"Emak... cubalah faham keadaan saya nie. Cucu-cucu mak nie ketandusan kasih sayang seorang ibu. Biarlah saya berkahwin dengan Farah." Aku masih tidak putus-putus memujuk emak semenjak aku tiba malam semalam.
"Aku tak mahu cucu-cucu aku beribu tiri. Nanti dideranya anak-anak kau tu. Aku sendiri boleh jaga mereka berdua tu. Kau saja yang keberatan." Emak mendengus.
"Baru setahun Linda pergi, kau dah sibuk hendak kahwin lain." Tambah emak lagi lalu memalingkan wajahnya.
"Bukan begitu mak. Saya buat begini demi kebahagiaan Farhan dan Azim."
"Kau nie yakin sangat yang budak perempuan tu boleh jaga Farhan dan Azim sebagaimana Linda jaga mereka dulu." Emak masih sangsi terhadap keupayaan serta kebolehan Farah walaupun telah banyak aku memuji-miji Farah di hadapannya.
"Saya yakin dan saya jamin Farah akan menjadi seorang ibu yang baik serta isteri yang solehah pada saya. Saya kenal dia hampir tujuh tahun. Saya tahu baik buruknya. Dia bukannya seorang yang suka keluar berpoya-poya. Dia seorang gadis yang masih terpelihara maruahnya walaupun sudah lama menetap di kota sana. Dia tidak pernah terpengaruh dengan gejala-gejala yang tidak sihat yang sering kita dengar saban hari."
"Beria-ia kau menyebelahi dia. Belum kahwin lagi dah nampak kau melebihkan dia dari mak. Bila dah kahwin nanti, mak pon kau dah tak ingat. Asyik dok mengulit bini baru kau tu." Tempelak emak kepadaku. Terpempan aku seketika. Begitu sekali emak beranggapan buruk terhadapku.
Aku mengusap kepalaku beberapa kali. Aku cuba mencari ayat yang dapat meyakinkan bahawa Farah adalah seorang gadis yang elok perangai dan sifatnya. Dan aku begitu yakin dia takkan mensia-siakan Farhan dan Azim. Lagipun aku tahu, Farah memang sayangkan Farhan dan Azim.
"Farah gadis baik mak. Lagipun dia kawan Linda dulu. Kalau mak dapat tengok cara dia melayan Farhan dan Azim, tentu mak yakin bahawa hanya Farah sahaja yang dapat menggantikan tempat Linda."
Aku berjalan mundar-mandir di hadapan emak di ruang tamu. Tv yang terpasang sedikit pun tidak menarik minatku untuk menonton. Farah sudah memberikan persetujuan begitu juga ayah. Hanya tinggal emak sahaja. Emak... mengapa hatimu ini begitu keras??
"Iyalah... baik sebelum kahwin. Dah kahwin nanti, dengan kau sekali tak pedulikan cucu-cucu aku tu."
"Kenapalah awak nie buruk sangka sangat?" Ayah mencelah di tengah-tengah ketegangan antara aku dan emak. Aku menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dengan campur tangan dari ayah akan mempengaruhi keputusan emak.
"Bukannya buruk sangka, saya cuma tak mahu cucu-cucu kita kena siksa... kena dera." Jawab emak lalu menjeling pada ayah yang melabuhkan punggungnya di sebelah emak.
"Dulu sewaktu si Khairul minta nak kahwin dengan Linda, awak tentang juga. Kata Linda tu tak sesuailah, tak boleh beri kebahagiaan pada Khairullah... macam-macam awak tuduh dia. Bila dah kahwin, terbukti apa yang awak sangkakan itu, tak betul. Malah jadi menantu kesayangan awak pula. Sudahlah Limah. Cukuplah dengan perangai awak itu. Kita nie dah tua. Tak tahu bila masa nak pergi. Lagipun Khairul masih muda. Biarlah dia kahwin. Sekurang-kurangnya boleh kita tambah cucu lagi." Kata-kata terakhir ayah mencuit hatiku. Aku ketawa kecil. Ayah pula senyum meleret sambil melirik kepadaku.
"Ke situ pulak perginya." Balas emak yang kulihat sudah reda kemarahannya. begitulah perangai emak, walau setinggi mana marahnya, akan reda apabila ayah mula bersuara menentang keputusannya. Agaknya sebab itulah, rumahtangga yang telah dibina sejak 30 tahun dahulu tetap kukuh, malah bertambah teguh dengan kehadiran Farhan dan Azim.
"Emak, macam mana?" Soalku lagi.
Emak memandangku. Kemudian pandangannya beralih kepada ayah. Kemudian mengeluh dan mendiamkan diri. Sikapnya begitu sedikit meresahkan aku. Aku berlutut di hadapan emak. Aku menggenggam erat tangannya.
"Emak... restuilah perkahwinan saya untuk kali kedua ini. Saya berjanji tidak akan melupakan emak dan ayah saya sudah beristeri nanti. Malah saya pasti bahawa Farah akan menyayangi anak-anak saya seperti anak-anaknya sendiri." Ucapku lalu mengucup tangannya lembut. Terasa tangan emak mengusap kepalaku, hangat. Aku tahu, sekeras manapun hati emak, dia tetap akan menyokong keputusanku.
"Bawalah dia datang berjumpa dengan kami." Aku mendongak memandang wajah emak. Bergenang-genang air mata di kelopak matanya. Aku kembali mengucup tangan emak tanda terima kasih. Ayah menepuk-nepuk bahuku tanda menyokong keputusanku. Aku menganggukkan kepala lalu tersenyum kelegaan.
Bersambung - Bab 13 : Farah
No comments:
Post a Comment