Farah masih tidak sedarkan diri. Begitu juga dengan emak. Aku menemani Farah di sini sementara ayah pula menemani emak di bilik sebelah. Tangan Farah erat di dalam genggaman tanganku. Dia seperti sedang tidur dengan nyenyaknya. Nafasnya begitu teratur.
Aku duduk menatap wajah Farah. Perlahan-lahan kuusap pipinya. Terasa licin dan lembut sahaja kulit pipi isteriku. Mengapakah dia begitu nekad untuk mendermakan buah pinggangnya kepada emak? Walaupun begitu buruk layanan emak buatnya, namun dia masih sanggup untuk melakukan pengorbanan yang sebegini?
Apakah dia tiada perasaan?
Farah, sekarang barulah abang sedar bahawa kaulah yang paling penting dalam hidup abang selepas emak, ayah dan anak-anak abang. Maafkan abang kerana membuatkan kau menderita selama ini di dalam ikatan perkahwinan kita ini. Tapi, abang berjanji Farah... selepas ini abang akan menyayangi dirimu dengan sepenuh hati. Abang akan menjaga Farah dan tidak akan membiarkan kau menderita lagi.
Berikanlah abang peluang untuk menebus kesalahan abang ini. Berikan abang peluang untuk menyayangimu dan mengasihimu buat selama-lamanya. Kaulah segala-galanya di dalam hidup abang sekarang. Tidak sanggup abang melihat kau menderita lagi. Kau akan kubelai dengan sepenuh hati.
Farah, bukalah matamu agar dapat abang menatap matamu yang redup itu. Sedarlah agar abang dapat mendengar suaramu yang lunak itu. Abang rindukan senyuman manis yang sentiasa terukir di bibirmu. Abang rindukan gelak tawamu ketika melayani karenah anak-anak kita. Bangunlah Farah... bangunlah sayang...
Aku membawa tangannya ke dadaku. Kemudiannya ke bibirku. Entah sudah berapa kali aku melakukannya. Tiba-tiba aku terasa ada pergerakan kecil pada jarinya yang berada di dalam genggamanku. Aku berpaling menatap wajahnya. Kelopak matanya bergerak-gerak. Hatiku berbunga ceria.
"Farah... Farah... buka mata sayang. Abang ada di sini." Perlahan-lahan aku memanggilnya. Dia masih lagi sedang berusaha untuk membuka matanya. Setelah beberapa ketika, barulah kelopak matanya terbuka. Dia kelihatan seperti terpinga-pinga.
Segera kukucup tangannya buat kesekian kalinya. Dia segera mengalihkan pandangannya kepadaku.
"Abang..." Panggilnya lemah.
"Ya sayang, abang ada di sini." Balasku cepat.
Matanya memandang aku lama. Dia cuba bangun tetapi segera aku menghalangnya.
"Macam mana dengan keadaan emak?" Soalnya lemah.
"Alhamdulillah, emak pun selamat. Ayah sedang menemani emak di bilik sebelah." Jawabku.
"Farah nak tengok mak, abang." Pintanya yang masih lemah. Aku pantas menggelengkan kepala.
"Tak boleh. Farah masih lemah, dan perlukan rehat yang secukupnya. Farah nak air?"
Dia hanya menganggukkan kepalanya. Aku terus menuangkan air ke dalam gelas lalu aku membantu dia untuk minum. Hanya beberapa teguk sahaja dia menelan air. Sebaik sahaja dia habis minum, segera aku menyuruhnya berbaring semula dan meminta untuk kembali tidur. Dia tidak banyak berkata-kata dan kemudiannya kembali memejamkan matanya.
Belum sempat aku menarik gebarnya, dia kembali membuka matanya dan memegang lenganku.
"Anak-anak macam mana?" Dia risaukan keadaan Farhan dan Azim. Dalam sakit-sakit begini, ingatannya terhadap Farhan dan Azim tetap tidak lekang.
"Mereka tinggal bersama dengan Asmah. Jangan risau, esok abang akan bawa mereka datang jumpa Farah ya!" Janjiku memuaskan hatinya. Dia kembali memejamkan mata lalu tidak lama kemudian terdengar dengkuran halus darinya.
Asmah merupakan sepupuku. Sejak semalam aku menumpangkan Farhan dan Azim di rumahnya. Farhan dan Azim juga sibuk bertanyakan mama mereka. Aku cuma menyatakan bahawa mama mereka sedang menemani opah mereka di hospital. Nasib baik anak-anakku tidak terus banyak bertanya. Mungkin leka bermain dengan sepupu-sepupu mereka yang juga anak-anak kepada Asmah.
Sebelum aku beredar untuk menjenguk emak, aku mengucup dahinya. Sedikitpun tidurnya tidak terganggu dengan perbuatanku. Perlahan-lahan aku menapak keluar dari bilik itu menuju ke bilik sebelah.
"Ayah." Sapaku perlahan pada ayah yang sedang tekun membaca surah Yassin. Sejak emak dimasukkan ke dalam bilik pembedahan hinggalah sekarang, surah Yassin tidak lekang dari pegangannya.
"Farah sudah sedar?" Soal ayah tanpa berpaling kepadaku.
"Sudah ayah. Tapi selepas minum air sedikit, dia kembali tidur. Mungkin kesan bius masih kuat." Terangku perlahan. Ayah hanya menganggukkan kepalanya.
"Hanya emak kamu yang masih belum sedar." Ucap ayah lemah lalu memegang tangan emak.
"Sabarlah ayah, insyaallah emak tak apa-apa." Aku cuba memujuk dan meredakan keresahan ayah. Aku memaut bahu ayah lembut.
"Insyaallah..." Balas ayah kembali dan terus menyambung bacaannya. Kubiarkan ayah seorang menemani emak dan berniat untuk kembali menemani Farah.
Bersambung - Bab 28 : Khairul
No comments:
Post a Comment