Aku melangkah lemah keluar dari kereta. Hanim beria-ia mahu menghantar aku pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatanku. Namun, aku berjaya menyakinkan dirinya bahawa aku masih mampu untuk memandu pulang sendirian. Hakikatnya aku tidak mahu biarkan dia bersua dengan ibu mertuaku. Aku tidak mahu emak membuat tanggapan yang tidak menyenangkan tentang kawanku. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini perangaiku amat berubah sekali. Aku sendiri menyedarinya. Mungkin ini akibat pembawaan bayi yang sedang kukandung.
Sambil melangkah, aku mengusap-usap perutku yang masih tidak mengalami banyak perubahan. Mungkin kerana tubuhku yang tinggi lampai, dapat menyembunyikan keadaan perutku yang sedikit membonjol. Kasihan kau anakku. Kau hadir di kala mama hampir berada di penghujung rindu. Tetapi mama tetap setia di samping papa dan abang-abangmu atau, perlukah mama memilih jalan sendiri? Mama sendiri keliru, anakku!
Sunyi sahaja rumah ini? Mana emak dan ayah? Mana pula Farhan dan Azim. Sejak kedatangan mak dan ayah, aku tidak lagi menghantar mereka kepada pengasuh untuk menjaganya. Sebaliknya emak sendiri yang menawarkan diri untuk menjaga cucu-cucunya.
Aku balik awal hari ini setelah mendapat kelulusan untuk bercuti. Jam menunjukkan angka sebelas ketika aku tiba di rumah. Pada Khairul tidak aku beritahu. Nasib baiklah hari ini aku membawa kereta sendiri lantaran Khairul terpaksa ke luar daerah selama tiga hari.
Ke mana agaknya emak dan ayah bawa cucu-cucunya. Mungkin keluar berjalan-jalan agaknya. Biarlah. Aku mahu tidur sebentar. Aku menghenyakkan badan ke sofa untuk melelapkan mata.
Apabila aku membuka mata, jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Sudah empat jam aku terlena seorang diri di ruang tamu. Kepalaku sudah berkurangan sedikit denyutannya. Tapi, keadaan di dalam rumah masih lagi sunyi. Aku mula tidak sedap hati. Bagaikan sesuatu telah terjadi.
Walaupun keadaanku masih lemah, aku gagahkan diri memanjat tangga dan menuju ke bilik Farhan dan Azim. Bilik itu disusun dengan kemas sekali. Setelah melihat keadaan di dalam bilik anak-anakku seperti biasa, aku menarik pintu. Tetapi, aku baru tersedar bahawa kereta mainan kegemaran Farhan tiada di tempatnya.
Hatiku berdetak kencang. Aku kembali membuka pintu dan kali ini aku melangkah masuk ke dalam bilik. Aku membuka almari pakaian Farhan dan Azim. Hampir kosong almari itu. Kebanyakan baju-baju Farhan dan Azim sudah tiada sedangkan baru semalam aku melipat dan menyusun ke dalam almari ini. Apa yang sudah berlaku dalam rumah ini? Ke mana mereka semua pergi? Mungkin emak dan ayah membawa mereka pulang ke kampung. Tetapi, mengapa aku tidak diberitahu.
Aku bergegas turun ke bawah dan menuju ke telefon. Dengan pantas aku menelefon nombor Khairul. Aku menunggu seketika sebelum talian disambungkan.
"Hello." Khairul menyambut panggilanku.
"Hello, abang! Farah di sini."
"Hah, sayang! Kenapa cemas saja nie?" Kedengaran suara Khairul di hujung talian.
"Abang, Farah tengok baju anak-anak macam banyak dah tak ada. Diaorang pun tak ada di rumah. Mak dan ayah pun begitu. Farah risau kalau-kalau ada benda yang berlaku pada mereka." Hampir menangis aku ketika mengadu padanya.
"Farah di mana sekarang?" Agaknya dia kehairanan. Sepatutnya aku berada di pejabat sekarang.
"Farah di rumah sekarang?" Balasku.
"Kenapa balik rumah? Ada benda yang tertinggal ke?"
"Emmm… Farah dapat mc hari ini." Jawabku sedikit gementar.
"Kenapa? Sayang sakit ke? Kenapa tak beritahu abang?" Suaranya kedengaran cemas. Hatiku mula berdebar-debar.
"Sakit sikit saja. Tekanan darah rendah." Terangku perlahan.
"Kenapa tak beritahu awal-awal. Boleh abang cancel kerja abang di sini."
"It’s okay. Don’t worry about me. Where is our childrens?" Aku semakin risaukan akan Farhan dan Azim.
"Oh, anak-anak mak dan ayah bawa balik kampung. Kebetulan ada kematian di situ. So, mereka rush balik kampung. Abang yang benarkan mak dan ayah bawa mereka balik ke sana. Ayah tak beritahu sayang ke?" Aku menarik nafas lega setelah mendengar penjelasan dari suamiku.
"Lega hati Farah dengar abang kata begitu. Ingatkan…"
"Ingatkan mak dan ayah dan larikan anak-anak?" Serkap Khairul lalu ketawa besar. Nampaknya dia mengetahui kegusaran hatiku.
"Ish… tak adalah." Aku cuba menafikan kenyataan yang timbul di fikiranku tadi.
"Emmm… sayang okay ke? Perlu tak abang balik temankan sayang?" Dia kembali menyoal tentang kesihatanku. Hatiku kembali gelisah.
"Tak mengapa. Sekarang dah lega. Alah… tak perlulah abang risau." Aku cuba menyakinkan suamiku. Aku takut dia akan menyedari perubahan diriku.
"Tapi, sampai dapat mc… mesti terukkan?"
"Taklah. Farah sendiri yang minta mc sebab malas nak ke pejabat hari ini." Dalihku lagi.
"Are you sure?" Soalnya kembali tidak puas hati.
"Yup, hundred percent!" Balasku lalu ketawa kecil.
"Okay, tiga hari lagi baru abang balik. Take care, bye sayang." Aku meletakkan ganggang telefon ke tempatnya semula. Tapi, hatiku masih gusar. Terasa akan sesuatu yang dirancangkan oleh emak. Aku tahu aku tidak sepatutnya menaruh syak wasangka yang begini. Tapi, naluriku kuat mengatakan bahawa emak seolah-olah merancang sesuatu. Tambahan pula, mereka tidak memberitahu kepadaku tentang pemergian mereka. Harap-harap apa yang aku gusarkan ini tidak akan menjadi kenyataan.
Tiba-tiba tekakku terasa mual. Isi perutku kembali bergelodak. Cepat-cepat aku menuju ke bilik air.
Bersambung - Bab 39 : Farah
No comments:
Post a Comment