Pagi-pagi lagi kami sudah bertolak pulang semula ke ibukota. Setelah seminggu usia perkahwinanku bersama Khairul, kami akan mula bekerja. Tiada cuti untuk berbulan madu. Lagipun aku sendiri rasa tidak sanggup meninggalkan Farhan dan Azim yang amat manja denganku hingga membuatkan emak Khairul berkecil hati dengan perangai cucu-cucunya itu. Dan ini akan merumitkan lagi usahaku untuk berbaik-baik serta mengambil hati ibu mertuaku itu.
"Masuklah Farah. Harap Farah suka tinggal dengan abang dan anak-anak di rumah ini." Ujar Khairul sebaik sahaja dia membuka pintu rumahnya.
Aku melangkah masuk sambil menjinjing beg pakaianku. Azim dan Farhan sedang berkejar-kejaran di halaman rumah. Aku memerhatikan rumah yang kelihatan kemas. Semuanya teratur di susun. Terasa damai apabila melihat keadaan rumah ini. Walaupun rumah ini besar, tetapi nampaknya Khairul mampu menguruskan rumah ini dengan baik sekali.
"Kemas rumah abang." Ucapku apabila Khairul berdiri di sisiku. Dia hanya tersenyum lalu meletakkan beg-beg pakaian yang diambilnya dari dalam kereta.
"Ingat abang malas mengemas ke?" Balasnya bergurau. Aku hanya tersengih.
"Saya pergi tengokkan anak-anak." Aku berpaling dan menuju ke halaman rumah. Farhan sedang menghayun buaian Azim dengan gembiranya.
Mataku meliar melihat keadaan halaman rumah Khairul. Ada sebiji meja dan empat buat kerusi yang memang di bina di situ. Berdekatan meja itu pula ada taman kecil yang lebih kepada landskap taman yang ditanam dengan pelbagai bungaan yang indah sekali. Tidak jauh dari situ pula, diletakkan buaian yang sedang dimain oleh Farhan dan Azim. Susun aturnya begitu tepat sekali kerana sambil minum dan berehat di meja itu, boleh merehatkan fikiran dengan memerhati bungaan perlbagai warna dan jenis di samping dapat memerhatikan anak-anak bermain-main. Aku tersenyum sendiri dan membayangkan kehidupan baru yang bakal aku lalui bersama-sama suami dan anak-anak yang tersayang.
"Kenapa senyum-senyum seorang nie?" Tiba-tiba sahaja Khairul berada di belakangku. Aku pantas berpaling.
"Tak ada apa-apa." Balasku lalu melambai-lambai Farhan yang sedang leka mengayuh basikal beroda tiga miliknya. Aku mengangkat Azim dari buaian lalu aku pula duduk di atas buaian itu dan meriba Azim. Khairul mendekati kami lalu sama-sama menyertai kami di buaian.
"Rumah nie cantiklah bang. Walaupun jauh sedikit dari pusat bandar, tapi keadaan di sini aman dan nyaman. Farah rasa selesa di sini." Terangku sambil mengusap rambut Azim perlahan-lahan.
"Rumah ini sebenarnya memang rumah abang dan Linda. Kami pernah bercadang mahu berpindah ke ibukota untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Sebelum berpindah, kami sudah membuat persediaan dengan membeli rumah di sini. Kami memang berhajat untuk berpindah ke sini dua tahun yang lalu tapi tika itu Linda sedang mengandungkan Azim. Atas permintaan emak yang mahu Linda melahirkan Azim sebelum berhijrah ke sini, kami akur. Tapi, tak sangka pula Linda…" Kata-katanya terhenti di situ sahaja. Kulihat kelopaak matanya basah.
Aku tahu, walaupun sudah lebih setahun Linda pergi, Khairul tetap tidak boleh melupakannya. Aku kagum dengan kesetiaan lelaki ini yang kini menjadi suamiku. Tetapi kadang-kala aku sangsi dengan keputusannya mengahwini aku sedangkan dia sendiri masih tidak dapat melupakan arwah isterinya. Jadi apa gunanya dia mengahwini aku? Tapi, aku cepat-cepat menghapuskan kesangsian yang menjalar di fikiranku dengan beristighfar berkali-kali. Tidak sepatutnya aku mempunyai perasaan syak kepada suamiku.
Aku tidak membalas kata-katanya. Aku tahu dia amat bersedih dengan pemergiaan Linda. Aku mencapai tangannya lalu menggenggam erat. Aku berjanji akan memberikan kebahagiaan pada lelaki ini. Aku juga sanggup hidup bersama-samanya samada waktu senang atau susah, waktu gembira atau sedih, aku rela mengharungi hidup ini bersama-samanya Ini janjiku dan aku nekad. Aku akan tetap bersamanya walau apapun yang berlaku. Tetapi, jika seandainya suatu hari nanti dia tidak perlukan aku lagi dalam hidupnya, aku redha dan aku akan pergi jika itu kemahuannya…
"Ermm… abang minta maaf. Abang tak sepatutnya sebut mengenai Linda di depan Farah. Farah sekarangkan isteri abang sekarang." Dia kelihatan serba-salah. Aku menggelengkan kepala.
"Tak mengapa bang. Farah faham. Linda memang seorang isteri dan ibu yang baik. lagipun Farah juga merindui dia." Balasku.
"Farah tidak risau jika perkahwinan kita ini akan dibayangi dengan kenangan-kenangan abang bersama Linda dahulu?"
"Tidak bang. Itu kenyataan. Farah sudah bersedia untuk menghadapinya. Farah takkan halang abang dari terus mengingati arwah Linda. Dia tetap isteri dan ibu kepada anak-anak abang." Ucapanku dibalas dengan kucupan hangat di pipiku. Aku merasa sungguh bahagia apabila berada di samping suamiku ini.
"Mari kita masuk, hari pun dah petang." Ajaknya lalu dia mendapatkan Farhan lalu mengendong anak itu. Aku membuntutinya masuk ke dalam rumah sambil mendukung Azim yang sudah layu matanya, mengantuk!
"Mari abang tunjukkan bilik pada Farah." Ujarnya sebaik sahaja kami melangkah masuk ke dalam rumah. Aku mengikutinya mendaki tangga ke tingkat atas. Di tingkat atas terdapat tiga bilik tidur dan dua bilik air. Tingkat bawah pula hanya ada sebuah bilik tidur tetapi sudah dijadikan stor untuk menyimpan barang.
"Ini bilik Farhan dan Azim." Katanya sambil membuka pintu bilik itu. Di dalamnya terdapat dua buah katil yang kemas. Di dindingnya ditampal dengan pelbagai gambar seperti gambar bunga, kenderaan dan binatang. Semuanya gambar-gambar yang mempunyai sekali abjad-abjad. Sesuai untuk menggalakkan kanak-kanak belajar. Di satu sudut pula terdapat almari pakaian. Di atas almari itu diletakkan pelbagai anak patung dan juga kereta permainan. Pastinya kepunyaan Farhan dan Azim.
"Cantiknya bilik Farhan dan Azim." Ucapku lalu mencubit pipi Azim di dukunganku. Dia hanya tersengih. Farhan pula sudah melompat naik di atas katilnya.
"Nanti Auntie Mama idur ngan Aan ya..." Farhan bersuara. Khairul hanya tersenyum.
"Mana boleh, Auntie mama kena tidur dalam bilik dia sendiri." Farhan memuncungkan bibirnya apabila mendengar kata-kata papanya. Aku hanya ketawa kecil.
"Mari abang tunjukkan bilik Farah." Khairul menarik tanganku. Aku mengerutkan dahi. Bilik aku? Kenapa dia tidak mengatakan bilik kita?
"Ini bilik Farah." Katanya lalu memulas tombol pintu di hadapan kami.
Aku melangkah masuk ke dalam bilik itu. Hanya ada sebuah katil, sebuah almari pakaian dan sebuah almari solek. Bilik itu seperti tidak pernah digunakan. Bilik ini tidak seperti bilik untuk pasangan pengantin baru yang selalunya dihiasi indah. Atau sekurang-kurangnya lengkap dengan hiasannya sekali. Tapi bilik ini begitu ‘kosong’. Aku terpinga-pinga sebentar. Aku memandang wajahnya untuk meminta penjelasan.
"Ini bilik kita?" Soalku.
"Bukan, ini bilik Farah." Jawabnya tenang. Aku semakin bingung.
"Bilik Farah?" Soalku kembali.
"Ya, Farah akan tidur di bilik ini." Dengan yakin dia menjawab pertanyaanku.
"Habis tu, abang?"
"Abang akan tidur di bilik abang, di hadapan bilik Farah ini." Terangnya lalu berpaling ke belakang. "Apa maksud abang? Farah tak faham. Kitakan suami isteri, mengapa perlu tidur dalam bilik yang berasingan?" Dadaku berdebar-debar. Permainan apakah yang sedang dimainkan oleh Khairul? Mengapa jadi begini?
"Okey, abang tahu Farah kebingungan. Let me explain to you." Balasnya lalu menarik tanganku. Aku menurut dan duduk di atas katil di dalam bilik yang bakal aku tinggal.
"Maafkan abang, Farah. Bukan niat abang mahu menyiksa Farah. Tapi buat masa sekarang, beginilah keadaan kita. Abang masih lagi tidak dapat melupakan Linda. Apabila abang cuba mendekati Farah, bayangan wajah Linda akan hadir dan tiap kali itu juga membuatkan abang kaku. Setiap saat dan ketika, wajahnya sentiasa terbayang di mata abang. Abang tak dapat lupakan Linda kerana abang terlalu menyayangi dan menyintainya." Perlahan-lahan dia cuba untuk memberi kefahaman kepadaku.
"Kalau begitu, mengapa abang mengahwini Farah?" Soalku sebak. Aku tidak mahu hidup begitu. Aku mahu hidup bahagia dengan perkahwinanku ini.
"Demi Farhan dan Azim." Jawabnya lalu menundukkan kepalanya.
"Farah tak faham." Air mata sudah mula mengalir di pipiku.
"Mereka perlu hidup dan membesar dengan asuhan dari seorang ibu. Abang tidak mahu pembesaran mereka ‘cacat’ tanpa kehadiran dan asuhan dari seorang ibu. Maafkan abang, Farah. Hanya Farah sahaja yang layak menggantikan tempat Linda untuk menjadi mama buat mereka. Tolonglah fahami keadaan abang." Pintanya separuh merayu.
"Jadi perkahwinan kita ini hanya tertulis di atas kertas sahaja? Abang mengahwini Farah kerana mahu Farah menjadi mama buat Farhan dan Azim? Mahu Farah menjaga Farhan dan Azim? Bukan kerana abang sayangkan Farah?" Soalku bertalu-talu.
"Maafkan abang Farah." Bagaikan halilintar menyambar jantungku apabila melihat dia menganggukkan kepala sebagai tanda mengakui semua pertanyaanku tadi. Terkedu aku melihat pengakuannya.
Maaf? Hanya itu sahaja yang boleh dia katakan padaku? Hancur luluh hatiku. Berkecainya perasaan aku bagai dihempas ke atas batu. Dapat aku rasakan impian perkahwinanku hilang diterbangkan angin. Mengapa begini pula permulaan hidupku sebagai seorang isteri?
"Maafkan abang, Farah. Kita terpaksa hidup begini. Tapi, abang akan cuba untuk menyayangi Farah. Farah kena bantu abang untuk mengenali dan menyayangi Farah. Abang janji, abang tidak akan mensia-siakan hidup Farah. Abang akan membahagiakan Farah."
Berjanjilah kau setinggi langit sekalipun. Hatiku telah pun terluka dengan perngakuan kau tadi. Aku memang telah lama menyayangimu, abang. Sejak mula mengenalimu. Tapi kau pula baru mula mahu belajar menyayangi diriku dan meminta bantuanku pula untuk mengajar kau bagaimana mahu menyayangi diriku. Sudah gilakah kau abang atau aku sendiri yang gila kerana terikat di dalam perkahwinan yang bukannya perkahwinan yang sebenar-benarnya.
Perlahan-lahan aku menyerahkan Azim ke pangkuannya. Aku mengesat airmata di pipiku. Satu keluhan yang sarat kulepaskan dengan berat sekali. Terasa seperti ada batu besar yang sedang menghempap dadaku tika ini.
"Farah hendak ke mana?" Soalnya agak cemas apabila melihat aku bangun dan menuju ke pintu bilik.
Langkahku terhenti seketika. Aku berpaling ke arahnya yang sudah bangun sambil mendukung Azim.
"Ambil beg." Jawabku lalu menghayun langkahku lemah menuruni tangga. Air mata masih lagi mengalir deras di pipiku. Tapi, kubiarkan sahaja. Menangislah… menangislah sepuas-puas hati, Farah. Selepas ini kau tidak boleh menangis lagi.
Bersambung - Bab 18 : Farah
No comments:
Post a Comment