Apa sudah terjadi di dalam bilikku ini? Kosong sahaja. Ke mana semua barang-barangku? Almari baju juga sudah dikosongkan. Apa makna semuanya ini? Apakah dia mahu menghalau aku dari sini? Dia sudah membenci diriku? Dan ingin membuang aku dari kehidupannya?
"Farah." Terdengar suaranya memanggilku dari luar dengan diiringi ketukan di pintu. Aku bergegas membuka pintu.
"Apa abang dah buat dengan barang-barang Farah? Abang hendak menghalau Farah dari rumah inikah? Kataku sejurus membuka pintu. Suaraku sedikit meninggi. Dia sedikit terkejut dengan tutur kataku.
"Maafkan abang. Abang tak bermaksud begitu. Cuma emak dan ayah akan tiba tak lama lagi. Jadi, mereka akan tinggal di bilik Farah. Atas sebab itulah abang mengemas semua barang-barang dan pakaian Farah tanpa memberitahu Farah dahulu." Penerangannya melegakan hatiku. Kemarahanku sedikit kendur apabila mendengar penjelasannya itu. Aku sedikit menyesal di atas tindakan terburu-buru aku tadi.
"Abang sepatutnya telefon Farah dahulu. Biar Farah kemaskan semua barang dan pakaian Farah." Suaraku mulai kendur, tidak seperti mula-mula tadi. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini aku mudah marah dan adakalanya amat sensitif terhadap perkara-perkara remeh. Sedangkan dahulu, perkara tersebut sedikitpun tidak menjadi soal bagiku.
"Abang sudah cuba hubungi Farah, tapi orang di pejabat beritahu Farah sedang bermesyuarat dan tak tahu bila akan tamat. Untuk menunggu Farah pulang, rasanya tak sempat. Jadi, abang rasa biarlah abang sahaja yang lakukan." Berhati-hati dia memberi penjelasan di atas tindakannya itu. Aku menganggukkan kepalaku tanda menyetujui tindakannya itu.
"Abang letak di mana barang-barang Farah?" Aku kemudiannya berpaling lalu duduk di birai katil. Dia masih lagi berdiri di ambang pintu bilik.
"Abang bawa masuk ke dalam bilik abang." Bagaikan terkena kejutan elektrik, aku terus bangun berdiri.
"Bawa masuk ke bilik abang? Jadi, malam ini Farah tidur di mana?" Aku tahu soalan aku agak kebodoh-bodohan, walhal aku sudah tahu jawapannya. Dadaku berdebar-debar. Hatiku mula gusar.
"Nampaknya Farah kena tidur dalam bilik abanglah selama mak dan ayah di sini." Jawabnya lalu beredar meninggalkan aku sendirian di dalam bilik.
Setelah apa yang berlaku di antara kami dua bulan yang lalu, kini kami terpaksa tidur sebilik. Aku tak mahu!!! Aku tak mahu!!! Kerana ini akan mengingatkan kembali ‘kesilapan’ yang terjadi di antara kami. Luka dahulu masih lagi berdarah, pedihnya masih terasa. Mana mungkin aku boleh tidur dengan tenang jika sebilik dengannya.
Sedang aku mengelamun seorang diri di dalam bilik, telingaku terdengar bunyi riuh-rendah suara Farhan dan Azim. Aku terdengar suara yang seakan-akan pernah aku dengar sebelum ini. Aku terus keluar dari bilik dan menjengah dari atas. Emak dan ayah sudah sampai! Aku bergegas menuruni tangga dan mendapatkan mereka yang baru sahaja masuk ke dalam rumah. Aku menyalami tangan kedua-dua ibu dan ayah mertuaku.
"Baru balik dari pejabatkah Farah?" Ayah menyoal aku ketika aku menyalaminya. Kemudian aku beralih kepada emak untuk menyalaminya. Tepat pada sangkaanku, air muka emak menggambarkan kebenciaan yang tidak pernah surut. Salamku disambut acuh tak acuh sahaja. Namun aku tetap memaniskan mukaku di hadapannya.
"Ya, ayah. Baru saja sampai." Balasku lalu membantu mengangkat beg pakaian dari tangan emak. Farhan dan Azim sudah menarik opahnya duduk di sofa. Aku biarkan sahaja mereka melepaskan rindu terhadap opah mereka.
"Sudah agak lama kami tak datang ke sini. Rasanya dalam setahun, kan maknya?" Ayah berpaling ke arah emak yang sedang mengipas-ngipas badannya dengan selendang yang sudah dilucutkan dari kepalanya.
"Lebih kurang begitulah." Mendatar sahaja percakapan emak. Aku pula terus meminta diri ke dapur untuk menyediakan minuman. Farhan dan Azim amat gembira dengan kedatangan datuk dan opah mereka. Suara anak-anakku itu jelas kedengaran dari dapur.
"Ada apa-apa yang boleh abang tolong?" Tiba-tiba sahaja Khairul bersuara di belakangku. Aku menolehnya sekilas.
"Ermm.. tolong aturkan cawan atas dulang." Jawabku tanpa memandang wajahnya. Entah mengapa semenjak peristiwa dua bulan lepas, aku seakan hilang rasa hormat padanya. Namun dia tetap sabar melayani karenahku. Bukannya aku tidak merasa bersalah dengan tindakanku ini, namun apabila mengingatkan kata-katanya dahulu, langsung hilang perasaan simpatiku terhadapnya. Perasaan marah, sedih dan benci berpadu menjadi satu. Rasanya sudah hilang perasaan kasih dan sayangku buatnya. Aku gagahkan diri untuk bertahan di dalam rumah inipun, hanya mengenangkan Farhan dan Azim sahaja. Selain itu, tiada apa lagi yang dapat menahan aku dari terus tinggal di dalam rumah ini.
"Abang harap Farah dapat memberikan kerjasama pada abang. Abang tak mahu ayah dan emak menghidu apa yang sudah terjadi di antara kita berdua. Abang tak mahu mereka risau." Aku hanya mendiamkan diri. Aku menyibukkan diri membancuh minuman buat emak dan ayah. Dia mendekati aku lalu berdiri di sisiku. Aku buat-buat tidak menyedari kehadirannya di sisi.
"Abang tak perlu risau. Semuanya akan seperti biasa." Balasku lalu meletakkan jag air di atas dulang lalu aku mengangkat dulang tersebut keluar ke ruang tamu.
Bersambung - Bab 35 : Khairul
No comments:
Post a Comment