Monday, January 31, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 51

Bab 51 : Khairul

Aku kebingungan. Farah memang tidak dapat memaafkan aku. Perbualan kami semalam berakhir setelah Farah memintaku agar pulang sahaja dan dia mahu sendirian. Aku memang berat hati untuk pulang dan jika boleh aku mahu berada di sisinya selalu. Tambah-tambah lagi dalam keadaannya yang sedang hamil.

Pelawaanku untuk menemaninya ditolak mentah-mentah. Memang aku bagaikan sudah tidak wujud dalam hidupnya. Dia seperti sudah menyingkirkan aku dari hidupnya dan tidak memerlukan aku sebagai suaminya. Salah aku sendiri yang terburu-buru membuat keputusan tanpa menyelidik terlebih dahulu. Menyesal pun sudah tidak berguna lagi, nasi sudah menjadi bubur.

"Khairul." Kedengaran emak menyapaku dari belakang. Ketika itu aku sedang berbaring di atas sofa di ruang tamu rumah emak. Semenjak kejadian pertengkaran hari itu, emak sudah jarang untuk berbual-bual dengan aku dan ayah. Aku merasakan sudah tiada kemesraan antara kami sekeluarga. Apabila aku suarakannya pada ayah, ayah hanya tersenyum hambar dan menyatakan bahawa emak sebenarnya rasa bersalah terhadap Farah dan malu setelah mengetahui perkara sebenarnya. Entahlah, yang pasti aku tidak senang dengan kebisuan emak.

Aku bangun dari pembaringan. Emak sudahpun duduk menghadapku. Aku menantikan bicara emak.

"Sudah kau bertemu dengan Farah?" Soal emak perlahan. Pantas aku memandang wajahnya. Terkejut dengan pertanyaan itu.

Aku tidak menjawab sebaliknya hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Bila?"

"Semalam mak!" Balasku yang masih hairan dengan gelagat emak.

"Dia tinggal di mana? Bagaimana dengan dia dan kandungannya, sihatkah?"

"Mengapa emak tanya semua nie? Bukankah emak tak suka bercakap tentang Farah?" Perasaan ingin tahu aku semakin memuncak apabila melihat emak berminat untuk mengetahui keadaan Farah. Apa yang emak ingin lakukan pula kali ini?

Emak terdiam apabila ditanya begitu. Dia menundukkan wajahnya dan tak lama kemudian bahunya terhinggut-hinggut. Aku menerpa kepadanya. Setitis air matanya jatuh dari pipinya.

"Emak, maafkan saya mak. Tak terniat di hati saya hendak menyinggung perasaan emak." Aku amat terkejut apabila menyedari emak menangis. Aku menggengam erat tangan kirinya. Tangan kanannya pula sedang mengusap-usap rambutku.

"Emak yang sepatutnya minta maaf dari kau, Khairul. Emak yang bersalah hingga membuatkan rumahtangga kau berdua hancur. Emak yang bersalah, terlalu ikutkan kata hati. Emak sebenarnya takut kehilangan kasih sayang dari anak-anak kau." Sambil tersedu-sedu emak menuturkan kata-katanya.

Jadi inilah puncanya yang membuatkan emak tidak menyenangi apabila aku berkahwin dengan Farah. Dia takut jikalau kasih sayang Farhan dan Azim beralih darinya. Memang kasih sayang yang Farah curahkan kepada anak-anakku tidak ternilai harganya. Dia sanggup menahan sindiran dan tohmahan dari emak demi anak-anakku. Malah sanggup mendermakan sebuah buah pinggangnya untuk emak. Aku yang buta kerana tidak menyedari betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh Farah buat keluargaku.

"Saya juga bersalah emak, kerana membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Saya telah menghalau dia keluar dan telah membuatkan anak-anak saya terputus kasih sayang darinya yang sudah menganggap dia bagai ibu kandung mereka sendiri. Dia tidak pernah cuba untuk merampas kasih sayang dan perhatian anak-anak saya dari emak. Malah dia cuba untuk mencurahkan kasih sayang buat anak-anak saya yang ketandusan belaian dan perhatian seorang ibu." Luahku kepada emak. Emak terisak-isak menangis. Sekali sekali dia mengesat air mata yang membanjiri pipinya.

Emak mengangguk-anggukkan kepalanya berkali-kali. Air matanya telah lama membasahi pipi tuanya dikesat lagi. Terlakar seribu penyesalan di wajahnya. Aku tahu, emak memang menyesali atas perbuatannya ke atas Farah. Namun, aku tidak pasti samada Farah dapat memaafkan kesalahan emak. Sedangkan aku sendiripun gagal untuk mendapat kemaafan darinya.

"Emak mahu berjumpa dengan Farah, Khairul! Emak mahu minta ampun dari dia. Emak dah banyak berdosa padanya. Dan emak mahu memujuknya agar kembali hidup bersama kau sekeluarga. Bawa emak berjumpa dia ya!" Ucap emak bersungguh-sungguh. Riak wajahnya menggambarkan kesungguhan untuk bertemu dengan Farah.

Permintaan emak memang tidak aku jangkakan. Emak mahu berjumpa dengan Farah sedangkan Farah sudah memberitahuku supaya tidak mengganggu dirinya lagi. Bagaimana dapat aku membawa emak untuk bertemu dengannya.

"Khairul, bawalah emak berjumpa dengan Farah." Pinta emak lagi. Aku diserang perasaan serba salah.

"Tapi mak..." Kata-kataku terhenti. Aku tidak sampai hati hendak memberitahu kepada emak tentang permintaan Farah agar tidak diganggu lagi.

"Emak mahu meminta maaf, bukannya mahu memarahinya seperti dulu. Emak amat menyesal sekarang. Selagi emak tidak mendapat kemaafan darinya, hidup emak takkan tenang. Tidur emak takkan lena. Tolonglah Khairul..." Mendayu-dayu suara emak merayu kepadaku. Hatiku hiba melihat keadaan emak. Sebak dadaku menahan rasa.

"Baiklah emak." Aku memberi persetujuan sedangkan aku sendiri tidak yakin. Mahukah Farah menerima kedatanganku membawa emak bersama. Aku tidak mahu dia membuat tanggapan yang buruk tentang kedatangan kami nanti.

"Kita bawa Farhan dan Azim sekali ya!" Ujar emak dengan wajah yang berseri-seri.

Aku menganggukkan kepala lalu tersenyum hambar. Mungkin dengan membawa anak-anak, dapat mengubah pendirian Farah. Dia teramat sayangkan mereka dan tidak mahu menghampakan harapan anak-anak kecil itu.

Bersambung - Bab 52 : Farah

No comments:

Post a Comment