Thursday, January 20, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 21

Bab 21 : Khairul

Tika aku sampai di rumah, keadaannya amat sunyi. Tiada kedengaran bunyi bising anak-anak. Malah halaman rumah kosong sahaja. Hatiku berdetak kencang. Mungkinkah dia sudah pergi meninggalkan aku? Tapi, Farah takkan buat begitu. Aku tahu walaupun hatinya terguris dengan tindakanku, dia tidak akan tergamak meninggalkan Farhan dan Azim. Aku mempercepatkan langkahku menuju ke pintu rumah.

Keadaan di dalam rumah juga sunyi sahaja. Pintu tidak berkunci. Aku menarik nafas lega apabila aku melihat susuk tubuh Farah yang sedang berbaring di atas sofa. Aku mendekatinya perlahan-lahan. Rupa-rupanya dia sedang terlena di atas sofa bersama Farhan dan Azim. Begitu nyenyak mereka bertiga tidur. Aku tersenyum melihat mereka.

Kuusap perlahan rambut Farhan dan Azim. Azim begitu nyenyak tidur di dalam pelukan mamanya. Farhan pula tidur beralaskan perut Farah. Kasih sayang Farah tetap terserlah walaupun dalam keadaan begini. Kedengaran dengkuran halus dari Farah. Adakalanya tidak kedengaran langsung.

Aku bingkas bangun dan menuju ke dapur. Aku sedikit terkejut dengan keadaan di dapur. Ada sedikit perubahan dengan susun atur peralatan dan kedudukan kerusi, meja dan beberapa kabinet. Mataku melirik ke meja lalu kubuka tudung saji. Sudah tersedia hidangan untuk minum petang. Kuih lapis dan cucur udang bersama kuahnya. Air teh pula sudah suam. Agaknya sudah lama dia menyediakan kuih-kuih ini.

Aku mengambil sepotong kuih lapis lalu kumasukkan ke dalam mulut. Hmmm... sedap! Apa sahaja yang dimasak oleh Farah, semuanya enak. Sesuai dengan seleraku. Mataku teralih pada rak dapur. Tergerak hatiku untuk melihat isi di dalam rak tersebut. Apabila kubuka, sudah lengkap semua barang-barang dapur. Semuanya disusun kemas dan teratur. Nampaknya seharian dia mengemas dapur. Dan kemudian menyediakan minuman petang. Agaknya dia kepenatan sampai tertidur di sofa.

Abang tahu Farah seorang isteri yang baik. Walaupun hati Farah telah abang guris, namun tidak sekali-kali Farah abaikan tugas Farah sebagai isteri di dalam rumah ini. Terasa berdosanya abang terhadap Farah.

Aku kembali ke ruang tamu. Mereka bertiga masih lagi lena. Aku duduk menghadap mereka tidur. Aku memerhatikan wajah Farah yang tenang dalam lenanya. Tetap manis walaupun sedang tidur. Alis matanya yang lentik, kening yang lebat, hidung kecil tetapi mancung dan sepasang bibir comel yang sentiasa merah walaupun tanpa dicalit dengan gincu. Betapa bertuahnya diriku kerana memilikinya sebagai isteri.

Tiba-tiba sahaja sahaja tanganku begitu ringan lalu mengusap pipinya yang licin. Tak lama kemudian dia seakan tersentak dari lenanya. Matanya terbuka luas an memandangku tepat. Tanganku masih lagi berada di pipinya.

"Bila abang sampai?" Soalnya kaget.

Aku tidak menjawab malah asyik merenungnya. Mengapa aku mensia-siakan kecantikan yang ada pada isteriku ini? Sedangkan aku berhak keatasnya.

Terasa tanganku dipegang lembut. Tersentak aku dari lamunan. Perlahan-lahan aku menarik tanganku dari pipinya. Dia masih lagi merenungku. Kali ini dapat aku rasakan cara renungannya sudah berubah. Tidak seperti pagi tadi.

"Baru saja." Jawabku lalu bangun dan duduk di sofa yang bertentangan dengannya. "Kenapa tidur di sini?" Soalku pula. Dia pula sedang mengejutkan Farhan dan Azim dari tidur. Terpisat-pisat kedua-duanya apabila dikejutkan. Tetapi kemudiannya lena kembali.

"Maafkan Farah, bang. Asalnya tadi Farah saja berehat di sini sambil melayan Farhan dan Azim bermain. Tak sedar pula tertidur."

Aku memandang Farah yang sedang mengikat rambutnya seperti ekor kuda. Nampak seperti gadis remaja apabila dia mengikat rambutnya begitu. Tambahan pula wajahnya sedikit keanak-anakan itu.

"Abang nak minum? Farah dah sediakan kuih untuk petang ini. Marilah kita makan." Ajaknya dengan wajah yang ceria. Aku sedikit kebingungan. Jika pagi tadi, dia bagaikan tidak sudi langsung untuk menatap wajahku. Tapi, kini dia seperti sudah kembali seperti biasa. Mengapa begitu drastik sekali perubahannya.

"Are you okay?"

Dia agak terkejut dengan pertanyaanku. Kemudiannya tersenyum. Mungkin memahami maksud di sebalik pertanyaanku.

"Everything is okay. Don't worry. I know what suppose me to do. And I know who am I beside you, abang." Sinis sekali jawapan yang keluar dari mulutnya. Walaupun dia nampak tenang, aku tahu dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

Aku bangun lalu melabuhkan punggungku dan duduk di atas permaidani di hadapannya. Perlahan-lahan aku mencapai tangannya lalu kugenggam lembut. Aku mendongak untuk memandang wajahnya. Dia tetap tenang.

"Farah, abang minta maaf. Mungkin permintaan abang semalam agak keterlaluan dan mungkin juga terlalu berterus-terang. Abang tahu hati Farah terguris. Tapi, berilah abang masa. Abang pasti suatu hari nanti kita takkan begini."

"Ambillah masa sebanyak mana yang abang mahukan. Itu hak abang. Farah takkan membantah malah tiada hak untuk menghalang. Farah sudah serahkan hidup Farah pada abang apabila kita diijab kabulkan. Pandai-pandailah abang mencorakkannya." Balasnya lalu bangun dan menuju ke ruang dapur. Aku membuntutinya.

"Farah, abang tahu Farah marahkan abang. Abang..."

"Abang. Tak perlu lagi menjelaskan apa-apa lagi. Apa yang abang beritahu Farah semalam begitu terang dan jelas. Memang pada mulanya Farah berasa begitu kecewa dan sakit hati dengan tindakan abang. Tapi, Farah sudah memikirkan semasak-masaknya. Dan ini adalah keputusan Farah." Ujarnya tegas.

Hatiku berdebar kencang. Mungkinkah kata perpisahan yang akan dipintanya?

"Apa maksud Farah? Farah mahu berpisah?" Dia tampak terkejut dengan pertanyaanku. Tetapi dia melindungkan rasa terkejut itu dengan senyuman. Memang begitu perangainya. Walau seteruk mana dia tertekan, dia hanya tersenyum. Cuma semalam sahaja dia gagal untuk mempertahankan perasaannya. Mungkin dia menerima tamparan yang begitu hebat sekali dalam hidupnya. Salah aku juga.

"Farah terima syarat dan permintaan abang. Walaupun pedih, itulah kenyataan yang perlu Farah hadapi. Tapi, Farah takkan meminta perpisahan dari abang. Walaupun abang tak dapat menyayangi Farah itu tidak bermakna Farah perlu mengundurkan diri. Farah rasa, dengan kasih dan sayang dari Farhan dan Azim sudah dapat membahagiakan Farah."

Terkedu aku mendengar kata-katanya. Kau terlalu baik untukku Farah. Sepatutnya aku tak layak untuk menjadi suamimu. Aku hanya akan menyeksa perasaan kau dalam perkahwinan kita ini. Mengapa aku jadi begini? Pentingkan diri sendiri. Tapi, aku lakukan semua ini demi kebahagiaan anak-anakku bukannya diriku. Betulkah tindakanku ini?

"Jemput minum bang." Ujarnya sambil menghulurkan secawan teh kepadaku dengan senyuman yang memekar di bibirnya.

Bersambung - Bab 22 : Farah

 

No comments:

Post a Comment