Monday, January 31, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 55

Bab 55 : Khairul

Farah masih lagi tidak sedarkan diri. Wajahnya begitu pucat. Tangannya yang berada dalam genggamanku begitu sejuk. Nafasnya begitu perlahan hingga seakan tidak kedengaran langsung bunyi nafasnya.

"Papa, kenapa lama sangat Auntie Mama tidur?" Farhan yang berada di sebelahku menyoal. Awal-awal pagi lagi ayah datang bersama Farhan dan Azim.

"Auntie Mama sakit. Jadi, dia kena rehat." Balasku lalu tersenyum hambar.

"Auntie Mama pun sakit macam mama dulu ke? Nanti Auntie Mama pun nak tinggalkan kita macam mama dulu ke?" Begitu petah sekali mulut comel itu menyoalku. Aku menjadi gugup apabila melihat Farhan cuba mengimbas semula peristiwa yang berlaku kepada Linda dahulu. Jantungku berdegup kencang.

Aku tiada jawapan untuk persoalan yang diutarakan oleh Farhan. Pertanyaannya kubiarkan tidak berjawab. Yang sebenarnya aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepadanya.

"Farhan, jangan bising. Nanti ganggu mama nak berehat." Ayah bersuara kepada Farhan. Farhan lantas menutup mulutnya. Aku tertawa kecil melihat gelagatnya.

Aku kembali menatap wajah isteriku yang kepucatan. Tiba-tiba kelopak matanya seakan bergerak-gerak. Begitu juga dengan tangannya yang berada di dalam genggamanku.

"Farah... bangun sayang. Abang ada di sini. Anak-anak pun ada sekali." Bisikku di telinganya. Aku berpaling kepada ayah dan emak yang duduk berhampiran dengan anak perempuanku di sebelah katil Farah.

"Abang..." Kedengaran suara Farah memanggilku begitu perlahan sekali.

"Ya, sayang... abang ada di sini." Jawabku dengan hati berbunga ceria. Kelopak matanya terbuka perlahan-lahan.

"Syukurlah kamu dah sedar Farah." Ucap emak lalu mengucup dahi Farah. Farah cuba senyum, namun senyumannya begitu tidak bermaya sekali. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

"Mana anak kita bang? Saya nak tengok anak kita." Suaranya begitu lemah sekali.

"Sekejap ya, nanti abang bawa anak kita." Balasku lalu bangun menghampiri katil kecil di sebelah kiri katil Farah. Anakku yang masih kemerah-merahan kuangkat dengan berhati-hati. Perlahan-lahan aku meletakkan bayi kami di atas dadanya.

"Kita dapat anak perempuan sayang." Beritahuku. Farah mengalirkan air mata sambil mengucup dahi bayi kami yang sedang nyenyak tidur.

"Abang dah letak nama pada anak kita?" Soalnya sambil membelai-belai tangan kecil itu. Sekali sekala dia mengucup tangan kecil itu.

"Belum. Biar sayang saja yang namakannya." Dia tersenyum kepadaku.

"Kalau saya letak nama Fatihah, sedap tak bang?"

"Fatihah? Hmmm... bagus juga nama tu."

"Kelak bila saya dah tak ada, bolehlah dia sedekahkan Al-Fatihah kepada saya selalu." Aku tersentak. Cepat-cepat aku meletakkan jariku di bibirnya. Aku menggelengkan kepala tanda tidak suka dia berkata begitu. Dia mengalihkan tanganku dari bibirnya dan tersenyum hambar.

"Farah rasa, Farah takkan lama di sini. Apabila Farah sudah tiada nanti... abang... abang jagalah anak kita; Fatihah, Farhan dan Azim dengan baik ya!" Begitu payah sekali dia cuba menuturkan kata-katanya itu. Hatiku sayu mendengar kata-katanya itu.

"Jangan kata begitu sayang. Farah akan hidup lama. Kan kita dah berjanji akan membesarkan anak-anak bersama-sama." Dadaku bergetar. Akan berulang kembalikah peristiwa lama? Aku tidak sanggup menghadapinya buat kali kedua. Emak sudah mula menangis. Ayah pula sugul sekali wajahnya.

"Maafkan Farah bang. Farah rasa..... Farah tak dapat menunaikan janji itu. Farhan, Azim mari pada mama." Farhan dan Azim memanjat katil Farah.

"Sayang mama sikit." Mintanya. Farhan dan Azim bergilir-gilir mengucup pipi Farah. Aku sudah tidak mampu untuk menahan air mata. Kukalihkan wajahku ke sisi. Tidak mahu mereka melihat air mata lelaki yang mengalir di pipiku.

"Farhan dan Azim bantu papa jaga adik baik-baik ya. Jangan nakal-nakal." Pesan Farah buat anak-anakku. Sekali sekali dia mengerutkan dahi menahan kesakitan. Emak menghampirinya lalu mengambil Fatihah dari pangkuannya dan meletakkan kembali ke katil.

"Mama nak pegi mana?" Azim yang masih kecil menyoal tanda tidak faham dengan keadaan yang berlaku.

"Mama nak pergi jauh sayang..." Suara Farah begitu dalam sekali. Begitu sukar untuk dia berbicara. Namun, demi untuk tidak menghampakan Azim, digagahnya untuk menjawab. Emak sudah tersedu-sedu. Ayah pula kulihat mengesat bibir matanya. Suasana begitu pilu.

"Macam mama A'an dulu?" Farhan memintas bicara Farah. Farah hanya tersenyum. Dia mengusap-usap pipi Farhan. Kemudian membelai-belai rambut Azim. Air mata mengalir dari kelopak matanya.

"Mama sayangkan Farhan dan Azim. Selalu ingat di dalam hati bahawa mama sentiasa sayangkan kamu berdua. Janji pada mama ya!" Farhan dan Azim mengangguk serentak. Farah tersenyum lagi.

"Emak... ayah..." Panggil Farah kepada emak dan ayah. Mereka bergegas menghampiri Farah. Tangan Farah digenggam erat oleh emak.

"Terima kasih kerana menjaga saya selama ini. Maafkan segala kesalahan dan, aduhh..." Farah memegang perutnya. Aku cemas melihat keadaannya.

"Abang panggil doktor ya." Ucapku dan cuba untuk bangun tetapi ditahan oleh Farah. Dia menggelengkan kepalanya. Aku kembali duduk.

"Maafkanlah segala kesalahan saya emak, ayah. Halalkan makan minum saya selama ini." Farah cuba menghabiskan kata-katanya.

"Kami maafkan kamu dan halalkan makan minum kamu." Tersedu-sedu emak. Ayah pula hanya mampu menganggukkan kepalanya sahaja. Farah nampaknya berpuas hati dengan jawapan emak. Dia tersenyum lagi. Dia kembali menatap Farhan dan Azim.

"Ingat ya... mama sayangkan kamu berdua." Ucapnya buat kali ketiga. Ditariknya Farhan dan Azim rapat ke dadanya. Dia memeluk mereka dengan erat. Dadaku bertambah sebak. Aku biarkan sahaja air mata lelakiku mengalir lesu di pipi. Tidak upaya lagi aku menahannya. Mengapa kamu mahu meninggalkan abang sayang? Mengapa semua orang yang aku sayang pergi meninggalkan aku? Adakah aku tidak berhak untuk mengecap kebahagiaan?

"Abang..." Suaranya serak. Aku merenung ke dalam mata Farah sudah kehilangan cahayanya. Wajahnya juga sudah kehilangan serinya.

"Ya sayang." Perlahan aku tunduk lalu mengucup dahinya.

"Farah rasa letih. Farah hendak tidur." Ucapnya kepadaku. Aku mengangguk-angguk. Memahami akan maksudnya itu.

"Tidurlah sayang..." Balasku sambil membelai-belai rambutnya. Kemudian aku mencapai tangannya lalu kukucup berulang kali.

"Kalau emak dan abah sampai, sampaikan salam saya buat mereka ya. Katakan pada mereka bahawa saya mahu berehat." Dia tersenyum lagi. Air mataku berderai kembali.

"Baik sayang. Berehatlah dengan tenang." Selesai sahaja aku berkata, dia menutup matanya. Tangannya terlepas dari genggamanku. Jatuh terkulai di tepi katil. Aku tersentak. Emak meraung sambil memeluk ayah.

Bersambung - Bab 56 : Khairul 


No comments:

Post a Comment