Penantian selama setahun akhirnya berakhir. Kini aku benar-benar bahagia. Khairul sudah menerima aku dengan sepenuh hatinya. Terubat rinduku selama setahun ini. Tiada apa yang aku dambakan darinya lagi. Segalanya sudah lengkap. Aku teramat bahagia menjadi isterinya.
Pengakuan sayang dari bibirnya semalam, amat kunantikan selama ini. Dan sepanjang malam diriku dibelai dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah aku merasakan seperti itu sebelum ini. Inilah satu-satunya perasaan yang hanya dapat dirasai oleh seorang isteri apabila diri diterima dan disayangi sepenuh hati oleh suami.
Tiada perkataan yang dapat aku gambarkan untuk menyatakan betapa aku amat gembira dengan perubahannya. Walaupun sedikit terkejut dengan tindakannya, namun aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana doaku selama ini dikabulkan. Kebahagiaan yang kukecapi hari ini memang aku nantikan selama ini dan ianya sudah berada di dalam genggamanku.
Tetapi, apabila aku terjaga tengah malam semalam, aku dapati dia tiada di sisiku. Aku mengenakan pakaianku kembali dan keluar dari bilik untuk mencarinya. Aku meninjau-ninjau di dapur, kalau-kalau dia turun untuk mengambil minuman tetapi tiada. Aku naik semula ke atas dan menuju ke balkoni. Kelihatan dia sedang mengelamun di situ seorang diri. Pada mulanya aku mahu menghampirinya namun aku batalkan niatku dan kembali ke bilikku semula. Mungkin dia teringatkan arwah Linda. Aku tidak mahu mengganggunya.
Sedang aku leka melihat Farhan dan Azim bermain, tiba-tiba sahaja bahuku disentuh. Aku berpaling ke sisi. Kelihatan Khairul sedang tersenyum sambil merenung wajahku mesra. Aku hanya membalas senyumannya lalu mengalihkan semula pandanganku pada anak-anak.
"Mengenai semalam… abang minta maaf." Aku tersentak mendengar bicaranya.
"Maaf? Apa maksud abang?" Dadaku berdebar kencang. Mengapa pula dia berkata begini? Hatiku mula tidak enak.
"Apa yang berlaku semalam adalah satu kesilapan." Perlahan sahaja dia menuturkan kata-kata itu.
Apa? Satu kesilapan? Jadi, apa yang terjadi semalam adalah satu kesilapan? Bukannya dia benar-benar inginkannya? Apa makna semuanya ini?
"Kesilapan? Apa abang cakap nie?" Hatiku mula sebak. Dadaku bergetar. Air mata sudah mula bergenang di kelopak mata.
"Maafkan abang sayang, memang apa yang berlaku antara kita semalam adalah kesilapan dari abang sendiri. Abang tidak mampu mengawal perasaan abang sendiri. Apa yang terjadi semalam adalah lantaran kerinduan abang yang tidak terbendung buat Linda."
"Abang!!!! Please… bang. Tarik semula kata-kata abang. Katakan ianya tidak benar bang. Jangan buat Farah begini. Bukankah semalam abang mengaku bahawa abang menyayangi Farah, cintakan Farah." Air mata sudah menderu-deru menuruni pipiku.
"Farah, memang abang sayangkan Farah tapi…" Kata-kata terhenti di situ. Dia melurutkan rambutnya berkali-kali. Dia sendiri kelihatan runsing.
"Jadi, apa yang berlaku semalam adalah lakonan? Farah menjadi tempat abang melepaskan kerinduan abang pada Linda? Bukan kerana abang sudah benar-benar menerima Farah dalam hidup abang, begitu?"
"Bukan begitu, sayangkan tahu, pemergiaan Linda memberikan tamparan hebat pada abang. Hingga satu ketika abang bagaikan hilang pedoman sewaktu di awal pemergiannya dulu. Mujurlah ada anak-anak, dengan melihat mereka abang bagaikan mendapat satu semangat baru untuk meneruskan hidup.
Semenjak pemergian Linda, abang sudah berjanji pada diri abang sendiri bahawa abang tidak akan berkahwin lain. Abang akan menjaga dan membesarkan anak-anak sendiri. Itu tekad abang. Tetapi, abang harus akur dengan fitrah manusia. Farhan dan Azim memerlukan sentuhan kasih sayang seorang ibu. Walaupun abang mampu memberikan kasih sayang buat mereka berdua, namun tidak sehebat kasih sayang seorang ibu.
Atas sebab itulah, abang mula mencari wanita yang sesuai untuk menjadi ibu buat Farhan dan Azim. Sebelum ini sudah dua orang wanita yang abang perkenalkan pada Farhan dan Azim. Namun, entah mengapa mereka berdua tidak serasi dengan wanita-wanita tersebut. Rasanya tak perlulah abang ungkit lagi tentang wanita-wanita itu. Mungkin sudah ditakdirkan Farah sahaja yang layak menjadi ibu buat Farhan dan Azim. Abang ingat lagi sewaktu abang mula-mula memperkenalkan Farhan dan Azim pada Farah. Mereka kelihatan amat gembira sekali. Tidak pernah abang melihat mereka gembira sebegitu sebelum ini. Akhirnya abang sedar bahawa Farahlah yang paling sesuai menggantikan tempat Linda buat Farhan dan Azim." Begitu panjang lebar Khairul bercerita padaku. Aku begitu asyik mendengar dia berkata-kata. Seolah-olah dia cuba meluahkan apa yang tersimpan rapi di hatinya selama ini.
"Sewaktu abang berkahwin dengan Farah dulu, memang tiada sekelumitpun sayang abang buat Farah?" Bergetar suaraku sewaktu menyoalnya. Hatiku bagaikan dihiris-hiris dengan sembilu yang tajam. Pedihnya amat sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Dia hanya menganggukkan kepalanya. Rasa bagaikan mahu tercabut jantungku apabila melihat dia mengiakan pertanyaanku.
"Malah abang pernah berikrar bahawa abang tidak sekali-kali akan menyentuh Farah, tapi semalam… satu kesilapan telah berlaku. Abang telah melanggar ikrar abang." Dia kelihatan sungguh menyesali di atas kejadian semalam. Kenapa dengan dia?
"Abang, jangan sekali-kali abang mengatakan bahawa apa yang berlaku pada kita semalam adalah satu kesilapan. Kita tidak berdosa atas ‘kesilapan’ tersebut. Abang tidak berdosa, Farah pun tidak berdosa. Malah kita mendapat pahala, bang. Saya halal buat abang. Mengapa abang buat begini pada Farah? Apa salah Farah hinggakan abang tidak ingin menyentuh Farah? Farah ini isteri abang. Isteri abang yang sah. Abah Farah sendiri yang menikahkan abang dengan Farah. Jangan abang katakan hubungan di antara suami isteri adalah satu kesilapan. Farah tak dapat menerimanya. Ia seperti menghina Farah, bang. Sampai hati abang kata begitu. Jika apa yang terjadi antara kita berdua semalam adalah satu kesilapan, maka perkahwinan kita ini juga adalah satu kesilapan."
"Farah, jangan begitu. Jangan salahkan perkahwinan kita." Dia seakan tersentak mendengar kata-kataku.
"Jadi, mahu salahkan siapa? Salahkan Farah kerana terlalu mempercayai kata-kata abang?" Tempiasku.
"Farah, listen here…" Segera aku menepis tangannya ketika hendak memelukku. Aku bingkas bangun menjauhkan diri darinya. Aku mengesat air mataku yang tidak henti-henti mengalir.
"Semalam bukannya kesilapan abang. Ianya adalah kesilapan Farah. Kesilapan yang Farah lakukan sejak dahulu lagi. Farah yang silap dalam membuat percaturan hidup sendiri. Farah silap kerana jatuh cinta pada abang sedangkan tahu bahawa abang milik Linda. Tetapi, Farah tetap menyintai abang secara diam-diam. Lantaran kecewa dengan perkahwinan abang dengan Linda lalu Farah membawa diri ke kota. Rasa cinta yang dahulunya sudah pudar, berbunga kembali dengan kemunculan abang semula di hadapan Farah. Rasa kasih kembali bercambah terhadap abang apabila mengenangkan nasib abang dan anak-anak semenjak pemergian Linda buat selama-lamanya. Dan kerana kasih dan cinta Farah buat abanglah, Farah sanggup menerima abang sebagai suami. Dan kerana kasih dan cinta Farah buat abang jugalah Farah sanggup menjadi ibu buat Farhan dan Azim. Tetapi, abang… abang sedikit pun tiada rasa kasih dan sayang buat Farah. Malah sanggup abang mengatakan bahawa kejadian semalam adalah satu kesilapan? Bodohkah Farah yang sentiasa ternanti-nanti akan ucapan sayang dari mulut abang?" Terhambur semua kata-kataku.
Aku sudah tidak peduli siapa dirinya buat diriku. Kata-katanya sebelum ini amat menyakitkan hatiku. Malah seperti mempermain-mainkan hati aku dan menghina diriku. Manusia jenis apakah lelaki yang sedang berdiri di hadapanku ini? Aku berpaling dan memulakan langkah menuju ke dalam rumah.
"Sayang, we need to talk!" Dia bersuara. Aku berpaling padanya. Wajahnya begitu sugul. Namun sedikitpun tiada rasa simpati di hatiku, sebaliknya perasaan sakit hati yang menjalar di segenap perasaanku. Hatiku amat sakit diperlakukan begini.
"Tiada apa yang perlu kita bicarakan lagi. Semuanya sudah terang lagi jelas. Abang memang tidak memerlukan saya sebagai isteri abang. Kehadiran saya di sini hanyalah sekadar untuk menjadi pengasuh buat Farhan dan Azim. Jika itulah kehendak abang, kita akan kekal begini buat selama-lamanya." Aku terus berlalu meninggalkan dia di halaman rumah. Aku terus berlari masuk ke dalam bilikku. Di dalam bilik aku menangis sepuas-puasnya.
Memang aku tersilap kerana memilih jalan untuk hidup bersamanya. Tapi mengapa sekarang baru aku menyedarinya? Mengapa tidak dari dulu? Abang, mengapa kau hancurkan hati aku begini?
Bersambung - Bab 32 : Khairul
No comments:
Post a Comment