Bab 9 - Farah
Aku keresahan menanti Khairul di kaki lima bangunan pejabat. Entah mengapa hatiku ini begitu berdebar-debar. Berkali-kali aku melirik ke pergelangan tanganku untuk melihat waktu. Jarum jam itu bagaikan terlalu cepat bergerak. Jika boleh diputarkan kembali masa, akan aku putarkan semula pada waktu aku menelefon Khairul tadi, dan mengatakan aku tidak dapat keluar makan bersamanya tetapi persetujuan telah kuberi. Dan sekarang aku hanya perlu menunggunya keluar dari pejabat.
"Kenapa gelisah sahaja?" Kedengaran suara Khairul menyapaku dari belakang. Aku pantas berpaling lalu tersenyum. Dia membalas senyumanku.
"Tak ada apa-apa." Jawabku agak gugup. Gugup melihat penampilannya. Walaupun hanya berkemeja putih tanpa tali leher dan lengan kemejanya itu dilipat ke paras siku dan berseluar slack hitam, dia nampak begitu tampan bagiku. Walaupun berpuluh-puluh kali aku melihatnya, dia tetap amat menarik bagiku. Kalau tidak, takkanlah setiap kali aku melihatnya, aku akan jatuh cinta padanya. Hmmm, mungkin aku nie dah angau tahap kronik ni. Tak lama lagi boleh daftar kat Tampoi. Dia hanya tersenyum padaku lagi. Terserlah lesung pipitnya dan bibirnya yang kemerahan tanda dia tidak merokok.
"Cantik kau hari ini." Pujinya padaku sambil tangannya menekan suis kereta.
"Terima kasih." Balasku tersipu-sipu.
"Tak mahu puji aku pula?" Sambungnya pula. Aku hanya ketawa dan menggeleng-gelengkan kepala. Dia juga ketawa melihat gelagatku lalu mempersilakan aku masuk ke keretanya.
Setelah menutup pintu kereta dan memasang tali pinggang keledar, dia mula menghidupkan enjin kereta. Berderum bunyi enjin keretanya. Suasana tika itu begitu sepi. Aku kehilangan kata-kata. Mataku tidak memandang padanya sebaliknya tepat memandang ke arah depan.
"Kenapa senyap?" Soalnya. Aku mengalihkan pandanganku epadanya. Wajahnya sedikit serius.
Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala.
"Sejak bila pulak jadi bisu nie?" Soalnya lagi. Aku ketawa sedikit.
"Atau aku mengganggu lunch date kau hari nie?" sambungnya pula lalu memulakan perjalanan. Wajahnya tika ini nampak keresahan.
Tak adalah." Pendek sahaja jawapanku. Aku kembali mengalihkan pandanganku ke luar tingkap.
"Ataupun bergaduh dengan pakwe? Sorrylah sebab aku mengganggu date kau hari ini. Sepatutnya kau beritahu aku yang kau ada date dengan pakwe kau. Tak payahlah kita lunch sama hari nie." Serkapnya lagi. Kali ini aku ketawa besar. Lucu melihat wajahnya yang kelihatan tegang.
"Apa yang lucunya?"
"Tak ada-apa." Balasku sambil menahan sisa-sisa tawaku.
"Habis tu kenapa kau gelak?" Soalnya masih tidak berpuas hati.
"Kau nie Khairul, masih tak berubah. Suka sangat membuat andaian sendiri." Jawabku sambil tersenyum lebar.
"Maksud kau?" Ketika itu dia memberhentikan kereta kerana lampu isyarat berwarna merah. Kesempatan itu diambil dengan menatap wajahku.
"Aku tak ada lunch date dengan sesiapa pun hari ini kecuali dengan kau. Dan satu lagi, aku still single tau!" Terangku lalu ketawa.
Riak wajahnya berubah. "Oh! Ye ke? Aku ingatkan dah kacau line kau. rupanya masih single. Takkan tak 'sangkut' dengan mana-mana lelaki?" Wajahnya kembali ceria dan mula memandu semula setelah lampu isyarat bertukar kepada hijau.
"Tak ada siapa yang hendakkan aku. Lagipun aku nie bukannya cantik sangat." Jawabku merendah diri. Dia hanya tersenyum.
"Butalah lelaki yang kata kau tak cantik. Kau cantik, cuma kecantikan kau itu terselindung di sebalik sikap kau yang tak suka bercampur orang. Aku kenal kau dah lama Farah. Dan sudah masak dengan perangai kau yang antisosial tu." Balas Khairul.
"Aku bukan antisosial. Tapi memang perangai aku yang tak suka sangat keluar merambu ke sana-sini." Aku membetulkan tanggapan negatifnya terhadapku.
"Takkanlah tak ada yang 'sangkut' pada kau Farah?" Soalnya lagi. Ish dia nie, beria-ia sangat nak tahu kenapa? Aku bukannya adik dia. Buat apalah nak susahkan hati dengan ke'solo'an aku nie.
"Ada tu adalah... tapi semuanya suami orang, tunang orang...! Aku tak naklah. Kalau duda OK la.." Jawabku bergurau.
"Duda macam aku?" Perlahan sahaja dia menuturkan kata-kata itu. Aku pantas berpaling ke arahnya. Wajahnya kelihatan tenang memandang ke jalan raya di hadapannya.
"Aku... aku minta maaf. Bukan aku nak sindir kau... aku cuma bergurau saja. Sorry..." tergagap-gagap aku menuturkan kata maaf kepadanya. Aku betul-betul lupa bahawa lelaki di sebelahku ini sedang memegang status duda. Hish.. mengapalah mulut nie cabul sangat hari ini?
Dia tersenyum sedikit dan memandangku sepintas lalu. Dia senyap seketika sebelum menyambung kata. "Kenyataan Farah. Buat apa aku nak marahkan kau. Memang aku duda. Duda beranak dua."
"Khairul, aku..."
"It's OK. Aku tak marahkan kau. Hmmm, kalau duda macam aku yang pinang kau, kau terima tak?" Khairul cuba bergurau padaku. Walaupun terasa sedikit janggal, aku gagahkan diri untuk tersenyum.
"Tengoklah keadaan." Jawabku ringkas.
"Tengoklah keadaan? Lain macam saja bunyinya."
"Ajal dan maut begitu juga jodoh dan pertemuan, kehendak Tuhan. Tak siapa dapat menghalangnya. Kalau dah ditakdirkan jodoh aku dengan duda, aku terima. Asalkan dia dapat terima aku dan menyayangi aku, sudah cukup buatku." Terangku berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan yang bakal menyentuh hatinya lagi.
"Tak boleh menyerah bulat-bulat pada takdir Farah. Sekurang-kurangnya kita perlu berusaha untuk mencari jodoh sendiri." Nasihat yang keluar dari mulutnya, bagaikan angin lalu sahaja padaku. Sudah acapkali dia menuturkan begitu kepada aku. Sudah lali aku mendengarnya.
"Eh, kau nie buka topik pasal jodoh nie kenapa? Bukankah kau ajak aku keluar makan, bukannya nak dengar cerita bab jodoh nie." Aku mula bosan apabila soal jodoh menjadi topik perbualan. Topik yang sama juga akan aku dengari bila aku pulang ke kampung. Memanglah, dengan umurku yang sudah menjangkau 29 tahun, sepatutnya sudah berumahtangga. Sekurang-kurangnya mempunyai seorang cahayamata. Tetapi, pintu hatiku belum terbuka untuk menerima seorang lelaki yang bergelar suami buatku.
"Kau tu mulalah. Bila saja bercakap pasal jodoh, kau mula nak tukar topik. Macam-macam alasan diberi. Tak sesuailah... rendahlah... gelaplah... kedinglah..." Dia mula berleter padaku. Ini yang buat aku hilang selera nak makan nie.
"Kau nie, macam mak aku pulak. Membebel saja." Kataku. Tika itu dia sudah memparkir kereta di hadapan Restoran Roxary. Aku lantas membuka pintu kereta lalu keluar. Setelah menutup kembali pintu kereta, aku cepat-cepat berjalan meninggalkan dia dan menuju ke Restoran Roxary. Dia pula cepat-cepat menyaingi langkahku. Akhirnya dia berjaya menyamakan rentak langkahku dan sama-sama beriringan ke restoran tersebut.
"Janganlah merajuk. Nanti tak ada yang nak meminang kau bila tengok muncung kau tu. Boleh ikat dengan getah nie." Guraunya lalu ketawa. Aku pada mulanya ingin memarahinya tidak jadi bila melihat dia menghulurkan gelang getah entah dari mana dia kutip dan dihulurkan kepadaku. Akhirnya aku menumbuk lengannya dan ketawa bersama-sama dengannya.
Bersambung - Bab 10 : Khairul
Bersambung - Bab 10 : Khairul
No comments:
Post a Comment