Wednesday, January 26, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 35

Bab 35 : Khairul

Dengan kehadiran emak dan ayah ke rumahku, ini bermakna Farah terpaksa berkongsi bilik denganku. Namun, sejak tiga hari kedatangan emak dan ayah maka tiga hari jugalah dia tidur bersama Farhan dan Azim di bilik mereka. Dia hanya masuk ke bilikku untuk mandi, solat dan menyalin pakaiannya sahaja.

Pada mulanya, aku amat tidak menyetujui caranya itu kerana mungkin emak dan ayah akan mengesyaki sesuatu telah terjadi antara kami berdua tetapi apabila dia berkeras juga, aku membiarkan sahaja. Entah mengapa, perangainya sejak akhir-akhir ini amat berlainan. Dia menjadi seorang yang mudah marah dan sudah pandai merajuk. Kadang kala agak mencabar kesabaranku.

Setelah aku menghabiskan wiridku, Farah baru sahaja selesai bersiram. Dia keluar dari bilik mandi dengan hanya berkemban. Aku terkejut menatap penampilannya buat pertama kali sejak kami bergelar suami isteri. Dia juga terpempan melihat aku.

Dia tidak bergerak-gerak dari depan pintu bilik air. Air menitis dari hujung rambutnya yang masih lagi kebasahan. Dadaku berdebar-debar melihat wajah isteriku yang kelihatan amat jelita.

Tanpaku sedari, kakiku menapak perlahan-lahan menghampirinya. Dia tetap berdiri tegak di situ dan memegang tuala yang membalut tubuhnya dengan kemas. Apabila tanganku mahu menjamah bahunya, dia mengundurkan langkahnya ke belakang.

"Jangan ulangi ‘kesilapan’ yang sama seperti dua bulan yang lalu." Ujarnya lalu terus menghampiri almari lalu dibukanya.

Aku seakan baru tersentak dari keasyikkan yang panjang. Cepat-cepat aku beristighfar. Aku menghampirinya lalu menyentuh bahunya yang lembap. Tetapi, cepat-cepat dia menjauhkan dirinya.

"Sorry, abang bukannya lakukan apa-apa pada Farah cuma…"

"Cuma apa?"

"Abang rasa, sudah sampai masanya untuk kita berdamai. Perangai Farah amat berlainan sekarang. Tidak seperti yang abang kenali dulu."

"Jadi, apa abang mahukan lakukan?"

"Okey, abang minta maaf di atas kata-kata abang dulu hingga membuatkan Farah menjauhkan diri dari abang. Abang tak boleh hidup dengan keadaan Farah begini. Kemuraman Farah menyeksa perasaan abang. Abang rindukan Farah yang dahulu. Farah yang sentiasa tersenyum, sentiasa ramah dan penyayang. Kini semuanya begitu kontras sekali." Aku meluahkan apa yang terbuku di hatiku sejak sekian lama. Dia agak terkejut dengan kata-kataku. Dia tidak menjawab kata-kata sebaliknya kembali menggeledah almari pakaian. Setelah mengambil sepasang pijama berwarna biru kepunyaannya, dia terus menuju ke dalam bilik air semula.

Tidak berapa lama kemudian, dia keluar dari bilik air dengan sudah siap berpakaian pijama birunya. Kemudian dia mengeringkan rambutnya dengan mengguna tuala. Aku hanya memerhatikan gelagatnya. Diriku langsung tidak diperdulikan. Terasa begitu sakit diperlakukan sebegini. Selesai mengeringkan rambut, dia menyisir rambutnya yang ikal melepasi bahu.

"Farah, tidur di bilik abang ya malam ini." Pintaku lalu menghampirinya. Aku meramas-ramas lembut bahunya. Namun, sedikitpun dia tidak memandang wajahku.

"Tak mengapalah, bang. Farah boleh tidur di bilik Farhan dan Azim sahaja." Jawapannya amat mengecewakan hatiku.

"Tak perlulah ke bilik anak-anak. Tidur di sini sahaja." Pintaku sekali lagi. Kedengaran dia mengeluh.

"Farah tak mahu akan berlaku satu lagi ‘kesilapan’." Ujarnya bersahaja lalu cuba bangun dan bersedia untuk ke bilik Farhan dan Azim.

"Farah, abang ingin menjernihkan perhubungan kita. Andainya ‘kesilapan’ dahulu telah mengeruhkan perhubungan kita, abang harap dapat menjernihkannya dan mengembalikan kegembiraan dalam keluarga kita. Kita masih belum terlewat untuk itu." Aku amat mengharap Farah memahami kata-kataku. Dia berpaling kepadaku lalu tersenyum sinis.

"Ianya sudah terlewat bang. Hati Farah sudah hancur… hancur bang." Setitis air mata gugur dari kelopak matanya.

Bersambung - Bab 36 : Farah

 

No comments:

Post a Comment