Monday, January 31, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 46

Bab 46 : Farah

Hampir satu jam aku mendiamkan diri di dalam kereta. Rumah beratap genting warna biru kepunyaan Kak Bedah kurenung dengan perasaan yang serba salah. Seawal jam lapan pagi lagi aku di sini. Aku memberhentikan kereta agak jauh dari rumah Kak Bedah, namun cukup untuk aku melihat dengan jelas rumah tersebut. Malah aku sendiri nampak Khairul menghantar Farhan dan Azim ke situ.

Perasaanku menjadi tidak menentu sewaktu terpandangkan Khairul. Betul seperti yang diceritakan oleh Hanim kepadaku, badannya yang gagah dulu sedikit susut. Mengapakah dia begitu? Terlalu sibukkah dia melayani karenah anak-anak sewaktu ketiadaanku hingga begitu sekali keadaannya. Kasihan dia… sudah tentu dia tak menang tangan melayani karenah anak-anak yang semakin membesar.

Aku bagaikan mahu terbang ke sana sewaktu melihat kelibat Farhan dan Azim. Namun, aku cuba untuk bertahan sehinggalah Khairul beredar. Namun, setelah hampir sejam berlalu, aku masih di sini. Setia menanti di dalam kereta. Sesekali terasa kakiku kejang sedikit kerana terlalu lama duduk memerap di dalam kereta.

Sampai bila aku mahu terus mendiamkan diri di sini? Bukankah niatku ke sini adalah mahu berjumpa dengan Farhan dan Azim? Aku harus kuatkan semangatku.

Dengan membaca bismillah, aku keluar dari kereta dan menapak menuju ke rumah Kak Bedah. Sunyi sahaja keadaan rumah Kak Bedah. Selalunya, riuh rendah dengan gelak ketawa Farhan dan Azim. Aku cuba meninjau-ninjau dari pintu pagar. Tiada langsung kelihatan kelibat Farhan dan Azim mahupun Kak Bedah. Dadaku berasa kurang enak. Ke mana agaknya mereka pergi? Aku memberanikan diri menekan loceng.

Aku menunggu seketika. Perasaanku mula gelisah. Dadaku berdebar-debar.

"Ya, cari siapa?" Terdengar suara Kak Bedah menyapaku. Tika itu aku membelakanginya. Setelah mendengar suaranya, aku pantas berpaling ke arahnya lalu tersenyum.

"Assalamualaikum Kak Bedah." Sapaku kepada Kak Bedah yang berdiri bagaikan patung di hadapanku.

"Waalaikummussalam… masyaallah!!! Farah? Farahkah nie?" Kak Bedah seperti tidak menyangka aku yang berdiri di hadapannya. Wajahnya tika ini begitu mencuit hatiku, seperti melihat orang yang mati, hidup semula.

Aku tidak menjawab sebaliknya hanya menganggukkan kepalaku lalu tersengih. Kak Bedah tergesa-gesa membuka pintu pagar dan terus memelukku erat. Di kucupnya pipiku berkali-kali. Terharu aku melihat penerimaan Kak Bedah terhadapku.

"Ke mana kau pergi Farah?" Tanya Kak Bedah sebak. Di pimpinnya aku masuk ke dalam rumah. Aku hanya menurut dan kemudiannya duduk di atas sofa.

"Ada Kak Bedah. Saya masih di sini, cuma tidak lagi serumah dengan Khairul. Budak-budak mana?" Balasku lalu tersenyum hambar. Aku menyapu air mata yang mengalir di pipi Kak Bedah.

"Janganlah begini Kak Bedah. Saya hidup lagi nie. Janganlah menangis begini. Sedih saya tengok." Aku memujuk Kak Bedah yang masih terisak-isak.

"Kak Bedah bukannya apa. Kak Bedah dah tahu ceritanya, Khairul dah ceritakan pada akak. Dia pun sedang mencari kau Farah. Ermm… sekejap ya. Akak hendak telefon Khairul dan beritahu dia yang kau ada di sini." Belum sempat Kak Bedah bangun dari duduknya, aku cepat-cepat memegang tangannya.

"Kak Bedah, kalau boleh saya tak mahu dia tahu saya ada datang ke sini untuk melihat Farhan dan Azim. Biarlah kedatangan saya ke sini menjadi rahsia dulu. Harap akak faham." Terangku sambil menggengam erat tangannya. Wajahnya sedikit berkerut. Mungkin tidak memahami tindakanku untuk merahsiakan akan kedatanganku ke sini.

"Mengapa Farah?" Kak Bedah masih lagi tidak memahami akan tujuanku.

"Saya hanya mahu berjumpa dengan Farhan dan Azim, bukannya dia." Ujarku perlahan.

"Tapi…"

"Kak Bedah, saya hanya ingin berjumpa dengan anak-anaknya. Mana mereka berdua?" Aku pantas memintas kata-kata Kak Bedah.

"Mereka ada dalam bilik. Tak berapa sihat. Sejak Farah tiada, kesihatan Farhan dan Azim tidak menentu. Sekejap demam… lepas dua tiga hari, baik semula. Seminggu lepas tu, demam semula. Entahlah… agaknya rindukan Farah." Wajah Kak Bedah murung. aku disergap rasa pilu. Perasaanku menjadi sebak tiba-tiba.

"Mana mereka kak. Saya nak jumpa mereka sekarang." Katanya lalu berdiri. Kak Bedah turut sama berdiri.

"Ada dalam bilik. Mari akak bawa ke sana." Kak Bedah menarik tanganku. Aku membuntuti Kak Bedah.

"Lupa pula akak nak tanya kau. Dah berapa bulan nie?" Kak Bedah bertanya kepadaku. Tangannya mengusap-usap perutku yang memboyot. Aku hanya tersenyum kecil.

"Enam bulan kak." Balasku. Kemudian terdengar Kak Bedah mengeluh.

"Dah enam bulan. Dalam keadaan begini, mengapalah Khairul sanggup menghalau kau keluar dari rumah. Dia nie tak fikirkah yang kau sedang mengandung. Kalau tak kasihankan pada kau, kasihanlah pada anak dalam kandungan kau nie. Ini anak dia, bukannya anak orang lain." Kak Bedah merungut. Hatiku kembali berdebar-debar.

"Yang sebenarnya, dia tak tahu yang saya sedang mengandung." Perlahan sahaja aku membalas kata-kata Kak Bedah.

"Apa??" Melopong Kak Bedah memandang wajahku. Aku diserang perasaan bersalah. Namun belum sempat aku membuka mulut untuk menerangkan hal sebenarnya kepada Kak Bedah, terasa aku dipeluk. Pantas aku melihat ke bawah.

"Auntie Mamaaa…" Farhan memelukku dengan linangan air mata.

Bersambung - Bab 47 : Farah

No comments:

Post a Comment