Kereta kupandu laju membelah kesibukan jalanraya di ibukota. Di mindaku terlakar wajah sugul Farah. Aku tahu aku yang bersalah kerana mewujudkan sempadan di dalam perkahwinan kami. Bukan aku sengaja, tetapi aku masih sangsi dengan perasaanku sendiri.
Aku akui, aku masih lagi tidak melupakan Linda. Bagi diriku, Linda adalah segala-galanya padaku. Dan aku juga akui, aku menikahi Farah hanya kerana mahukan dia menjaga anak-anakku. Kejamkah aku kerana menyeretnya ke dalam perkahwinan yang tak bermakna ini?
Bukannya aku tidak menyayanginya. Dari sehari ke sehari aku cuba menyemai rasa kasih dan sayang padanya. Dan bukannya aku tidak ada keinginan untuk memesrainya. Bohonglah jika aku katakan tidak terlintas di fikiranku tentang itu. Cuma apabila aku cuba mendekatinya, bayangan wajah Linda akan menjelma dan membuatkan niatku terbantut.
Di awal perkahwinan kami, aku dilayan dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang. Betapa bermaknanya hidupku apabila bergelar suami buatnya tika itu. Tapi kini, memandang wajahku pun dia tidak sudi. Walaupun baru sehari, aku rasakan betapa terseksanya perasaanku. Baru sehari, aku menjadi rindu menatap senyuman manis yang sentiasa terukir di bibirnya.
"Farah... Farah... "
Entah untuk ke berapa kali aku menyebut namanya. Apa agaknya tanggapan dia terhadap diriku? Mungkin penipu, mungkin juga perosak kebahagiaan? Aku sendiri pun tidak tahu apakah gelaran yang patut diberikan padaku kerana membataskan perhubungan kami suami isteri. Gilakah aku kerana mewujudkan tembok di antara kami berdua? Sedangkan sebenarnya antara kami berdua sepatutnya tiada halangan untuk bersama, malah dia halal buatku kerana aku telah menikahinya.
Makin difikirkan, makin berat kepalaku. Malah membuatkan aku semakin dihimpit perasaan yang amat bersalah. Berkemungkinankah dia akan meminta perpisahan dariku. Bagaimana dengan anak-anakku nanti apabila ketiadaannya. Dapat aku rasakan Farhan dan Azim begitu menyayangi Farah. Malah Farah begitu jua. Tegakah dirinya untuk meninggalkan anak-anak itu?
Bersambung - Bab 21 : Khairul
No comments:
Post a Comment