Hampir satu jam Farah dimasukkan di dalam bilik kecemasan. Sudah beberapa kali aku berjalan berulang-alik di hadapan pintu bilik itu. Namun, tiada tanda-tanda doktor atau jururawat akan keluar dari bilik itu. Aku semakin gelisah. Pelbagai kemungkinan yang buruk bermain-main di fikiranku. Ya Allah, kau selamatkan isteriku. Permudahkanlah kesulitan yang dihadapinya.
"Khairul, cuba bawa bertenang. Insyaallah Farah tak apa-apa." Emak bersuara. Aku berpaling kepada emak. Perlahan-lahan aku menapak ke arahnya. Aku mengambil tempat di sebelahnya.
"Saya risau kalau apa-apa terjadi pada dia dan anak kami." Aku menekup wajahku dengan kedua-dua belah tanganku. Air mata seakan bergenang di kelopak mata, aku tahan daripada mengalir. Aku lelaki. Aku harus kuat!
"Kita berdoa saja pada Allah agar Farah selamat. Kita mesti yakin!" Kata-kata emak melegakan sedikit perasaanku. Ayah pula tidak datang kerana terpaksa menjaga Farhan dan Azim di rumahku.
"Tapi, kenapa lama sangat mereka di dalam tu? Apa yang mereka sedang lakukan?" Aku masih tidak puas hati. Aku sudahpun berdiri dan kembali berlegar-legar di hadapan pintu bilik kecemasan. Emak menggeleng-gelengkan kepalanya melihat keadaan aku yang seperti cacing kepanasan.
Tiba-tiba pintu bilik kecemasan terbuka. Kelihatan seorang wanita yang sedang membuka penutup mulutnya berjalan menghampiriku. Aku bergegas mendapatkannya.
"Bagaimana dengan keadaan isteri saya?" Soalku tidak sabar.
"Awak suaminya?" Doktor wanita yang umurnya mungkin dalam lingkungan akhir 30-an bertanya kepadaku.
"Ya." Jawabku sambil mengangguk beberapa kali.
Doktor wanita mengeluh perlahan. Dahinya berkerut. Hatiku bertambah risau apabila melihat keadaannya begitu.
"Isteri anda mengalami tumpah darah. Jadi, dia tidak dapat melahirkan anak secara normal. Pembedahan perlu segera dilakukan. Jadi, saya memerlukan tandatangan anda sebagai suaminya untuk membolehkan kami melakukan pembedahan ke atas isteri anda." Terang doktor wanita itu satu persatu.
Ya Allah, musibah apakah yang Engkau jatuhkan kepadaku? Kami baru mahu mengecap kebahagiaan, dan aku baru saja mahu melimpahkan kasih sayangku buatnya. Tapi, kini Kau mendugaku dengan dugaan yang hebat seperti ini!
"Buatlah apa yang doktor rasa perlu lakukan. Saya bersetuju asalkan doktor dapat menyelamatkan anak dan isteri saya." Balasku dengan bibir bergetar. Dia menganggukkan kepalanya. Tidak lama kemudian, dia kembali masuk ke dalam bilik kecemasan.
"Khairul, kita berdoalah supaya Farah selamat." Aku berpaling kepada emak yang sedang berdiri di belakangku. Tanpa aku sedari, aku telah memeluk emak untuk mencari kekuatan agar dapat aku hadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.
Tiga jam sudah berlalu aku rasa bagaikan tiga tahun lamanya. Lampu bilik kecemasan masih menyala. Ini menandakan doktor masih bertungkus lumus menyelamatkan Farah di dalam. Aku di luar, menanti dengan resah. Jam sudah menunjukkan angka dua belas tengah malam. Suasana sudah lama sunyi. Hanya sekali sekala kedengaran suara petugas-petugas di hospital sedang berbicara sesama mereka. Emak pula sudah lama menghilang ke surau. Katanya hendak membaca Al-Quran.
Sedang aku hampir terlena di bangku, aku didatangi oleh doktor wanita tadi.
"Tahniah encik! Anda mendapat anak perempuan." Ucapnya sambil menyalami tanganku.
"Iya? Alhamdulillah..." Lega perasaanku. Tanpa aku sedari emak sudah berdiri di sisiku.
"Emak, saya dapat anak perempuan. Memang dah lama saya mengidam anak perempuan. Akhirnya Allah perkenankan permintaan saya." Ucapku dengan gembira. Emak juga tersenyum bahagia.
"Tapi..." Bicara doktor wanita itu terhenti. Jantungku seakan berhenti berdegup. Sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas Farahkah?
"Tapi apa doktor? Bagaimana dengan isteri saya? Dia selamat?" Soalku dengan debaran di dada. "Dia selamat tapi, dia amat lemah. Dia mengalami tumpah darah yang agak serius. Dan sekarang dia masih tidak sedarkan diri. Saya sudah lakukan yang terbaik untuknya. Kita berserah saja kepada Allah." Ujarnya sebelum berlalu. Terpaku aku mendengar kata-kata doktor itu. Aku memandang wajah emak.
"Emak, Farah takkan tinggalkan sayakan?" Soalku kepada emak. Air mata emak sudah membasahi pipinya.
"Insyaallah Khairul. Semangatnya kuat." Jawab emak. Dalam masa yang sama, seorang jururawat baru sahaja keluar dari bilik kecemasan sambil menyorong troli yang menempatkan Farah di atasnya. Mereka mahu menempatkan Farah di wad. Aku dan emak mengekori mereka.
Bersambung - Bab 55 : Khairul
No comments:
Post a Comment