Hampir setengah jam aku menunggu di sini tapi bayang Khairul dan anak-anaknya masih tidak kelihatan. Aku mula gelisah. Berkali-kali aku memandang jam yang tergantung cantik di dalam restoran ini. Takkan tak jadi pula. Tadi, dia yang beria-ia ajak.
"Hai, sorry aku lambat sedikit." Suara Khairul menyapaku dari belakang. Pantas aku menoleh, tapi bukan wajah Khairul yang menjadi tumpuan aku sekaran tetapi wajah mulus dua orang kanak-kanak yang berada di samping dan di dalam dukungannya. Kaku aku seketika.
"Mama.." Tiba-tiba sahaja anak yang berada dalam dukungan Khairul memanggil aku 'mama' lalu menghulurkan tangan minta didukung. Aku sentak. Kupandang wajah Khairul yang juga kelihatan terkejut.
"Ini mesti Azimkan?" Aku membuka bicara untuk menutup rasa gugup dalam hati dan menyambut Azim dari dukungan Khairul. Khairul menyerahkan Azim kepadaku.
"Haah, ini Azim. Dan yang ini pula...."
"A'an..." Jawab kanak-kanak itu lalu tersenyum manis. Khairul ketawa besar melihat keletah anaknya itu.
"Ini pula Farhan ya!" Soalku ramah. Dia pantas menganggukkan kepalanya. Azim pula senyap dalam dukunganku. Kubelai-belai tubuh anak kecil itu. Hatiku tiba-tiba sahaja sebak.
Khairul mengambil tempat. Begitu juga diriku. Azim pula seperti melekat padaku.
"Comel anak-anak kau." Kataku sebaik sahaja memesan makanan. Khairul hanya tersenyum mendengarnya.
"Petah pulak tu..." Tambahku lagi. Kucubit pipi tembam Azim.
"Lupa pulak nak suruh diaorang salam dengan kau. Salam auntie." Pinta Khairul sambil memegang lengan Farhan. Farhan menghulurkan tangan kecilnya untuk bersalam denganku. Aku ketawa kecil lalu menyambut tangan kecil itu. Dia tunduk mengucup tanganku. Rasa damai menyusup ke dadaku. Di hatiku terdetik, walaupun tanpa kasih sayang mamanya, papanya masih mampu menjaga dan mengajar anak-anaknya dengan sempurna.
"Pandainya dia." Kataku lalu mengucup pipi Farhan pula. Dia tersenyum lebar.
"Auntie awan mama? Auntie tau mama dah ati? Sian mama..." Soal Farhan pelat. Aku memandang Khairul yang tersenyum mendengar.
Aku mengangguk sambil menahan sebak di dada. Airmata ini bagaikan begitu mudah untuk menitis jatuh. Betapa rindunya anak ini pada mamanya....
"Farah, budak-budak nie memang amat rindukan mamanya. Azim nie pulak, kalau nampak aku berbual dengan mana-mana perempuan, semuanya dipanggil mama. Farhan pula, mungkin tak paham apa maksud mati, tapi dia akan beritahu setiap orang bahawa mamanya dah mati." Mendatar sahaja suara Khairul. Di wajahnya terlakar kesedihan yang teramat sangat.
Aku hanya mendiamkan diri. Lidah ini rasanya tidak mampu untuk membalas kata-katanya. Aku takut aku akan hilang kesabaran. Aku tidak mahu menangis di hadapannya. Kami kehilangan kata-kata seketika.
"Kau tak mahu cari pengganti mama mereka?" Soalku apabila kupastikan perasaanku sudah tenang.
"Memang niat di hati itu ada. Tapi, aku masih sayangkan arwah. Masih terasa akan kehadirannya di sisiku. Lagipun aku takut kalau-kalau penggantinya nanti tidak dapat menerima anak-anak aku. Aku tak kisahkan diri sendiri, cuma aku risaukan Farhan dan Azim. Aku pun kalau boleh tak mahu mereka membesar tanpa kasih sayang seorang ibu, tapi buat masa sekarang... aku belum bersedia mencari pengganti." Khairul seperti meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya selama ini. Dia melurutkan rambutnya ke belakang. Satu sikapnya yang aku kenali jika dia berada dalam keadaan keresahan.
Tiba-tiba dia memandang wajahku dengan tajam. Kemudian pandangannya beralih pada Azim yang berada di pangkuanku. Tak lama kemudian, matanya beralih semula ke wajahku. Lama. Aku menjadi segan tiba-tiba.
"Kenapa?" Tanyaku untuk menutup rasa segan di hati. Dia pula seperti tersentak dan kemudiannya tersenyum lalu menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Nampaknya Azim suka dengan kau. Tak berenggang langsung." Balasnya lalu ketawa sedikit.
AKu hanya tersenyum senang. Kubelai-belai rambut Azim. Kata-kata Khairul tidak kubalas. Sebaliknya aku sibuk melayan pertanyaan Farhan tentang diriku. Walaupun baru berumur dua tahun setengah, tapi dia begitu petah hinggakan kadang-kadang aku tidak memahami butir katanya. Terpaksalah Khairul menterjemahkan kepada. Aku rasa sungguh bahagia hari ini. Agaknya beginilah kebahagiaan orang-orang yang sudah berkeluarga. Aku? Bilalah aku dapat merasai kebahagiaan seperti ini?
Bersambung - Bab 6 : Khairul
Bersambung - Bab 6 : Khairul
No comments:
Post a Comment