Thursday, January 27, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 42

Bab 42 : Farah

Masih ternging-ngiang lagi akan tutur bicara Khairul telah yang menghancurkan hati wanitaku ini. Namun apalah dayaku untuk mempertahankan kebenaran sedangkan fikirannya sudah diracuni dengan kata-kata emaknya. Aku masih ingat lagi peristiwa lewat petang tadi...

"Farah! Abang tidak menyangka Farah sanggup buat begitu pada Farhan. Sampai hati Farah mencederakan Farhan. Bukankah dahulu, Farah amat menyayanginya." Ucapnya sebaik sahaja muncul di dalam rumah.

"Farhan cedera? Terukkah bang? Macam mana dengan keadaannya sekarang?" Aku mula gelabah apabila mengetahui Farhan cedera.

"Tak usah berpura-pura bertanya pada abang sedangkan Farah sudah ada jawapannya." Sinis sekali sindiran yang diberikan kepadaku.

"Apa maksud abang? Farah tak faham?" Aku semakin keliru.

"Tak faham? Baiklah, sekarang abang akan buat Farah faham. Dengar sini!" Seraya dengan itu dia mendekati aku lalu mencengkam bahuku dengan kuat. Aku menyeringai kesakitan.

"Sakit bang." Aku mengaduh kesakitan.

"Tahupun kau sakit. Habis, bagaimana dengan Farhan yang kau buat sampai tangannya hampir patah? Budak sekecil itu, sudah tentu tidak tahan menanggung kesakitan seperti itu." Aku terkaku mendengar kata-kata Khairul. Bibirku bergerak-gerak, cuba untuk menuturkan ayat. Belumpun sempat aku mengeluarkan kata-kata, Khairul sudahpun memintas.

"Abang tahu, abang tidak dapat menjadi suami yang baik untuk Farah. Namun, sejak kebelakangan ini... abang cuba untuk memperbaiki keadaan kita. Tetapi, Farah secara dalam diam-diam telah menolak abang mentah-mentah. Dan Farah melepaskan rasa marah Farah terhadap abang pada Farhan. Dia tidak bersalah. Mengapa harus Farah buat begitu pada dia?" Wajah Khairul yang menyinga tadi tiba-tiba sahaja bertukar muram.

"Farah tak pernah melakukannya bang..." Aku bersuara perlahan. Air mata sudah lama membanjiri pipiku. Aku hanya membiarkannya ia mengalir di pipiku.

"Sudahlah Farah. Mengaku sajalah. Mengapa harus menyembunyikan kenyataan yang sudah terserlah kebenarannya."

"Sumpah bang, Farah tak pernah lakukan apa yang abang katakan itu. Percayalah." Aku merayu kepadanya. Tanganku memegang wajahnya. Namun segera dia menepis tanganku. Tersentak aku dengan perbuatannya itu. Dia terus berpaling lalu menumbuk dinding, melepaskan kemarahannya.

"Abang..." Panggilku lalu mendekatinya. Aku menjamah belakangnya. Tiada reaksi. Lantas aku memeluknya dari belakang. Terdengar keluhan darinya.

"Percayalah abang, Farah takkan sanggup biarkan seekor nyamukpun menggigit anak-anak inikan pula mahu mencederakan mereka... tidak sekali-kali. Percayalah pada Farah." Rayuku lagi.

"Sudah!!! Jangan kau berpura-pura lagi. Emak sudah menceritakan segala-galanya pada abang. Kau telah merampas Farhan dari dukungan emak dan kau cuba melarikan anak-anak. Apa yang Farah lakukan ini? Mengapa harus mahu melarikan mereka. Emak itu, opah mereka. Bukannya orang lain!"

Apa? Aku cuba melarikan Farhan dan Azim? Emak menuduh aku telah menyebabkan Farhan cedera? Mengapa emak melakukan semua ini kepada aku? Mengapa??

"Mengapa diam? Terkejut kerana rahsia sebenar sudah terbongkar?" Khairul menyindirku lalu mengrungkaikan pelukanku.

"Tak bang. Bukan Farah, emak... emak yang merampas Farhan dari pelukan Farah. Emak juga mengheret Farhan dan mengurung Azim di dalam bilik semata-mata tidak mahu membenarkan mereka pulang bersama Farah. Emak sengaja mahu memisahkan anak-anak dari Farah. Emak mahu Farah berhenti kerja dan selagi Farah tidak menyanggupinya, dia takkan benarkan Farah membawa balik Farhan dan Azim. Tetapi, setelah Farah bersetuju, emak tetap tidak mahu memulangkan anak-anak pada Farah. Farah tak boleh hidup tanpa Farhan dan Azim. Tetapi, sumpah bang... bukan Farah yang menyebabkan tangan Farhan jadi begitu"Aku cuba untuk membela diriku sendiri. Namun, riak wajah Khairul tetap tidak berubah. Di wajahnya tergambar perasaan benci yang meluap-luap terhadapku.

"Kau menuduh emak pula?" Soalnya sambil mengetap gigi.

"Abang, percayalah. Abang kenal hati budi Farah. Farah takkan lakukan semua itu pada anak-anak."

"Jadi, Farah kata emak sengaja mengada-adakan cerita ini?" Suaranya menengking aku. Aku terasa begitu kerdil di hadapannya tika itu.

"Bukan itu maksud Farah. Bukan Farah mahu memburuk-burukkan emak, tapi kenyataan! Tolonglah abang... Farah merayu..."Aku terus melutut dan memeluk kakinya. Namun sedikitpun dia tidak memperdulikan diriku.

"Abang tidak menyangka Farah begini. Abang sangkakan Farah mulia, tapi perangai Farah tak ubah seperti perempuan jalang di jalanan."

"Abang!!!"

Air mata kembali mengalir lesu di wajahku. Entah berapa lama aku berkeadaan begini. Semenjak aku sampai lewat malam, hinggalah kini... air mata tidak jemu-jemu menemaniku. Tidak aku menyangka dia sanggup menghina aku sedemikian. Dia menyamakan tarafku seperti perempuan jalanan yang tidak bermaruah. Mengapa dia berubah begini? Dahulu, akulah yang disayanginya walaupun tahu aku tidak disukai oleh emaknya. Tapi kini... mengapa dia berubah? Adakah kerana hasutan dari emaknya hingga dia sanggup melontarkan kata-kata sebegitu kesat terhadapku.

Kemuncak pertengkaran kami, akhirnya aku dihalau keluar dari rumah itu. Walaupun sudah puas aku merayu kepadanya. Namun, sedikitpun dia tidak sudi memandang wajahku.

"Keluar kau dari sini. Aku tak mahu melihat wajah kau di dalam rumah ini lagi. Kau boleh bawa apa sahaja barang yang kau mahu. Tetapi, jangan sekali-kali kau jejakkan kaki kau di rumah ini lagi."

Begitulah kata-katanya. Tika itu azan maghrib sedang berkumandang. Terasa hancur luluh hatiku setelah dihalau bagaikan anjing kurap. Ke mana harus kutuju? Aku tiada siapa di sini. Balik kampung? Aku tak mahu menyusahkan hati emak dan abah. Pergi ke rumah Hanim? Aku tak mahu menyusahkan dia. Akhirnya aku kembali ke rumah yang aku duduki sebelum berkahwin dengan Khairul. Aku bernasib baik kerana masih menyimpan kunci rumah ini. Rumah ini adalah kepunyaan emak dan abah. Dengan langkah yang longlai, setelah mengemaskan pakaian dan barang-barangku, aku keluar dari rumah itu dengan perasaan yang begitu berat. Tetapi aku sempat mencapai gambar-gambar Farhan dan Azim serta beberapa helaian pakaian mereka buat mengubat rinduku.

Jam berdenting lima kali. Namun mataku masih lagi terbuka di dalam kegelapan. Air mata sudah kering. Aku memikirkan nasibku setelah apa yang berlaku siang tadi. Bagaimana aku mahu teruskan hidup dalam keadaanku yang begini? Dalam keadaan aku yang berbadan dua, seharusnya mendapat belaian, jagaan dan kasih sayang dari suami. Tapi, kini... aku terkapai-kapai seorang diri untuk meneruskan kehidupan ini. Mampukah aku untuk mengharungi hidup ini?

Bersambung - Bab 43 : Khairul

No comments:

Post a Comment