan cerita semata-mata mahu meruntuhkan rumahtangga anaknya sendiri.

Tiba-tiba sahaja perasaan marah terhadap Farah meluap-luap. Tidak aku sangka dia sanggup memperlakukan Farhan sebegitu sekali. Kalau dahulu, dia mencurahkan kasih sayangnya kepada anak kecil itu, tapi sekarang lantaran dendamnya kepadaku, dia sanggup engasari anak kecil itu. Sungguh aku tidak menyangka, wanita yang berwajah lembut dan penuh keibuan boleh bertukar watak dan rupa sebegini.

Farah, abang tak sangka kau sanggup buat begitu kepada Farhan!!!

Bersambung - Bab 42 : Farah


No comments:

Post a Comment