Sedari tadi aku tidak berenggang langsung dengan Farhan dan Azim. Mereka berdua berada di dalam pangkuanku. Tubuhku dipeluk erat, seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi. Kuusapi pipi Azim yang sedikit cengkung sedangkan dulunya tembam hinggakan membuatkan sesiapa sahaja yang nampak akan terasa ingin mencubitnya. Begitu juga dengan Farhan yang amat ketara berat badannya telah menurun.
Hatiku diruntun pilu bila melihat keadaan mereka. Perasaan bersalah merajai di dalam hatiku. Mereka menjadi mangsa konflik di antara aku dengan papa mereka. Bukannya aku mahu keluar dari rumah itu. Aku boleh bertahan jika aku dipersalahkan, malah aku akan merayu bila dia menghalauku. Namun, dia telah menghinaku. Maruahku telah dipermainkan. Sanggup dia menuduhku perempuan jalang di jalanan. Maruahku disamakan dengan perempuan-perempuan murahan yang tak ubah seperti pelacur!
"Auntie Mama pegi mana? A'an dan adik rindu kat Auntie Mama." Farhan masih lagi merengek-rengek. Hati wanitaku kembali sebak. Aku memeluk Farhan dan Azim dengan erat.
"Auntie Mama kerja sayang." Jawabku lalu mengucup ubun-ubun Farhan.
"Keje kat mana?" Dia menyoalku lagi.
"Tempat kerja Auntie Mama jauh." Balasku. Dia pula hanya menganggukkan kepalanya.
"Mamaaa..." Azim memanggilku. Aku mengalihkan pandanganku kepada Azim. Kasihan anak kecil ini. Kejamnya aku kerana meninggalkan dia dalam ketika dia amat memerlukan kasih sayang seorang ibu. Maafkan mama sayang...
"Ya sayang." Pipinya kukucup mesra. Dia tersenyum gembira.
"Adik cayang mama.." Terkedu aku mendengar kata-katanya. Air mataku menitis laju. Terharu mendengar ucapan kudus yang terbit dari bibir mungil itu. Hampir empat bulan aku meninggalkannya, rupanya dia semakin petah bercakap. Alangkah bahagianya jika kehidupanku seperti dulu. Menjadi ibu buat mereka... mengasuh mereka... bermain dengan mereka... bercerita dengan mereka... Aku rindukan kebahagiaan dulu. Mengapa kebahagiaan itu dirampas dariku??
"Auntie Mama dah gemuk la..." Ucap Farhan lalu memegang perutku. Aku ketawa kecil. Aku mencubit lembut pipinya.
"Auntie Mama Farhan bukan gemuk, tapi dalam perut Auntie Mama ada adik Farhan." Kak Bedah mencelah perbualan kami dari belakang. Aku menoleh seketika lalu tersenyum. Kelihatan di sedang menatang dulang dan menghampiri aku.
"Adik A'an? Nie adik ada sini." Jawab Farhan sambil tangannya menunjuk ke arah Azim di sebelahnya. Aku dan Kak Bedah ketawa besar. Nampaknya Farhan masih terlalu mentah untuk memahaminya.
"Bukan Azim. Maksud mak cik... nanti Farhan dan Azim akan dapat adik baru. Suka tak?" Kak Bedah masih cuba untuk membuatkan Farhan dan Azim faham akan keadaanku sekarang. Aku hanya tersenyum melihat Farhan dan Azim mengangguk-anggukkan kepala mereka.
"Sudahlah Kak Bedah, budak-budak tu bukannya faham. Mereka masih terlalu kecil untuk memahami tentang kita orang dewasa." Aku bersuara. Kak Bedah memandangku lalu tersenyum.
"Mari kita minum. Tengahari nie, Farah makan di sini sajalah ya." Tangan Kak Bedah lincah menyusun cawan di atas meja dan meletakkan piring puding jagung di depanku. Jag berisi air kopi masih lagi berasap.
"Kak Bedah buat puding jagung nie? Ini kuih kegemaran saya nie." Kataku lalu mengambil sepotong kuih itu. Aku mencubit sedikit lalu kusuapkan ke mulut Farhan. Kemudian aku mencubit sedikit dan kusuapkan pula ke mulut Azim.
"Ya, Farah. Akak macam terasa kau akan datang hari ini. Tak sangka pula..." Kata-kata Kak Bedah terhenti. Aku melihat ada air mata yang bergenang di kelopak matanya.
"Kenapa nie kak? Janganlah sedih begini." Aku bersuara perlahan memujuk Kak Bedah dari menangis.
"Kak Bedah kasihankan kau. Dalam keadaan berbadan dua begini, Farah terpaksa hidup seorang diri." Akhirnya jatuh juga air mata yang ditahan-tahan oleh Kak Bedah tadi. Aku mengeluh perlahan.
"Sudah nasib saya kak. Tak mengapalah Kak Bedah. Walaupun begini, tapi saya tidak pernah seorang diri. Ramai kawan-kawan saya ada di sekeliling untuk menemani saya kak. Lagipun saya bekerja. Tak terasa sangat hidup berseorangan kak." Aku menyapu air mata yang mengalir di pipi Kak Bedah. Farhan dan Azim leka bermain sesama mereka.
"Di mana Farah tinggal?"
"Saya tinggal semula di rumah lama saya. Maksud saya, rumah yang saya duduki sebelum berkahwin dengan Khairul." Kak Bedah mengangguk kecil.
"Macam mana dengan kehidupan Farah sekarang?" Soalan Kak Bedah kusambut dengan senyuman. Aku mencapai tangannya lalu kugenggam erat.
"Kehidupan saya baik kak. Cuma kadang-kadang tu terasa rindu pada Farhan dan Azim. Tapi, saya takut untuk datang melihat mereka. Takut kalau-kalau Khairul tidak menerima kedatangan saya malah akan menghalau saysa. Jadi, rasa rindu pada mereka hanya saya pendamkan dalam hati. Untuk melupakan perasaan rindu itu, saya cuba sibukkan diri dengan kerja." Aku berterus-terang kepada Kak Bedah.
Memang begitulah perjalanan hidupku semenjak tinggal seorang diri. Aku keluar bekerja dan hanya pulang lewat malam. Aku tahu keadaan ini tidak elok untuk kesihatan aku yang sedang berbadan dua. Tetapi, aku terpaksa menyibukkan diri. Jika tidak, aku asyik teringatkan tentang Farhan dan Azim. Aku tahu, aku tidak mampu melupakan mereka. Aku terlalu menyayangi mereka berdua.
"Farah tak rindukan Khairul?" Jantungku seakan berhenti apabila mendengar soalan yang keluar dari bibir Kak Bedah. Aku merenungnya seketika. Aku diam tidak berkata-kata.
"Farah tak rindukan Khairul?" Kak Bedah mengulangi soalannya kepadaku sekali lagi.
"Saya tak tahu apakah perasaan saya terhadapnya kini. Kalau boleh saya mahu lupakan apa yang telah dia lakukan pada saya. Sakitnya masih terasa hingga kini. Pedihnya masih tidak hilang. Peristiwa itu masih terbayang-bayang di ruang mata saya." Keluhku lalu melemparkan pandangan kepada Kak Bedah. Wajahnya kelihatan turut bersimpati dengan nasib diriku.
"Tapi, Khairul sudah tahu kisah sebenarnya dan dia memang mencari-cari Farah. Di wajahnya memang menggambarkan betapa dia menyesal di atas perbuatannya dulu. Kembalilah kepadanya Farah." Kak Bedah cuba memujukku.
"Tak mungkin kak... tak mungkin saya mahu kembali hidup bersama dia lagi." Aku mula terisak-isak.
"Manusia tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Dan Khairul juga tidak terlepas dari membuat kesilapan. Maafkanlah dia Farah. Apa yang berlaku antara kau dan dia, hanyalah salah faham. Kak Bedah dapat rasakan yang dia teramat sayangkan Farah. Semenjak ketiadaan Farah, hidupnya bagaikan tidak terurus." Bergetar dadaku apabila mendengar kata-kata Kak Bedah. Begitukah keadaannya tika ini?
"Saya tahu kak. Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan, begitu juga dengan saya. Kesilapan saya adalah berkahwin dengannya. Jadi, saya tidak mahu mengulanginya sekali lagi. Cukuplah sekali. Setelah anak ini lahir nanti, saya akan selesaikan apa yang belum diselesaikan antara kami. Biarlah kami membawa haluan masing-masing. Saya rasa itulah sebaik-baiknya." Aku nekad. Perkara ini sudah lama aku fikirkan. Aku tahu, aku tidak kuat untuk menghadapinya seorang diri. Namun, demi anak di dalam kandunganku ini... aku mesti cuba!
"Jangan buat keputusan yang terburu-buru Farah. Fikirkanlah anak di dalam kandungan kau ini. Dia memerlukan kasih sayang ayahnya. Lagipun, ayahnya masih ada. Mengapa kau hendak memisahkan mereka? Lagipun, Khairul tidak pernah menceraikan kau, Farah."
"Saya tahu kak. Dia tidak menginginkan anak ini. Malah, dia tidak mengharapkan langsung akan kehadiran anak ini. Kasihnya hanya untuk Farhan dan Azim."
"Tapi, ini anaknya juga. Itu kebenaran yang tidak boleh kau sangkal." Tegas Kak Bedah.
"Tidak... ini anak saya. Anak saya..." Suaraku tenggelam dalam sebak. Kak Bedah pantas memelukku. Aku menangis dalam pelukannya. Dia membelai-belai rambutku. Aku menangis sepuas hatiku di dalam pelukan Kak Bedah. Aku sudah menganggap Kak Bedah seperti kakakku sendiri.
Keluargaku di kampung masih lagi tidak mengetahui akan keadaanku yang sudah tidak tinggal sebumbung dengan Khairul. Malah, sudah lama juga aku tidak pulang ke kampung. Aku hanya pulang seketika ke kampung untuk menenangkan fikiran setelah kejadian itu. Walaupun begitu, aku khabarkan juga berita mengenai kandunganku. Emak dan abah amat gembira mendengarnya. Aku tidak mahu mencacatkan kegembiraan dan kebahagiaan itu. Biarlah aku seorang diri yang menanggung kesedihan.
"Naper Auntie Mama nangis?" Suara Farhan menerjah ke corong telingaku. Aku melepaskan diri dari pelukan Kak Bedah. Aku menarik tubuh Farhan rapat ke sisiku.
"Tak ada apa-apa sayang." Jawabku lalu tersenyum hambar. Dia menyapu air mata yang masih bersisa di pipiku.
"Jika Farah nekad mahu berpisah, bagaimana pula dengan nasib budak-budak ini? Mereka sangat menyayangi kau, Farah dan begitu juga dengan Farah sendiri. Farah sendiri tidak sanggup untuk berpisah dengan mereka, inikan pula mahu berpisah dengan papa mereka. Apa nasib mereka kelak jika kau berdua benar-benar berpisah? Jangan biarkan anak-anak menjadi mangsa. Mereka memerlukan sebuah keluarga yang lengkap untuk membesar dengan sempurna. Fikirlah semula Farah... demi Farhan dan Azim." Terdiam aku mendengar bicara Kak Bedah.
"Hari nie, kita balik rumah sama-sama ya?" Farhan memandangku dengan pandangan yang penuh mengharap. Azim pula datang menghampiriku lalu mengucup pipiku mesra.
"Mama sayangkan Farhan dan Azim..." Air mataku berderai lagi.
Bersambung - Bab 48 : Khairul
No comments:
Post a Comment