Kepalaku berserabut asyik teringatkan permintaan dari Farhan yang mahu dicarikan Auntie Mamanya. Azim juga asyik memanggil namanya dan sejak kebelakangan ini, kesihatan mereka juga tidak begitu baik. Mungkin kerana teramat rindukan Farah. Hampir sebulan Farah keluar dari rumah setelah aku menghalaunya. Dan sampai sekarang juga aku tidak tahu di mana dia berada dan apa yang berlaku padanya.
Pernah juga aku terserempak dengan Hanim, rakan sepejabatnya. Sekadar berbalas senyuman apabila bertemu di dalam lif. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Lidahku kelu untuk bertanyakan tentang Farah. Takut jika aku tersalah bicara, mungkin akan menimbulkan kehairanan dan tanda tanya pada dirinya.
"Apa yang kau menungkan tu?" Sergah ayah dari belakang menyentakkan lamunanku. Aku membetulkan kedudukanku di kerusi.
"Tak ada apa-apa ayah." Jawabku perlahan.
"Teringatkan Farahkah?" Duga ayah. Aku hanya tersenyum. Ayah juga turut tersenyum.
"Ayah tak nampak apa pincangnya Farah tu pada kau. Malah secara jujur ayah katakan, ayah tidak percaya yang dia sanggup mencederakan anak-anak kau. Dan bukan juga ayah mahu menuduh emak kau yang bertanggungjawab. Mungkin ada salah faham yang berlaku antara emak kau dan Farah. Hanya mereka berdua yang tahu hal sebenarnya. Ayah sendiri pun tak tahu apa yang terjadi pada hari itu. Yang ayah tahu, apabila ayah sampai sahaja di rumah, emak kau menggesa ayah membawa Farhan ke hospital." Ayah menarik nafas sebentar. Aku menumpukan perhatianku kepada ayah. Sedikit sebanyak kata-kata ayah menusuk ke dalam fikiranku.
"Farhan dan Azim juga ayah tengok teramat rindukan Farah. Setiap masa mereka asyik menyebut-nyebut nama mama mereka. Kau tahu-tahu sajalah emak kau tu. Bukannya suka sangat cucu-cucu dia tu asyik menyebut si Farah. Bertambah marah dan sakit hati dia. Kadang-kadang ayah kasihan melihat emak kau tu. Dia cuba untuk mengambil perhatian Farhan dan Azim. Tapi, nampaknya budak-budak tu terlalu sayangkan Farah hinggakan emak kau merasa dia tersisih dari mendapat kasih sayang dari cucu-cucunya sendiri. Budak-budak… bukannya mereka tahu tentang hati dan perasaan orang dewasa. Kesihatan Farhan dan Azim juga ayah tengok semakin teruk kebelakangan ini. Badan mereka agak panas. Dah berapa lama begitu?" Berkerut dahinya ayah menyoalku.
"Dah hampir seminggu ayah." Aku menjawab tanpa memandang wajah ayah. Kedengaran ayah mengeluh.
"Hmmm… kau sendiri tengok. Nampak sangat mereka rindukan Farah. Sudahlah Khairul. Pergilah cari Farah semula dan bawa dia pulang. Kalau betul-betul dia bersalah, maafkan sajalah kesalahannya. Mungkin dia ada sebab-sebab tersendiri hingga memaksanya buat begitu. Tapi, satu sikap kau yang ayah kesalkan sangat. Kau menghukumnya sebelum sempat dia membukti bahawa dirinya tidak bersalah. Kau menghakiminya dengan perasaan marah kau bukannya dengan fikiran rasional kau. Andainya Farah tidak bersalah dalam hal ini, kau akan menyesal buat selama-lamanya. Hatinya sudah terluka." Terkedu aku mendengar bicara ayah. Air liur yang kutelan dirasakan begitu pahit.
"Adakah saya sudah silap membuat keputusan ayah?" Pertanyaanku disambut dengan senyuman sinis dari ayah.
"Jangan tanya ayah, tanya diri kau sendiri. Tanya diri kau samada apa yang kau lakukan itu betul atau salah? Adil atau tidak?" Aku mencengkam rambutku. Seribu kesalan menyesakkan kepalaku.
"Saya tak tahu dia di mana sekarang?" Akhirnya aku mengalah. Aku sendiri mengaku yang aku juga turut merindui Farah. Rumahku terasa begitu sunyi tanpa kehadiran Farah. Akibat tidak tertahan dengan kesunyian yang melanda, setiap minggu aku membawa pulang Farhan dan Azim ke kampung. Dan sekarang ini, aku berada di kampung.
"Kaukan tahu tempat kerjanya. Cuba cari di sana. Mungkin kawan-kawannya juga dapat membantu. Ikhtiarlah Khairul. Janganlah kau mensia-siakan perempuan sebaik Farah itu." Sekali lagi aku terkedu mendengar kata-kata ayah.
Mengapa ayah berkata begitu? Adakah aku telah silap membuat keputusan? Perempuan sebaik Farah telah aku lepaskan hanya kerana salah faham yang berlaku. Tapi, benarkah apa yang Farhan ceritakan padaku dulu. Benarkah emak yang bertanggungjawab ke atas kecederaan yang Farhan alami? Ingin aku bertanya sendiri pada emak, tetapi aku batalkan sahaja niatku itu. Aku tidak mahu emak menuduh aku tidak mempercayainya. Hati emak perlu aku jaga, tetapi hati Farah? Aku telah melukakan hatinya malah telah menghinanya.
Di mana harus aku mencarinya? Tidakkah dia merindui Farhan dan Azim sebagaimana anak-anak itu merinduinya? Andainya aku dapat mencarinya, mahukah dia kembali hidup bersama aku dan anak-anak? Dapatkah dia memaafkan diriku?
"Sudahlah Khairul. Dengar kata ayah. Pergilah cari dia. Bawa dia pulang. Insyaallah, demi Farhan dan Azim, dia akan kembali semula pada kau. Cuma yang perlu aku lakukan hanya mencari dan memujuknya untuk kembali." Ayah menepuk-nepuk bahuku lalu beredar dan meninggalkan aku termangu-mangu seorang diri di ruang tamu.
"Papaa…" Kedengaran suara rengekan dari Azim. Dia sedang terisak-isak sambil berlari-lari anak mendapatkan aku.
"Kenapa nie sayang?" Soalku lalu mengangkatnya lalu aku letakkan dia di atas ribaku.
"Opah jahat! Dia pukul adik…" Azim terus terisak-isak di pangkuanku. Aku memujuknya lantas aku mendukungnya. Aku mencari-cari kelibat emak. Seketika kemudian aku terdengar riuh-rendah di dapur. Aku mengaturkan langkahku menuju ke dapur.
"Kenapa dengan kau nie ha? Degil sangat? Makan sajalah apa yang opah masak!" Kedengaran suara emak meninggi dari ruang dapur. Aku mempercepatkan langkahku. Aku sampai di ambang pintu. Kelihatan emak sedang melayan Farhan makan.
"Opah masak tak cedap. A’an nak Auntie Mama juga masak." Bentak Farhan lalu menolak pinggan berisi bubur nasi.
"Eh, eh budak nie! Ini mesti perempuan tu lah yang ajar jadi biadap macam nie." Muka emak menyinga apabila nama Farah disebut-sebut oleh Farhan.
"Opah jahat! Opah pukul Auntie Mama. Sebab tu la Auntie Mama lari. Tak balik-balik." Farhan masih lagi membentak. Tetapi emak nampaknya sudah hilang sabar, lalu mengangkat tangan dan cuba untuk menampar pipi Farhan.
"Emak!!!" Tahanku lalu cepat-cepat menghampiri mereka. Emak kelihatan serba salah dan sedikit cemas.
"Tengoklah anak kau nie. Nak suruh makan pun susah. Tak kuasa aku nak layan lagi. Kau sendiri sajalah yang beri anak kau makan." Kata emak lalu terus berpaling dan beredar dari situ.
Aku terkejut melihat tindakan emak tadi yang hampir mahu menampar Farhan. Hanya kerana Farhan asyik menyebut tentang Farah, emak seperti hilang pertimbangan dan tak dapat menahan sabar. Emak juga seperti teramat bencikan Farah. Nampaknya aku sudah dapat tahu jawapannya. Tidak syak lagi. Jadi, betullah tanggapan ayah selama ini dan apa yang Farhan beritahu kepadaku, semuanya benar belaka.
Farah… abang bersalah terhadap kau. Abang telah menghukum kau tanpa memberi peluang kepada kau untuk membuktikan kebenaran. Maafkanlah abang Farah. Terlalu besar dosa abang terhadap kau. Di manakah kau berada sekarang sayang?
Bersambung - Bab 45 : Farah
No comments:
Post a Comment