Potret Farhan dan Azim kurenung lama. Semenjak keluar dari rumah Khairul hampir tiga bulan yang lalu, aku tidak pernah berjumpa dengan mereka. Rinduku pada mereka tidak terkira. Bagaimanakah keadaan mereka tika ini? Jika rinduku tidak tertahan lagi, aku memberanikan diri untuk menelefon ke rumah Khairul. Aku mengharapkan salah seorang dari mereka yang akan menyambut panggilan telefonku. Namun, setiap kali yang menjawab panggilanku adalah suara garau milik Khairul. Apabila terdengar sahaja akan suaranya, cepat-cepat aku memutuskan talian.
Aduh!!! Bayi di dalam perutku menendang. Aku mengusap-usap perutku yang semakin memboyot. Kandunganku hampir mencecah enam bulan. Aku juga perlu mamed memakai 'uniform' sekarang ini. Baju-bajuku yang biasa dipakai sebelum ini sudah tidak muat memandangkan perutku yang semakin membesar ini.
"Farah, mari kita minum." Tiba-tiba sahaja Hanim muncul dari belakangku. Dia datang melawatku di hujung minggu. Dia datang berseorangan.
Aku menganggukkan kepalaku sedikit lalu menghampirinya yang sedang sibuk menuangkan air ke dalam cawan. Aku mengambil tempat di hadapannya. Potret Farhan dan Azim kuletakkan di atas meja. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa, menyegarkan suasana petang. Kami berdua menghirup angin petang di luar halaman rumahku.
"Sepatutnya aku yang melayan tetamu. Ini tetamu pula yang melayan tuan rumah." Kata-kataku disambut dengan senyuman meleret dri Hanim.
"Tak mengapalah Farah. Bukannya susah sangat nak buat air nie. Lagipun sekali-sekala aku datang nie, biarlah aku layan kau. Tambahan pula akukan bakal mak angkat pada baby dalam perut kau tu!" Ujarnya berseloroh. Aku hanya tersenyum. Walaupun sudah hampir lima tahun berkahwin, namun Hanim masih belum dikurniakan cahayamata.
"Kau sudah beli barang-barang?" Soal Hanim sambil menghulurkan secawan teh kepadaku.
"Barang apa?" Aku menyoalnya kembali. Teh yang dihulurnya kuhirup sedikit.
"Untuk kau dan baby kau nanti." Jawab Hanim.
"Oh, itu... belum lagi. Tunggulah sebulan dua lagi." Balasku acuh tak acuh.
"What?? Kau janganlah begitu. Kalau tunggu sebulan dua lagi, nanti kau dah tak larat. Kalau kau mahu, aku boleh temankan."
"Tak mengapalah Hanim. Aku boleh uruskan sendiri." Balasku lagi lalu mengeluh perlahan.
"Mengapa mengeluh?"
"Tak ada apa-apa, cuma penat!" Balasku lalu mengusap perutku perlahan. Bayiku menendang perutku lagi. Terasa bergegar perutku.
"Iyalah. Kalau pun penat, senyum-senyumlah sikit. Ini asyik muncung saja. Nanti muka anak kau pun ikut muncung juga."
"Mengarutlah kau nie Hanim." Balasku lalu ketawa kecil.
"Kau tak rindukan Khairul?" Soal Hanim lalu tersenyum simpul.
"Rindu? Aku rindukan Khairul? Entahlah... tapi yang pastinya aku rindukan anak-anak aku. Aku rindukan Farhan dan Azim. Aku ingin sangat berjumpa dengan mereka. Tapi, aku takut jikalau aku terserempak dengan papa mereka." Aku meluahkan apa yang terpendam di dalam hatiku kepada Hanim.
"Aku faham perasaan kau. Aku tahu kau terlalu sayangkan mereka malah menganggap mereka bagaikan anak kau sendiri. Aku rasa tak salah jika kau sekadar mengjenguk mereka. Bukannya kau cuba lakukan sesuatu pada mereka. Kalau kau mahu, aku boleh temankan."
"Tak mengapalah Hanim. Mungkin belum sampai masanya. Tapi, entah bagaimana agaknya keadaan mereka sekarang? Siapa agaknya yang menguruskan pakaian dan makan minum mereka sekarang?" Perkara memang aku selalu fikirkan sejak aku melangkah keluar dari rumah itu. Pelbagai soalan yang berlegar-legar di mindaku. Terjagakah Farhan dan Azim semenjak ketiadaan aku? Siapa yang akan membacakan cerita kepada mereka sebelum tidur? Siapa pula yang akan memasakkan bubur nasi kesukaan Farhan dan Azim?
"Sudahlah Farah. Tak guna kau bermenung begini. Kalau ku rindukan budak-budak tu, pergilah jenguk mereka. Sekejap pun jadilah." Hanim menggalakkan aku agar pergi bertemu dengan Farhan dan Azim. Namun, aku curiga jika kedatanganku nanti hanya akan menaikkan kemarahan dan menambahkan kebencian pada Khairul.
"Aku memang hendak pergi berjumpa dengan mereka. Aku terlalu rindukan mereka. Tapi apa pula tanggapan Khairul apabila melihat aku datang ke rumah setelah dihalau. Mesti dia fikir aku cuba untuk merampas anak-anaknya." Aku menggenggam tangan Hanim erat. Dahi Hanim berkerut seolah-olah memikirkan sesuatu.
"Aku rasa Khairul mesti meletakkan anak-anaknya pada pengasuh yang sama. Apa kata kalau kau pergi sewaktu dia berada di pejabat. Dengan itu, kau tidak akan bertembung dengan dia. Jadi senanglah kau berjumpa dengan Farhan dan Azim." Mataku bersinar-sinar. Betul kata Hanim. Mengapa aku tidak terfikir akannya sebelum ini.
"Iya tak ya juga. Mengapa aku tidak terfikir akan cara itu sebelum ini? Tapi, kalau aku berjumpa dengan Farhan dan Azim... sudah tentu mereka akan memberitahu kepada papa mereka yang aku ada menemui mereka. Aku tidak mahu Khairul tahu aku ada bertemu dengan anak-anaknya."
Hanim turut terdiam. Aku memandang tepat ke wajahnya. Hatiku tadi yang berbunga ceria kembali muram. Bagaimana caranya harus aku lakukan agar kedatanganku menjenguk Farhan dan Azim tidak diketahui oleh Khairul. Aku bukannya ibu kandung Farhan dan Azim. Aku tiada hak terhadap mereka. Aku hanya ibu tiri sahaja.
"Tak mengapalah Farah. Kita dah tiada cara lain lagi. Itu sajalah cara yang aku terfikir tika ini.
Bersabarlah Farah. Kebenaran berpihak pada kita. Mungkin sudah sampai masanya kau melupakan mereka. Budak-budak bukan hak kau Farah. Kau hanya ibu tiri mereka. Lagipun kau sendiri pun bakal mempunyai anak sendiri. Kau tumpukan sahaja pada anak yang bakal lahir ini." Pujuk Hanim lalu meraih bahuku dan memelukku erat. Aku bersyukur mempunyai seorang sahabat yang baik seperti Hanim. Hanya dia sajalah yang mengerti penderitaan aku selama ini.
"Kau sudah lupakah yang anak yang aku kandungkan ini adalah adik mereka. Anak Khairul, papa mereka." Terdiam Hanim setelah mendengar kata-kataku tadi. Dadaku mulai sebak. Air hangat mula bertakung di kelopak mataku. Hanim tidak membalas kata-kata sebaliknya hanya mengangguk tanda faham. Agak lama kami terdiam tanpa bicara. Masing-masing melayani fikiran sendiri.
"Lupa pula aku... dua tiga hari lepas aku ada terserempak dengan Khairul." Terang Hanim memecah kesunyian tanpa memandang wajahku. Dadaku berdebar-debar apabila nama Khairul disebut oleh Hanim. Aku hanya mendiamkan diri tanpa memberi apa-apa reaksi pada kata-katanya.
"Dia nampak semakin kurus dan wajahnya yang kacak tu juga semakin cengkung." Aku masih mendiamkan diri. Hanim memandang wajahku.
"Agaknya dia rindukan kau kot!" Seloroh Hanim lalu ketawa kecil. Aku menjelingnya.
"Mengarutlah kau nie. Ermmm... tapi betulkah dia dah semakin cengkung?" Aku pula menyoalnya. Hanim berpaling kepadaku.
"Masih ambil berat nampaknya." Dia menyakatku lagi.
"Aku sekadar bertanya. Lagipun, kau juga yang mulakan cerita pasal dia tadi." Balasku kegeraman.
"Janganlah marah. Kau nie sejak mengandung, tak boleh bawa bergurau sikit. Asyik nak marah saja... sesitif sangat. Jaga sikit perangai kau semasa mengandung nie. Nanti anak kau mengikut perangai kau waktu mengandungkan dia." Hanim tidak jemu-jemu menasihati aku tentang pantang larang ketika mengandung. Mengalahkan orang yang sudah berpengalaman mengandung dan melahirkan anak. Adakalanya aku berasa rimas tetapi adakalanya aku terhibur juga.
"Aku rasa dia rindukan kaulah Farah." Ujar Hanim lagi sambil menghirup teh.
"Tak mungkinlah. Kau sendiri tahu yang dia telah menghalau aku dari rumah itu. Buat apa pula dia nak rindukan aku." Dalihku.
"Entahlah. Tapi, hati aku kuat mengatakan bahawa dia memang rindukan kau. Kau tahu, semalam aku ada terima satu panggilan dari seorang lelaki yang bertanyakan tentang kau." Bicara Hanim menarik perhatianku. Aku menumpukan perhatianku kepadanya.
"Siapa?" Tanyaku tidak sabar.
"Tak ada pula dia beritahu namanya. Cuma dia kata kawan lama."Terang Hanim.
"Kawan lama? Apa yang dia tanya?"
"Asalnya dia mahu bercakap dengan kau. So, aku beritahulah yang kau sudah berhenti dan bekerja di tempat lain. Dia minta alamat tempat kerja baru kau. Tapi, aku kata tak tahu." Bersungguh-sungguh Hanim bercerita kepadaku.
"Apa lagi yang dia tanya?"
"Itu saja. Lepas tu dia terus letak telefon." Jawab Hanim. Dadaku berdebar-debar. Aku tiada kawan lelaki yang rajin menghubungiku. Mungkinkah Khairul yang menghubungi pejabat lamaku itu. Memang aku sudah berhenti kerja di situ. Seminggu selepas aku keluar dari rumah Khairul, aku terus menghantar notis berhenti kerja. Aku lakukan begitu kerana tidak mahu bertembung dengannya lagi. Nasibku agak baik kerana aku diterima bekerja di pejabat di mana suami Hanim bekerja. Dan sekarang aku kembali tinggal di rumah yang aku duduki sebelum bergelar Puan Farah. Aku sendiri tidak menyangka yang aku akan kembali menetap di sini.
"Tapikan Farah, aku rasa suara itu macam pernah aku dengar sebelum ini." Hanim kembali menyambung kata-katanya.
"Siapa?" Soalku dengan debaran di dada.
"Aku rasa suara Khairul." Balas Hanim perlahan.
Bersambung - Bab 46 : Farah
No comments:
Post a Comment