"Takkan di Malaysia nie dah tak ada anak teruna, sampai kau nak kahwin dengan duda tu?" Abah bersuara membuatkan perutku seakan kecut. Abah amat jarang berbual-bual denganku. Dan aku amat menghormatinya sehinggakan timbul perasaan takut dalam diriku. Berbeza dengan emak yang begitu akrab denganku.
Aku hanya mendiamkan diri. Aku memandang ke wajah emak yang duduk di sebelah abah. Aku mengerutkan dahi kepada emak agar dia memahami isyaratku supaya membantuku untuk menjawab soalan abah. Tapi, emak buat-buat tidak faham.
Aku menarik nafas seketika sebelum menjawab pertanyaan dari abah.
"Bukan begitu abah. Sudah jodoh saya dengan dia." Jawabku perlahan. Sedikitpun aku tidak berani menentang mata abah.
Abah merengus perlahan. Aku tahu, dia bukannya marahkan aku kerana mahu mengahwini seorang duda tetapi, kalau boleh dielakkan lagi elok. Sedangkan dulu sewaktu emak mengahwini abah, abah juga seorang duda beranak satu. Mungkin dia tidak mahu aku mengikut jejak langkah emak yang mengahwini seorang duda.
"Alah, abahnya... apa salahnya. Bukannya kita tak kenal si Khairul tu. Dah macam anak kita sendiri. Diakan selalu datang bersama dengan arwahnya Linda dulu. Cuma selepas Farah berpindah kerja, kita langsung tak berjumpa dengan mereka. Sampaikan Linda 'pergi' pun, kita tak tahu." Kata-kata dari emak membuatkan aku berasa sedikit lega. Memang aku sudah memberitahu pada emak dan abah tentang Linda. Mereka pada mulanya amat terkejut dengan berita yang ku bawa, tetapi mereka akur dengan ketetapan Ilahi.
"Abah bukannya menghalang, tapi abah rasa macam tak sedap hati hendak melepaskan Farah berkahwin dengan dia. Lagipun dia ada anak. Macam mana Farah hendak sesuaikan diri dengan anak-anak tiri. Tengok macam kakak kamu, tak mahu dia tinggal dengan emak kamu nie. Dia lebih rela duduk dengan opah sebelah arwah ibunya. Inikan pula kamu yang akan tinggal serumah dengan mereka. Abah takut kalau kau tak sesuai tinggal dengan budak-budak. Kau tu anak tunggal kami. Mana ada adik-beradik yang lain." Abah meluahkan kesangsiannya terhadap kesanggupan aku untuk menjaga bakal anak-anak tiriku itu.
"Itu abah tak perlu risau. Saya dah berjumpa dengan anak-anak Khairul. Mereka nampaknya menyenangi saya dan malah menganggap saya sebagai ibunya. Mungkin mereka kehilangan seorang ibu sewaktu mereka masih kecil, jadi bila Farah rapat dengan mereka lalu mereka anggap Farah nie ibu mereka." Jawabku berhat-hati. Kali ini aku lebih berkeyakinan untuk menjawab setiap soalan yang diajukan oleh abah.
"Farah pasti dengan jodoh Farah ini?" Soal abah.
"Ya." Jawabku gugup.
"Takkan menyesal kalau apa-apa berlaku di kemudian hari?"
"Tak. Farah takkan menyesal." Jawabku dengan yakin.
Abah mengangguk-anggukkan kepalanya mungkin berpuas hati dengan jawapanku. Dia mengalihkan pandangannya kepada emak pula.
"Macam mana Dah? Awak setuju?"
"Saya tak ada masalah. Mana yang baik pada Farah, baiklah pada saya." Balas emak lalu tersenyum senang.
"Baiklah kalau begitu, nanti kau minta pihak Khairul datang untuk berbincang dengan keluarga kita."
Sebaris ayat yang keluar dari mulut abah amat menggembirakan hatiku. tanpa berlengah-lengah lagi aku terus mencapai telefon bimbitku lalu berlari ke tengah halaman rumah dan mendial nombor telefon Khairul. Tidak sabar rasanya untuk aku menyampaikan berita gembira ini.
"Hello." Kedengaran suara Khairul di corong telefon bimbitku.
"Hai, Farah di sini." Balasku pantas.
"So, apa keputusannya?" Soal Khairul tidak sabar.
"What do you think?" Soalku kembali dengan nada yang agak sedih. Sengaja mahu bergurau dengannya.
"Emmm... I don't know. I hope, positive." Balasnya perlahan. Aku tersenyum. Mesti dia buat muka 'seposen', desisku lalu ketawa kecil.
"You laugh, it means..." Suaranya kembali bersemangat. Kali ini aku ketawa besar dan
memberitahunya bahawa abah dan emakku bersetuju. Cuma menunggu pihaknya datang untuk merisikku secara rasminya.
"How about your mother?" Soalku pula. Aku tahu ibunya tidak begitu menyenangi dengan keputusannya untuk berkahwin lagi. Aku tidak tahu apa yang dikatakan pada ibunya sewaktu memujuk agar merestui perkahwinanya buat kali kedua ini. Cuma dia meminta agar aku jangan risau. Walaupun begitu, sedikit sebanyak aku seperti terasa tempiasnya. Aku tahu aku bakal menghadapi sedikit masalah apabila berdepan dengan ibunya nanti.
"Dia emak aku. Tahulah aku uruskan. Dia sudah merestui perkahwinan kita and she wants to see you."
Bagaikan terhenti jantungku apabila mendengar permintaan ibu Khairul.
"Your mother wants to see me?" Soalku kepadanya untuk meminta kepastian.
"Yes... she wants to see her future daughter-in-law." Kata Khairul mesra.
Aku mendiamkan diri. Aku tahu, aku perlu berjumpa dengan ibunya. Tapi, entah mengapa hatiku berasa tidak enak. Bukannya aku tak pernah berjumpa dengannya sebelum ini. Sewaktu Linda masih ada, sering juga berkunjung ke rumah ibu Khairul. Mungkin kunjunganku kali ini berbeza dari dahulu. Kalau dulu, kunjunganku hanya sekadar kunjungan rakan anaknya, tapi kali ini kunjunganku adalah untuk bertemu dengan bakal ibu mertuaku!
"Takut?" Suara Khairul kembali menerpa ke corong telingaku. Tersentak aku seketika.
"Emmm... no. Nervous!" Balasku. Kedengaran dia ketawa.
"Bukannya kau tak pernah berjumpa dengan emak aku. It's okay, bukannya mak aku nak makan kau." Ucapnya bergurau. Aku hanya tersenyum.
"OK. Abah dan emakku meminta pihak kau datang untuk membincangkan hal kita." Aku cuba mengelak dari terus membicarakan tentang pertemuan di antara aku dan emak Khairul. Entah mengapa, setiap kali mengingatkan wajah emak Khairul, jantung berdebar-debar sahaja.
"Tentang itu, aku akan berbincang semula dengan emak dan ayahku. Tapi, yang penting sekarang ialah... aku perlu bawa kau berjumpa dengan emak dan ayahku."
"Baiklah. Esok aku akan kembali ke sana. Hari Sabtu, selepas waktu kerja... kita pergi berjumpa dengan mak dan ayah kau."
Akhirnya aku memberikan persetujuan untuk berjumpa dengan emak dan ayah Khairul. Aku tahu aku tidak boleh mengelak dari berjumpa mereka berdua. Lambat laun, aku pasti akan berdepan dengan mereka kerana aku bakal menjadi sebahagian dari keluarga itu.
"That's my girl..." Mendengar suara Khairul membuatkan hatiku kembali tenang. Setenang petang yang indah ini.
Aku kegelisahan. Berbagai-bagai persoalan timbul di benakku. Entah mengapa hatiku bagaikan tidak enak untuk menemui emak dan ayah Khairul. Terasa seolah-olah seperti ada sesuatu yang bakal berlaku. Tetapi tidak aku suarakan pada Khairul yang sedang menumpukan perhatiannya pada jalan raya yang tidak begitu sibuk. Aku memandang wajahnya, lama.
"Kenapa?" Soalnya tenang. Agaknya dia perasan aku memerhatikannya agak lama.
Aku hanya menggeleng-gelengkan kepalaku sambil melepaskan keluhan kecil.
"Nervous?" Soalnya lagi. Kali ini ku hanya menganggukkan kepala sambil melemparkan senyuman hambar.
Pantas tangannya mencapai tanganku lalu digenggam erat dan dibawa ke dadanya yang bidang itu.
"Bawa bertenang. Tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus. Kita sudah hampir sampai nie. Dalam lima belas minit lagi." Aku tahu dia cuba mententeramkan perasaanku yang agak berkecamuk.
Aku tidak memberi apa-apa reaksi. Sebaliknya aku mengalihkan tumpuanku ke tempat duduk belakang. Farhan dan Azim sedang tidur dengan lenanya. Kasihan anak-anak ini. Selepas tamat waktu kerja tadi, Khairul terus membawa aku mengambil Farhan dan Azim dari rumah pengasuh mereka lalu bergegas meneruskan perjalanan pulang ke kampung Khairul.
Tidak lama kemudian Khairul membelokkan keretanya ke sebuah taman perumahan. Di kiri-kanan kelihatan rumah banglo dua tingkat berdiri dengan megahnya. Sudah lama keluarga Khairul menetap di sini. Semenjak aku mula mengenali mereka dahulu. Selalu juga aku bertandang ke mari. Itupun atas desakan Linda dan Khairul. Aku hanya menurut kata mereka kerana tidak mahu dikatakan sengaja menjauhkan diri.
Memang aku cuba menjauhkan diri dari mereka, terutama sekali Khairul. Dengan melihat kebahagiaan mereka, akan membuatkan hatiku bagaikan disiat-siat. Pedihnya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Maka untuk mengelakkan hatiku dari terus menerus terluka, aku terus mencari peluang kerja di tempat lain agar aku dari lari jauh dari mereka berdua. Akhirnya aku dapat menjawat jawatan jauh di kota dan langsung tidak menghubungi mereka.
Tetapi siapa sangka setelah lima tahun aku menyepikan diri, akhirnya aku bertemu semula dengan lelaki di sebelahku ini yang sekarang memegang gelaran duda beranak dua. Dan sekarang pula aku bakal hidup bersama dengan lelaki yang pernah aku cintai secara dalam diam. Aku sendiri masih tidak percaya dengan lamaran dari lelaki ini. Tapi, aku tahu, dia bersungguh-sungguh dan aku merasakan inilah saat yang paling terindah dalam hidupku.
"Kita sudah sampai." Ucapnya hampir ke telingaku. Aku tersentak dari lamunan. Aku berpaling ke kanan untuk memandang wajahnya. Dia sedang tersenyum kepadaku.
"Come!" Ajaknya lalu membuka pintu keretanya. Begitu juga dengan aku. Kemudian aku membuka pintu belakang kereta Wira itu untuk mengambil Azim yang masih lena. Farhan pula sudah awal-awal lagi berlari masuk ke rumah opah dan atuknya. Aku mengangkat Azim dari pembaringannya. Baru sahaja aku mendukungnya, dia sudah terjaga. Kelihatan dia agak mamai. Aku mengucup pipi gebunya.
Khairul membantu aku untuk menutup pintu kereta. Mukanya berseri-seri. Berbeza dengan diriku yang kelihatan amat gugup sekali.
"Opah..!! Opah…!! Auntie datang…!!" Kedengaran lunak suara Farhan memberitahu opahnya akan kedatanganku. Ini membuatkan aku bertambah gementar. Khairul yang memahami keadaanku, menggenggam erat tanganku lalu dikucupnya lembut. Terpana sebentar aku dengan perbuatannya. Tapi yang pastinya ia dapat meredakan sedikit debaran kencang di dadaku.
Aku telah sampai di ambang pintu banglo putih itu. Aku memberikan salam. Seketika kemudian terdengaran suara perempuan menjawab salamku. Aku tahu itu suara Puan Fatimah, ibu Khairul. Aku menanti kemunculan ibu Khairul dengan sabar.
"Sudah sampaipun orang yang ditunggu-tunggu." Muncul Encik Said, ayah Khairul yang menyambut aku dan Khairul di pintu. Dia melemparkan senyuman mesra buat kami. Aku membalas dengan seadanya.
"Apa khabar pak cik?" Soalku ramah.
"Baik... baik… Jemputlah masuk."
Dengan bismillah aku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Keadaannya sudah berubah. Perhiasan, perabot dan juga susun aturnya malah catnya jug sudah berganti dengan warna lain. Yalah, sudah lima tahun aku tidak ke sini.
"Mak cik kamu ada di dapur. Apa lagilah yang dibuatnya di dalam sana. Bukannya hendak menyambut bakal menantu." Beritahu ayah Khairul.
Aku tersenyum malu apabila mendengar perkataan ‘bakal menantu’ yang keluar dari mulut ayah Khairul.
Tidak lama kemudian, Farhan datang menerpa kepadaku. Azim pula masih berada di pangkuanku.
"Mari sini pada atok." Ayah Khairul menghulurkan tangannya untuk mengambil Azim dariku. Tetapi, Azim pantas merangkul leherku.
"Amboi… mentang-mentanglah dah dapat mama baru, dengan atok pun dah tak mahu kawan." Seloroh ayah Khairul sambil tangannya memegang tangan Azim. Azim menjerit keengganan. Semakin erat dia merangkul leherku. Akhirnya ayah Khairul mengalah. Dia menarik Farhan lalu mengangkatnya dan diletakkan di atas pangkuannya.
"Apa khabar mak cik?" Ucapku apabila aku melihat emak Khairul sedang jalan menuju ke arah kami di ruang tamu.
"Khabar baik. Sudah lama kamu tak datang ke sini ya?" Balasnya lalu melabuhkan punggungnya di sebelah ayah Khairul. Tiada senyuman di bibirnya.
"Emmm… dah lama juga. Sudah lima tahun." Jawabku gugup.
"Linda meninggal pun kamu tak datang." Katanya lagi. Aku pula mula terasa bahang di dalam perbualan kami.
"Yang sebenarnya saya tak tahu pun kejadian yang menimpa arwah. Kalau tak berjumpa Khairul tiga bulan yang lalu, saya rasa sampai sekarang pun saya takkan tahu." Balasku lalu memandang Khairul yang duduk mendiamkan diri di sebelahku.
"Iyalah… Kalau kamu tak berjumpa dengan dia tiga bulan yang lalu, takkan kamu boleh sampai di sini, kan?" Ada nada sindiran di dalam ayat yang keluar dari mulut emak Khairul.
Aku mula gelisah. Patutlah sepanjang perjalanan ke sini, hatiku berasa sungguh tidak selesa. Seperti ada sesuatu yang menghalang niatku untuk ke sini Rupa-rupanya emak Khairul tidak begitu menyenangi akan kehadiranku ke sini atau mungkin juga dia tidak begitu menyukai aku berkahwin dengan anaknya.
"Emakkk…" Kata Khairul seolah-olah memberi amaran pada emaknya supaya berhenti dari menyindirku.
Tiba-tiba sahaja perasaanku menjadi begitu sayu. Dadaku sebak dan aku berasa sungguh pilu. Entah mengapa tiba-tiba sahaja perasaan itu hadir. Air hangat bergenang-genang di dalam kelopak mataku. Aku cuba menahannya dari gugur. Aku perlu tabah jika aku mahu meneruskan perhubungan ini walaupun kutahu banyak ranjau dan duri bakal aku hadapi kelak.
Bersambung - Bab 14 : Farah
No comments:
Post a Comment