"Apa? Sakit buah pinggang? Seriuskah sakitnya bang?" Aku hampir tidak mempercayainya tika Khairul memberitahu penyakit sebenar yang dihidapi emak. Khairul ketika itu amat murung. Wajahnya kelihatan begitu keruh sekali.
Aku mendekatinya yang sedang duduk di kerusi di luar wad yang menempatkan emaknya. Dia menekup wajahnya, lama. Hatiku runsing apabila melihatnya sebegitu. Aku melabuhkan punggungku di sebelahnya. Jari-jemariku mencapai lengannya. Kuramas lembut lengannya.
"Bersabarlah bang. Doktor beritahu apa lagi?" Soalku lembut, tidak mahu terlalu mengganggu emosinya yang begitu tertekan. Sepatutnya aku tidak harus menyesakkannya dengan pertanyaanku, tetapi keinginanku untuk mengetahui keadaan emak, kuketepikannya.
"Emak memerlukan pembedahan secepat yang mungkin. Buah pinggang emak sudah rosak teruk dan tak dapat berfungsi lagi." Balasnya lalu memegang jariku yang singgah di lengannya sedari tadi. Dia menggenggam erat tanganku seolah-olah mahukan sedikit kekuatan agar dia dapat menghadapi situasi genting seperti ini. Aku memahaminya lalu aku mendaratkan sebelah lagi tanganku di atas tangannya yang sedang menggengam erat jemariku.
"Pembedahan? Maksud abang, pemindahan buah pinggang?"
Khairul menganggukkan kepalanya perlahan. Kemudian terdengar keluhan berat yang dilepaskannya. Tidak pernah aku melihat dia sebegini. Agaknya sewaktu Linda meninggal dulu, keadaannya mungkin lebih teruk dari ini. Kehilangan seseorang yang amat dikasihi, sudah tentu memberi tamparan hebat buatnya. Sedangkan sekarang, walaupun emaknya dimasukkan ke hospital sudah cukup mengusutkan fikirannya serta membuatkan diri seperti tidak terurus, apatah lagi keadaannya ketika menghadapi kematian Linda. Mungkin hampir membuatkannya hilang akal.
"Abang dan ayah sudah pergi untuk menawarkan buah pinggang kami. Selepas menjalani pemeriksaan, nampaknya hanya buah pinggang ayah yang sesuai. Tetapi memandangkan usia ayah yang sudah lanjut, doktor tidak menggalakkan ayah mendermakan buah pinggang pada emak. Buah pinggang abang pula tidak sesuai buat emak."
Aku terdiam mendengar penjelasan dari suamiku. Tiada apa yang dapat aku ucapkan untuk meredakan keresahannya. Walaupun rasa simpatiku melimpah ruah, namun aku tidak dapat mencari ayat yang dapat meredakan kekusutan fikirannya sekarang. Aku sendiri buntu dengan kata-kata.
"Sudah tiada cara lainkah abang?"
"Tak ada. Emak memerlukan pemindahan buah pinggang dengan segera. Jika tidak, nyawa mak dalam bahaya. Tapi, buat masa sekarang mana ada sesiapa yang sudi mendermakan buah pinggang. Sedangkan ramai lagi pesakit yang sedang menunggu untuk dibedah." Khairul kembali menekup wajahnya. Bahunya terhinggut-hinggut.
Dia menangis? Ya, Khairul menangis. Hiba hatiku melihat keadaannya sekarang. Bertambah hiba aku apabila mengenangkan nasib emak. Walaupun dia tidak pernah menganggap aku sebagai menantunya, namun aku tidak ambil kisah. Aku tetap menghormatinya sebagai ibu kepada suamiku dan nenek kepada anak-anak Khairul.
Adakalanya hatiku amat tersentuh dengan kata-katanya. Emak mertuaku tidak pernah menyenangi kehadiran aku di dalam keluarganya. Sindiran-sindiran tajam sentiasa menjadi halwa telinga buatku ketika pulang ke kampung menjengahnya. Namun sedikitpun tidak aku ceritakan pada Khairul. Buat apalah aku mahu menjadi batu api di dalam perhubungan mereka anak-beranak.
Walaupun buruk layanannya terhadapku, tetapi aku cukup berpuas hati kerana setiap hasil dari air tanganku, dijamahnya. Itu sudah memadai buatku. Tambahan pula, ayah dan saudara mara yang lain menerima kehadiran aku di kalangan mereka, sedikitpun tidak membuatkan aku rasa terpinggir. Khairul pula adalah orang yang paling banyak memberi semangat dan sering memujukku apabila disindir oleh emaknya. Ini membuatkan aku amat terharu dengan layanannya.
Kadang kala aku sendiri tidak memahami mengapa Khairul mahukan aku menjadi ibu buat Farhan dan Azim. Dan kini, sudah hampir setahun usia perkahwinan kami, keadaan kami masih lagi seperti sewaktu mula-mula aku melangkah masuk ke rumahnya. Kadang kala terlintas juga di fikiranku, adakah Khairul sudah tidak berkeupayaan seperti lelaki lain? Dan atas sebab itulah dia memisahkan aku dari dirinya sendiri. Tetapi, cepat-cepat kulontar segala prasangka yang bermain di fikiranku. Tidak patut aku membuat sebarang kesimpulan tanpa mengetahui kebenarannya.
"Abang, sudah sehari semalam abang tak jamah apa-apa makanan pun. Apa kata kita pergi makan dahulu. Nanti kita belikan makanan untuk ayah sekali ya!" Aku memujuk Khairul untuk mengambil makanan. Sejak kami sampai kelmarin, sebiji nasi pun tidak masuk ke dalam perutnya. Hanya air dan sedikit kuih sahaja yang dimakannya. Itupun setelah puas aku memujuknya. Aku menemaninya di sini sejak kelmarin juga. Farhan dan Azim aku tumpangkan di rumah sepupu Khairul.
"Abang tak ada selera. Kalau Farah lapar, abang belikan untuk Farah." Ujarnya lalu cuba bangun tetapi segera aku menahannya.
"Farah tak lapar, cuma Farah risaukan abang." Balasku perlahan. Dia tersenyum sedikit lalu tangannya mengusap pipiku.
"Tak perlu risaukan abang. Yang perlu kita risaukan sekarang adalah emak. Mana kita hendak mencari seseorang yang sanggup mendermakan buah pinggang buat emak."
"Tetapi, macam mana abang hendak mencari orang kalau diri abang sendiri nampak tak bermaya. Abang perlu makan, kalau tak banyak... sedikit pun jadilah. Tak elok biarkan perut kosong, nanti abang pula yang sakit." Kataku bersungguh-sungguh. Dia tersenyum lagi.
"Macam mana abang hendak makan jika mengenangkan keadaan mak di dalam sana?" Aku terdiam mendengar kata-katanya. Ada betulnya juga kata-kata Khairul. Aku sendiri pun tidak berselera untuk mengambil makanan apabila mengenangkan keadaan emak. Fikiranku juga kusut apabila melihat dia dan ayah berwajah muram sahaja. Makanan yang ditelan pun begitu kesat sekali untuk melalui kerongkong.
"Ermmm... apa kata kalau saya saja yang mendermakan buah pinggang buat emak?" Ujarku perlahan.
Mata Khairul bulat memandangku. Dia pula yang terdiam.
"Apa... apa Farah cakap?" Tergagap-gagap dia meminta aku mengulangi kata-kataku.
"Abang, biarlah Farah cuba . Manalah tahu, buah pinggang Farah sesuai buat emak." Aku mengulangi
kata-kataku. Kali ini dengan lebih jelas lagi.
"Tapi..."
"Abang, izinkanlah Farah mendermakan buah pinggang Farah buat emak. Farah tahu, walaupun buruk layanan emak pada Farah, namun Farah sudah menganggap emak seperti emak Farah sendiri. Sakit emak, sakit Farah. Sihat emak, sihatlah Farah."
"Tapi, Farah tak perlu membuat pengorbanan seperti ini. Kita boleh cuba cari orang lain dulu." Khairul seperti enggan menerima sarananku.
"Mengapa perlu cari orang lain sedangkan Farah sendiri sudah menyanggupinya. Lagipun apalah sangat pengorbanan Farah ini jika dibandingkan dengan kesihatan emak nanti. Abang, Farah ikhlas bang. Farah pun mahukan emak sihat seperti sedia kala."
"Mana boleh begitu Farah..." Dia masih lagi tidak mahu membenarkan aku mendermakan buah pinggangku buat emaknya.
"Abang, Farah sudah nekad. Izinkanlah Farah mendermakan buah pinggang Farah buat emak ya?"
Khairul tidak terus menjawab. Dia bangun lalu mundar-mandir di hadapanku. Aku tahu dia serba-salah dan sedang memikirkan permintaanku. Aku sendiri tidak menyangka yang aku mengeluarkan permintaan itu. Namun, aku sedar... emak adalah segala-galanya buat diri Khairul. Siapa yang mahu melihat ibu sendiri menderita menanggung penyakit yang boleh membawa maut itu.
"Habis, Farah macam mana pula?" Pertanyaannya mengundang rasa hairan padaku.
"Apa maksud abang?" Aku menyoalnya kembali.
"Kalau Farah dermakan buah pinggang Farah pada emak, macam mana Farah hendak meneruskan hidup?"
Aku hampir ketawa apabila mendengar soalannya. Dalam keadaan yang kusut seperti ini, dia yang terpelajar sudah tidak dapat berfikir dengan rasional.
"Abang, selalunya buah pinggang dapat berfungsi walaupun hanya ada sebelah sahaja. Insyaallah jika selepas pemeriksaan nanti, doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggang Farah elok, hanya sebelah sahaja yang akan diberikan pada emak." Aku memberi penerangan kepadanya. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami.
"Kalau beri kedua-duanya, matilah Farah. Tapi, kalau abang mahukan Farah berikan kedua-duanya sekalipun, Farah rela bang. Asalkan emak sihat semula." Ujarku lemah. Tetapi Khairul pantas mendekati aku. Dia berlutut di hadapanku. Dia mencapai tanganku lalu digenggam erat. Tindakannya itu membuatkan aku terpinga-pinga.
"Jangan kata begitu Farah. Abang tak mahu menghadapi kematian lagi. Cukuplah sekali. Abang tak sanggup kehilangan insan yang abang sayangi. Please... jangan cakap soal mati lagi ya." Terkedu aku mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya.
Benarkah apa yang aku dengar ini? Akukah insan yang disayanginya itu ataupun emak? Huh... sudah tentu emaknya. Siapalah aku untuk mendapat kasih sayangnya. ku hanya 'pengasuh' buat anak-anaknya. Aku tidak bernilai langsung di sisinya. Mana mungkin dia dapat mengalihkan kasihnya padaku. Hanya aku sahaja yang setia menyayanginya walaupun belum tentu kasihku berbalas.
Aku tersenyum hambar. Tanpa diduga dia terus mendakapku erat. Buat pertama kalinya dalam tempoh perkahwinan aku bersamanya, dia memelukku. Satu keajaiban berlaku. Perlahan-lahan dia merenggangkan pelukannya lalu satu kucupan hangat hinggap di dahiku.
"Farah, mana mungkin abang mendapat seorang isteri yang semulia kau. Sanggup kau mendermakan buah pinggang buat emak. Tak terbalas pengorbanan kau buat abang Farah." Ucapnya sambil matanya tepat merenung mataku.
"Apa yang Farah lakukan ini, tidaklah sebesar mana. Cuma satu sahaja permintaan Farah. Harap abang boleh tunaikan."
"Apa dia Farah. Katakan sahaja, abang akan tunaikan." Dia kembali menggenggam erat tanganku.
"Seandainya, buah pinggang Farah sesuai untuk didermakan kepada emak, Farah amat berharap agar abang rahsiakan dari pengetahuan emak ya."
Khairul terkejut dengan permintaanku. Genggaman tangannya mulai longgar.
"Mengapa pula dirahsiakan? Sepatutnya Farah memanfaatkan. Sekurang-kurangnya emak akan sedar bahawa Farah seorang yang amat baik. Mungkin tanggapan emak terhadap Farah akan berubah." Aku tahu dia tidak puas hati dengan permintaanku. Namun pengorbananku ini bukanlah mahukan apa-apa sebagai balasan.
"Apa yang Farah lakukan ini, tidak menuntut apa-apa balasan bang. Farah ikhlas. Jika emak mahu menerima Farah, biarlah kerana diri Farah sendiri dan bukannya disebabkan kesudian Farah mendermakan buah pinggang Farah buatnya. Harap abang faham."
Melihat ketegasanku, Khairul akur. Dia bangun lalu kembali duduk di sebelahku. Tangan kanannya melingkari pinggangku dan tangan kirinya menggenggam erat jariku.
"Baiklah, jika itu permintaan Farah, abang akur. Sekarang, mari abang bawa Farah berjumpa dengan Doktor Johari." Katanya lalu memimpin aku menuju ke bilik Doktor Johari.
Abang... memang aku tidak mahukan apa-apa balasan atas pengorbananku ini. Cukuplah sekadar jika kau dapat menerima aku dalam hidupmu. Menerima aku sebagai isterimu yang sebenar-benarnya. Dan juga berilah aku kesempatan untuk mengecap nikmat perkahwinan yang sebenar-benarnya.
Bersambung - Bab 26 : Khairul
No comments:
Post a Comment