Kereta Perodua Kancil berwarna hijau muda berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar rumah Kak Bedah. Aku memerhatikan kereta itu dengan debaran di dada. Memang tidak silap lagi, kereta itu kepunyaan Farah. Dia membunyikan hon beberapa kali. Tidak lama kemudian, Kak Bedah keluar tergesa-gesa lalu membuka pintu pagar untuk memberi laluan kepada kereta Farah untuk masuk.
Nampaknya penantianku selama dua jam tidak sia-sia. Betul kata Farhan bahawa Farah akan datang menziarahi mereka setiap hari Sabtu. Mungkin, tempat kerja barunya hanya bekerja lima hari seminggu. Jadi, ini memberi dia peluang untuk berjumpa dengan Farhan dan Azim pada hari ini setiap minggu. Manakala aku pula terpaksa bekerja enam hari seminggu. Aku menghela nafas lega. Aku masih lagi memerhatikan mereka. Seketika kemudian kelihatan Farhan dan Azim keluar menerpa ke arah pintu kereta yang sudah terbuka. Mereka kelihatan amat gembira menyambut kedatangan mama mereka.
Aku tidak sabar untuk melihat Farah, agak lama dia berada di dalam kereta. Bagaimana rupa dia sekarang yang sedang hamil? Aku teringin sekali untuk berjumpa dengannya. Kalau ikutkan hatiku ini, ingin sahaja aku bertemunya sekarang juga. Tapi, itu bukanlah satu tindakan yang bijak. Perbuatan aku dulu sudah tentunya memberi kesan yang begitu mendalam terhadapnya. Tapi, sampai bila harus aku menunggu? Aku tidak mahu mensia-siakannya lagi. Aku ingin sentiasa berada di sampingnya. Tapi, bagaimana caranya untuk aku mendapatkannya semula?
Sedang aku melayani fikiranku, rupa-rupanya dia sudah keluar dari keretanya. Isteri akukah itu? Walaupun dari jauh, aku dapat nampak dengan jelas rupanya. Pipinya tambah berisi. Perutnya... sudah tentu besar. Agaknya sudah berapa bulan usia kandungannya itu? Wajahnya bertambah cantik. Aku terpaku melihatnya dari kejauhan. Dadaku berdebar-debar. Aku bagaikan jatuh cinta pada isteriku sendiri! Seketika kemudian, mereka bersama-sama menghilang ke dalam rumah.
Apa yang harus aku lakukan sekarang? Takkanlah aku hanya mahu menunggunya di sini? Aku sepatutnya berjumpa dengannya dan memujuknya. Tapi, adakah dia mahu menerima kehadiranku kembali ke sisinya? Aduhhh… sakit kepala aku memikirkannya.
Hampir setengah hari Farah menghabiskan masanya di rumah Kak Bedah. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam rumah itu. Terlintas juga di hatiku untuk menjenguk, tetapi aku batalkan sahaja niatku itu. Hakikatnya aku tidak yakin dengan diriku sendiri.
Tiba-tiba sahaja aku teringatkan akan pertengkaran di antara aku, emak dan ayah beberapa minggu yang lepas. Dalam pertengkaran itu terbongkar segala rahsia yang disembunyikan selama ini.
"Kau sejak akhir-akhir nie mak tengok gelisah saja. Kadang-kadang mak dengar kau mengigau menyebut nama Farah. Apa kena dengan kau?" Soal emak ketika aku sedang berehat sambil menonton siaran berita di televisyen. Ayah yang sedang membaca akhbar hanya menoleh sekilas kepada emak dan kemudiannya menumpukan kembali pada suratkhabar di tangannya.
Pertanyaan dari emak mengganggu sedikit tumpuanku di kaca tv. Aku memperlahankan suara televisyen dan menumpukan perhatian kepada emak.
"Entahlah mak, saya asyik teringatkan Farah. Hampir lima bulan dia meninggalkan kami. Entah di mana dia tinggal sekarang?" Balasku lalu mengeluh perlahan.
"Lagi-lagi perempuan itu juga yang kau ingatkan. Dia sendiri yang keluar dari rumah kau. Nampak sangat dia bersalah." Entah kenapa emak begitu membenci Farah.
"Saya sendiri yang menghalau dia mak." Jawabku. Emak terdiam.
"Emak mahu, kau ceraikan dia. Apa guna kau begini? Lepas kau ceraikan dia, kau boleh cari orang lain untuk gantikan dia." Terlopong aku mendengar kata-kata emak. Takkan sampai begitu sekali.
"Emak, saya tak berniat hendak ceraikan dia. Saya sayangkan dia. Dia bakal ibu kepada anak saya. Sebenarnya saya dah tahu hal yang sebenarnya emak. Cukuplah mak, berhentilah dari terus membenci Farah. Dia menantu emak dan tak lama lagi dia akan melahirkan seorang lagi cucu emak."
"Apa? Farah mengandung?" Ayah yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, menyampuk perbualan di antara aku dan emak.
"Ya, ayah." Jawabku lalu tersenyum.
"Alhamdulillah… mana kau tahu? Kau sudah bertemu dengan dia? Di mana dia sekarang?" Bertubi-tubi pertanyaan dari ayah. Aku hanya tersenyum. Memang sudah lama ayah menggesa aku untuk mencari Farah. Dan memang aku berusaha mencarinya, cuma aku tidak tahu di mana dia berada sehinggalah Farhan memberitahuku.
"Yang sebenarnya, saya belum bersemuka dengannya. Saya hanya melihatnya dari jauh. Rupa-rupanya dia ada berjumpa dengan anak-anak di rumah pengasuh mereka. Itupun, secara tak sengaja Azim terbuka cerita mengenai pertemuan mereka dengan Farah. Saya tak tahu di mana dia tinggal dan di mana dia bekerja sekarang." Aku berterus terang kepada ayah. Nampaknya ayah begitu berminat dengan ceritaku. Suratkahbar sudah dilipat dan diletakkan di atas meja. Dia menumpukan perhatiannya kepadaku.
"Apa?? Farah ada berjumpa dengan Farhan dan Azim? Secara sembunyi-sembunyi pula?" Emak kembali menyinga. Merah padam mukanya. Aku kecut perut melihat riak wajah emak.
"Apa salahnya. Lagipun budak-budak tu sakit selama ini pun disebabkan terlalu rindu pada Farah. Awak tengoklah keadaan kesihatan mereka semenjak kebelakangan ini, semakin baik. Kita seharusnya bersyukur sebab Farah tetap tidak mengabaikan kasih sayangnya terhadap Farhan dan Azim. Walaupun anak bertuah awak nie dah menghalau dia keluar, namun kasih dan sayangnya terhadap cucuc-cucu kita tak pernah surut." Ayah cuba menasihati emak. Aku hanya mendiamkan diri. Terasa terpukul dengan kata-kata ayah. Memang, aku yang bersalah kerana terlalu mengikutkan perasaan dan membuat keputusan yang terburu-buru.
"Apa salahnya kata awak? Entah-entah dia cuba hendak melarikan cucu-cucu kita. Kalau dulu dia tak dapat, tak mustahil dia akan buat sekarang. Kau jangan lagi hantar anak-anak kau pada Bedah tu, biar emak yang jaga mereka." Kepalaku semakin kusut apabila mendengar kata-kata emak.
"Kenapa dengan awak nie? Kenapalah awak benci sangat dengan Farah tu. Dia budak baik, awak nie memang tak sedar dirilah." Suara ayah pula meninggi. Aku mula rasa cemas. Aku tidak mahu emak dan ayah bertengkar kerana hal aku dan Farah.
"Ayah… mak… sudahlah. Tak perlulah emak dan ayah bertekak kerana kami." Aku cuba mententeramkan suasana yang semakin tegang.
"Saya tak pernah menganggap dia menantu saya dan anak dalam kandungan dia tu bukan cucu saya. Entah dengan siapa dia buat, senang-senang saja dia nak mengaku anak itu adalah anak dia dengan Khairul." Emak merengus.
"Astaghfirullahalazim…. Bawa mengucap Limah. Syaitan mana yang dah merasuk fikiran awak nie? Kenapa awak menuduh dia sebegitu sekali? Selama saya hidup, saya tak pernah lagi berjumpa dengan perempuan yang sebaik dan setabah Farah. Kau ingat, senangkah hendak berjumpa dengan perempuan sebegitu?" Suara ayah kembali kendur. Aku sendiri pun tidak menyangka sampai begitu sekali emak menuduh Farah. Mengapa emak jadi begini? Mengapa emak begitu kejam?
"Anak yang Farah kandungkan itu, anak saya mak. Cucu emak dan ayah. Jangan tuduh dia sebegitu mak. Dia perempuan baik mak. Cuma saya yang tak sedar diuntung kerana melepaskan seorang isteri yang sebaik Farah itu." Rintihku perlahan.
"Heh… kamu dan ayah kamu sama saja. Memuja-muja sangat si Farah tu. Sudahlah dia patahkan tangan anak kamu, itupun kamu kata dia baik? Agaknya kamu berdua dah diguna-gunakan oleh si Farah tu." Emak masih tidak berpuas hati. Perasaan bencinya sudah sampai ke kemuuncak.
"Limah!!! Jaga sikit mulut kau tu. Tangan Farhan patah, kau yang buat. Farhan sendiri yang beritahu Khairul. Dia kata kau yang merebutnya dari dukungan Farah. Kau yang menyebabkan tangan Farhan jadi begitu. Tak cukup dengan itu, kau kurung Azim dalam bilik. Apa yang merasuk kau, Limah? Mengapa kau buat begitu pada Farah? Lepas tu, kau tolak dia… kau halau dia… mengapalah kau jadik sekejam itu. Ke mana hilangnya perasaan simpati dan sayang kau terhadap manusia?" Ayah bertempik. Emak tersentak. Dia hanya memandang wajah ayah yang sedang menyinga.
"Dia cuba merampas kasih sayang Farhan dan Azim dari kita." Emak bersuara antara dengar tak dengar. Aku merengus.
"Dia tak pernah merampas kasih sayang Farhan dan Azim dari kita. Malah, dia mencurahkan kasih sayang pada mereka. Sudahlah Limah… cukuplah. Kalau tak kerana dia, kau takkan dapat hidup sampai hari ini." Ayah menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Ayah, jangan…" Ujarku memberi peringatan supaya ayah tidak membocorkan rahsia.
"Tidak Khairul, kita mesti beritahu. Kalau tidak, emak kau takkan sedar bahawa Farah telah berkorban demi memastikan emak kau nie masih dapat terus menghirup udara di dunia ini." Balas ayah dengan penuh kesalan.
"Apa yang dia dah korbankan demi saya? Saya tak nampak apapun yang dia korbankan. Menyakitkan hati saya lagi adalah." Emak kembali bersuara. Riak wajahnya menggambarkan perasaan tidak puas hati.
"Memanglah awak tak nampak. Sebab apa yang dia korbankan itu ada dalam badan awak." Bidas ayah sinis.
"Apa maksud abang?" Emak menyoal dengan wajah penuh tanda tanya.
"Demi memastikan awak dapat meneruskan hidup, dia telah mendermakan sebelah buah pinggangnya untuk awak. Buah pinggang yang ada dalam badan awak tu, adalah kepunyaan Farah. Dia sudah menjadi sebahagian dari diri awak sekarang Limah."
Emak terkedu mendengar penjelasan dari ayah. Dan sejak hari itu, emak seolah-olah menguncikan mulutnya dari berbicara tentang Farah. Aku tak tahu apa yang emak fikirkan selepas mendengar kata-kata ayah. Yang pastinya emak menjadi seorang pendiam dan selalu termenung sendirian.
Hmmm… sedar tak sedar hampir ke pukul tiga. Sepatutnya tika ini, aku sudah sampai menjemput Farhan dan Azim pulang. Sudah lama aku mengelamun di sini. Tiba-tiba aku terdengar enjin kereta dihidupkan. Aku pantas menoleh ke arah rumah Kak Bedah.
Nampaknya Farah sudah bersedia untuk pulang. Kak Bedah, Farhan dan Azim menghantar kepulangan Farah di pintu pagar. Aku pula cepat-cepat menghidupkan enjin keretaku. Aku mahu mengekori Farah. Aku mahu tahu di mana dia tinggal kini.
Jalanraya agak sesak, namun aku cuba pastikan aku takkan terlepas pandang dari kereta Perodua Kancil berwarna hijau muda kepunyaan Farah. Selepas lampu isyarat bertukar kepada warna hijau, Farah membelok ke kanan. Aku masih mengekorinya dari belakang. Kemudiannya dia membelok ke kiri, memasuki satu kawasan perumahan.
Aku rasa, aku pernah melalui jalan ini. Kalau tak silap, perumahan ini adalah rumah lama Farah. Rumah di mana dia tinggal sebelum kami berkahwin. Takkanlah dia kembali menetap di sini? Dadaku berdebar kencang. Jalan yang dilaluinya ini memang sama. Hampir lima minit menyelusuri jalan di kawasan perumahan ini, akhirnya Farah memberhentikan keretanya di hadapan rumah berwarna putih. Sah! Dia menetap di sini setelah keluar dari rumah aku. Mengapa aku tidak terfikir yang dia akan kembali ke sini. Inikan rumahnya. Sudah tentu dia akan menuju ke sini. Bodohnya aku kerana tidak pernah terfikir akan rumah ini.
Aku memberhentikan kereta betul-betul di belakang keretanya. Farah menoleh pantas ke belakang apabila menyedari ada kereta lain yang mengunjunginya tika ini. Dengan hati yang tak keruan, aku keluar perlahan-lahan dari kereta.
"Farah…" Panggilku lalu melemparkan senyuman bahagia.
"Abang???" Dia berdiri kaku dengan wajah yang pucat.
Bersambung - Bab 50 : Farah
No comments:
Post a Comment