"Farah, dah seminggu sayang begini. Sudah seminggu Farah membisu begini. Abang boleh jadi gila kalau Farah berterusan begini." Aku sudah tidak tahan melihat keadaan Farah yang langsung tidak mahu bercakap denganku. Suaranya hanya kedengaran sewaktu dia bersama-sama dengan anak-anakku.
Seperti biasa, kata-kataku bagaikan angin lalu sahaja padanya. Dia hanya memandang wajahku tanpa bicara dan kemudiannya terus beredar meninggalkan aku terpinga-pinga. Aku sudah tidak tahan menghadapi situasi begini.
"Farah, abang tahu abang telah melukakan hati Farah. Mungkin juga telah memusnahkan hidup Farah, tapi abang minta maaf. Jikalah abang dapat lakukan sesuatu untuk menebus kesilapan abang, katakanlah… abang sanggup lakukan. Asalkan Farah kembali seperti dahulu. Janganlah terus membisu begini."
Kali ini riak wajahnya berubah. Dia kelihatan tersenyum sedikit. Dia kembali memandang wajahku.
"Sebelum abang gila, Farah sudah gila dahulu. Mungkin juga terus mati lantaran kekecewaan yang amat menyakitkan ini."
Terpana aku mendengar kata-katanya. Lantas aku memeluknya dengan erat. Tetapi tiada reaksi langsung darinya. Aku melepaskan pelukanku perlahan-lahan. Kutatap wajahnya yang sudah dibasahi dengan air mata.
"Please, jangan sebut pasal mati. Abang tak sanggup kehilangan Farah. Abang sayangkan Farah."
"Lebih baik Farah mati daripada hidup menanggung kekecewaan. Lagipun, abang tidak pernah menerima Farah sebagai isteri abang. Hanya sekadar pengasuh buat Farhan dan Azim." Mendatar sahaja dia bersuara. Wajahnya dipalingkan dari memandangku.
"Abang sayangkan Farah, sungguh!"
"Tak, abang tak pernah sayangkan Farah. Kata-kata abang dusta dan hanya lakonan semata-mata." Nampaknya sudah hilang kepercayaannya buatku. Sedikitpun kata-kataku tidak memberi kesan padanya. Dia benar-benar amat membenciku.
Selepas menuturkan kata-kata itu, dia terus berlalu dariku. Dia mendapatkan Farhan dan Azim yang sedang leka menonton tv. Dia kemudiannya terus bergurau dengan anak-anakku. Mereka bergelak ketawa. Aku hampir gila melihat keadaannya sekarang. Aku tahu dia mengalami tekanan perasaan yang amat teruk tika ini.
Dia berlagak selamba di hadapan anak-anak untuk menutup kekecewaan yang merajai di hatinya tika ini. Bagaimana dia boleh setabah itu? Aku semakin kagum dengan wanita ini. Namun apalah gunanya sekarang, kami diibaratkan dua insan yang begitu asing walaupun tinggal serumah. Aku seolah-olah tidak wujud langsung di sini. Kami sudah terpisah jauh, teramat jauh sebenarnya.
Bersambung - Bab 34 : Farah
No comments:
Post a Comment