Monday, January 31, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 50

Bab 50 : Farah

Tanganku menggigil sewaktu mengangkat minuman menuju pada Khairul yang sedang duduk bersandar di atas buaian di halaman rumah. Perlahan-lahan aku menapak mendekati meja yang letaknya berhampiran dengan buaian itu. Kehadirannya memang memeranjatkan aku. Tiba-tiba sahaja dia sudah berada di depan pintu pagar rumahku.

“Jemput minum bang.” Ujarku kepadanya. Dia berpaling kepadaku lalu tersenyum manis. Dia kemudiannya bangun dan mendekati aku yang duduk di meja. Dadaku berdebar kencang.

“Apa khabar Farah sekarang?’ Soalnya sambil matanya tidak lepas dari memandang kepadaku. Hatiku tidak keruan dibuatnya.

“Seperti yang abang nampak sekarang?” Balasku perlahan tanpa memandang wajahnya. Kulontar pandanganku jauh ke depan.

Suasana kembali sepi. Masing-masing kehilangan kata-kata.

“Ermm… dah berapa bulan?” Dia kembali membuka suara.

“Enam.” Sepatah jawabku. Dia menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Farah bekerja?” Soalnya lagi.

“Sudah tentu. Kalau tidak, macam mana saya nak survive hidup saya dan anak yang bakal lahir ini!” Sinis sekali jawapanku. Dia agak tersentak dengan kata-kataku. Berubah air mukanya. Terdengar keluhan keluar dari mulutnya.

“Abang minta maaf atas kelancangan perbuatan dan kata-kata abang dulu. Abang menyesal dengan perbuatan abang terhadap Farah. Maafkan abang…” Sayu sahaja bicaranya. Kelihatan matanya berkaca-kaca. Kemudian dia meraih tanganku. Erat sekali dia menggenggam jemariku. Aku membiarkan sahaja perbuatannya.

“Abang sudah tahu akan perkara yang sebenarnya. Anak-anak yang bercerita kepada abang. Tapi, janganlah pula Farah menghukum mereka setelah abang mengetahui kebenaran ini.” Sambungnya lagi. Terkedu aku seketika.

“Saya sayangkan mereka. Tak tergamak saya mahu hukum atau marahkan mereka. Mereka bagaikan nyawa bagi saya.” Balasku lalu tersenyum hambar. Entah mengapa hatiku amat terasa apabila dia berkata begitu. Kasih sayang aku buat Farhan dan Azim melebihi kasih sayang seorang ibu buat anaknya. Seekor nyamuk pun aku tak mahu hinggap pada mereka, inikan pula mahu memukul atau menghukum mereka.

“Abang tahu Farah sayangkan mereka. Teramat sayangkan mereka sebenarnya. Entah apa yang merasuk abang pada malam itu hingga sanggup menghalau Farah keluar dari rumah. Setelah apa yang berlaku, abang amat menyesal. Dan setelah mengetahui keadaan sebenar, bertambah-tambah lagilah rasa sesal ini. Maafkan abang Farah… maafkan abang..” Rayunya dengan bersungguh-sungguh. Terkedu aku apabila melihat air jernih menuruni pipinya. Dia menangis? Khairul menangis? Betulkah apa yang aku lihat ini?

“Abang…” Kataku dan mengambil nafas seketika.

“Farah tahu, abang juga teramat sayangkan Farhan dan Azim. Malah tidak mahu mereka disakiti. Kerana merekalah ‘permata’ yang Linda tinggalkan buat abang. Walau sedalam manapun kasih saya pada mereka tetap tidak mengubah hakikat bahawa saya hanya ibu tiri mereka. Farah faham kenyataan itu. Tapi, abang perlu tahu… kasih sayang Farah buat mereka bukannya dibuat-buat untuk mengaburi mata sesiapa. Ianya datang dengan sendirinya. Farah sayangkan mereka bang… tidak tergamak Farah hendak menyakiti mereka. Tapi, abang tergamak menuduh Farah menyakiti mereka. Abang tidak memberikan Farah peluang untuk membela diri Farah. Abang terus menuduh dan menghina Farah. Abang samakan Farah dengan perempuan murahan di jalanan yang tak ubah seperti pelacur. Sampai hati abang kata begitu pada Farah dan kemudian tak cukup dengan hinaan, abang halau Farah keluar dari rumah.” Aku mula tersedu-sedu. Hatiku sedikit lega kerana kali ini aku berpeluang untuk bersuara.

“Abang tahu… abang tahu sayang. Abang telah lakukan kesalahan yang tak mungkin dapat Farah maafkan.” Dia cuba untuk memelukku, namun aku cepat menolak tubuhnya agar menjauhiku. Aku tahu dia tersinggung dengan tindakanku.

“Abang ingin menebus kesalahan abang pada Farah. Abang berharap Farah ikutlah abang pulang ke rumah kita. Kita bina semula hidup baru bersama anak-anak dan juga anak kita yang bakal lahir ini.” Ucapnya dan mengusap-usap perutku perlahan. Di wajahnya jelas tergambar kegembiraan. Berderau darahku apabila mendengar dia menyebut perkataan ‘anak kita’. Secara spontan aku berdiri. Bibirku menggigil.

“Ini anak Farah. Abang tak boleh rampas dia dari Farah.” Aku tiba-tiba menjadi cemas. Inilah satu-satunya anak yang mungkin aku ada dan kini dia cuba untuk mengambilnya dari aku. Aku tidak akan membenarkannya.

“Farah, bawa bertenang sayang. Abang bukannya mahu merampas anak kita. Abang mahu kita kembali seperti dulu, hidup bahagia seperti dulu.” Khairul juga kelihatan cemas melihat gelagatku. Dia juga bangun dan menghadapku. Aku menapak ke belakang dan menjauhinya.

“Abang bahagia sebelum ini?” Soalku bergetar. Dia melihatku dengan hairan.

“Abang sangat bahagia dapat hidup bersamamu sayang. Dan abang mahukan kebahagiaan itu kembali menerangi hidup kita sekeluarga.” Ucapnya bersungguh-sungguh.

“Abang fikir saya juga bahagia?” Aku menyoalnya kembali. Kali ini aku tidak mampu untuk menahan air mata dari gugur berderai menuruni pipiku. Dia tergamam mendengar pertanyaanku.

“Farah tak bahagia hidup bersama abang?” Kali ini suaranya pula bergetar.

Aku mendiamkan diri. Dia kelihatan resah menantikan jawapan dari mulutku. Sedangkan aku sebenarnya sedang berperang dengan perasaanku sendiri. Apakah jawapan yang perlu aku berikan kepadanya?

Bahagiakah aku menjadi isteri kepadanya? Dulu mungkin ya, walaupun kehadiranku tidak direstui oleh emaknya. Tapi setelah kejadian itu, aku sendiri tak pasti dengan perasaanku terhadap dirinya. Masih sayangkah aku kepadanya? Masihkah adakah cintaku buatnya? Masihkah aku memerlukan dia di dalam hidupku?

Bersambung - Bab 51 : Khairul

4 comments:

  1. tak sangka novel saya nie masih 'hidup' dan bertebaran di alam siber hingga kini..hehehe...dah 8 tahun usia novel nie.

    -suria shafie-

    ReplyDelete
  2. suria, please let me know if you want me to remove this story from my labels..

    again, thanks for the great novel..

    ReplyDelete
  3. takper... sharing is caring kan..? ;-)
    thanks neway...

    -suria shafie-

    ReplyDelete