Thursday, January 20, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 22

Bab 22 : Farah

Perhubungan antara aku dengan Khairul berjalan lancar walaupun aku tahu, dia begitu berhati-hati denganku. Tutur katanya dan tingkah lakunya begitu dijaga rapi, agar setiap kata-kata dan perlakuannya tidak akan mengguris perasaanku. Terkadang aku berasa amat bersalah kerana seolah-olah aku yang menyebabkan dia jadi begitu. Walhal punca kejadian adalah dari dirinya sendiri.

Aku juga seboleh mungkin berlagak biasa, seperti tiada apa yang berlaku di antara aku dan dia. Aku tetap menjaga makan minum dan pakaiannya. Tidak sekali-kali aku abaikan tanggungjawabku sebagai isteri di dalam rumah itu. Anak-anaknya kubelai dengan penuh kasih sayang. Apabila melihat wajah mulus Farhan dan Azim, hatiku begitu sayu mengenangkan nasib mereka yang tidak sempat menikmati kasih sayang dari ibu kandung mereka. Biarlah aku beralah dan menurut kemahuan Khairul, asalkan anak-anak itu terbela. Lagipun inilah tujuan utama Khairul mengambil aku sebagai isterinya.

Aku kembali bertugas setelah hampir dua minggu bercuti sempena majlis perkahwinanku. Di pejabat, aku mula dikerumuni oleh rakan-rakan. Ada yang bertanya khabar ada juga yang mengusik. Letih aku melayan karenah setiap seorang.
"Amboi… amboi… pengantin baru. Berseri-seri muka, bak bulan purnama…" Usik Hanim dari jauh. Aku hanya tersenyum.

"Tak pergi berbulan madu ke?" Harun pula bertanya. Aku hanya menggelengkan kepala. Berbulan madu? Perkahwinanku sendiri sudah dituba, manakan ada lagi bulan madu.

"Aik, tiba-tiba saja muka sedih! Teringatkan cik abang ke? Ala… bukannya jauh. Selang dua tingkat saja." Hanim mengusikku sambil tangannya menunding ke atas.

"Tak adalah. Pandai saja kau menyakat aku."

"Tengok tu, muka dah merah. Hahahahhaha…" Ramai-ramai mereka gelakkan aku. Aku pun turut sama ketawa dengan mereka. Kemudiannya aku dihujani dengan pelbagai soalan. Aku cuba menjawab sejujur yang boleh. Aku cuba berlagak biasa, hakikatnya di dalam hati ini rasanya seperti mahu meletup apabila aku mengakui aku bahagia dengan perkahwinanku ini.

"Anak-anak tiri macam mana?" Soal Kak Salmah, kerani di bahagian kewangan.

"Okey, budak-budak tu tak ada masalah." Jawab aku lalu fikiranku teringat akan kepetahan Farhan yang sibuk bertanya mengapa aku tidak tidur sebilik dengan papanya.

"Auntie mama, nape Auntie Mama tak idur ngan papa? Kat umah pah, kita idur cekali." Begitu petah dia menyoal aku. Aku sendiri tidak menyangka soalan seperti itu akan keluar dari mulut Farhan yang baru berusia tiga tahun itu. Budak sekecil itu pun hairan dengan keadaan kami, tambahan pula aku yang dewasa ini, apatah lagi. Biarlah nak, papa kamu tidak memerlukan mama sebagai isteri cuma sebagai ibu buat kamu berdua. Biarlah mama tidak dapat kasih sayang dari papa kamu, asalkan Farhan dan Azim sayangkan mama.

"Hah! Melamun lagi. Apa kena kau nie? Sejak-sejak dah kahwin nie, asyik melamun saja." Hanim menyergah aku dari belakang. Tika itu ramai sudah kembali ke tempat masing-masing untuk memulakan tugas. Tinggal Hanim saja yang setia di samping aku. Dia memang begitu, kepoh dan suka sangat jaga tepi kain orang. Tapi, walaupun perangainya begitu, dia sebenarnya seorang sahabat yang baik dan kelakar orangnya.

Tak ada apa-apalah. Aku cuma fikir, macam mana aku nak siapkan kerja yang bertimbun atas meja aku nie. Pening pula aku, tak tahu mana satu yang perlu disiapkan dulu." Aku memberi alasan yang kufikirkan munasabah untuk mengelakkan diri dari dikesan oleh Hanim.

"Kenapa? Anak-anak tiri kau buat hal ke?" Soal Hanim sambil mengerutkan dahinya.

Aku hanya ketawa melihat keseriusan wajah Hanim tika ini. Dia kemudiannya menarik muka masam apabila aku mengetawakannya.

"Betullah. Anak-anak dia okay dengan aku. Kalau kau nak tahu, yang sulung panggil aku ‘Auntie Mama’ dan yang bongsu panggil aku ‘Mama’. So sweet!!!"

"Kenapa pula yang sulung panggil kau ‘Auntie Mama’?"

"Sebab mama dia dah tak ada. Aku bukan mama dia, so dia panggil aku ‘Auntie Mama’lah." Hanim ketawa besar lalu memuji-muji kecerdikan Farhan. Aku turut mengakuinya.

"Papanya pula macam mana?" Tiba-tiba sahaja Hanim mempersoalkan tentang Khairul. Aku tidak segera menjawab, sebaliknya hanya memandang wajah Hanim yang sedang tersenyum. Nak menyakat aku lagilah tu.

"Kenapa dengan papanya pula?" Aku sengaja menyoalnya semula.

"Romantik tak?"

"Mana boleh beritahu, itu rahsia aku."

"Eleh…" Hanim buat-buat merajuk apabila aku enggan menjawab pertanyaannya. Aku tersenyum melihat perangainya.

Aku sendiri tak tahu bagaimana harus aku katakan mengenai lelaki yang menjadi suamiku kini. Mungkin dia romantik, kalau tidak takkanlah dia sanggup buat satu kejutan pada aku semalam. Sejambak bunga dan sekeping kad sebagai tanda meminta maaf di atas perbuatannya yang telah mengguris hatiku. Betapa terkejutnya aku sewaktu keluar dari bilik pagi tadi apabila bunga dan kad berada di hadapan pintu bilikku. Terasa hilang segala marahku buatnya sebaliknya timbul rasa simpati.

Abang, Farah sayangkan abang…

Bersambung - Bab 23 : Khairul


No comments:

Post a Comment