Hatiku lega apabila melihat kesihatan Farhan dan Azim kembali pulih. Selera makan mereka juga semakin bertambah. Aku amat gembira dengan perubahan ini. Namun, kegembiraan ini tidak mampu untuk menutup kesedihan yang bertapak di dalam jiwaku.
Sudah puas aku mencari Farah. Dia bagaikan hilang tanpa dapat dikesan. Jejaknya juga langsung tidak dapat dikesan. Pernah juga aku menghubungi tempat kerjanya, namun jawapan yang aku terima amat menghampakan. Aku diberitahu bahawa dia telah berhenti kerja. Kadang kala terlintas juga di fikiranku untuk bertanya kepada Hanim, teman baiknya. Tetapi, aku takut dan juga malu. Takut jika aku tersilap kata dan akan menimbulkan kesangsiannya. Tambahan pula, jika Hanim tidak tahu apa yang telah terjadi di antara aku dan Farah. Malu pula jika Hanim telah mengetahuinya dan sudah tentu dia akan menuduhku macam-macam. Tapi, jika bernasib baik aku akan bertembung dengannya sewaktu menaiki lif. Kami sekadar bertanya khabar. Adakalanya juga sekadar berbalas senyum.
Aku sendiri tidak tahu samada Hanim mengetahuinya atau tidak. Riak wajahnya biasa sahaja. Tetap seperti dahulu. Namun, dia tidak pernah bertanya tentang Farah kepadaku.
"Papa..." Azim memanggilku dari biliknya. Nampaknya dia baru bangun dari tidur. Aku pergi mendapatkannya di bilik tidur. Sebaik sahaja aku menjenguknya kelihatan dia sudah duduk di birai katil. Farhan pula sedang asyik bermain permainan videonya.
"Anak papa dah bangun?" Ucapku lalu mengangkatnya dan meribanya.
"Mama mana?" Sudah acapkali soalan itu diajukan kepadaku. Setiap kali dia bangun dari tidur, ayat pertama yang keluar dari bibirnya adalah bertanyakan tentang Farah. Pelbagai jawapan yang aku berikan kepadanya sebagai helah. Namun begitu, Azim tetap menerima apa jua jawapanku tanpa banyak bicara.
"Mama kerja sayang." Jawapanku disambut dengan anggukan kecil.
"Mama kerja kat mana?" Soalnya kembali. Dia menguap seketika. Nampaknya dia masih mengantuk. Farhan pula tidak mempedulikan kami berdua, dia begitu asyik bermain permainan videonya.
"Tempat kerja mama jauh sayang." Balasku pula.
"Mama pun cakap camtu, kan bang?" Azim menoleh kepada Farhan. Aku kehairanan.
"Syhhh... kan kita dah janji ngan Auntie Mama takkan cakap pada papa. Adik dah lupa?" Jawab Farhan. Aku semakin hairan. Apa yang sedang berlaku?
"Azim dan A'an pernah jumpa mama?" Soalku berdebar-debar. Aku menatap wajah anak-anakku seorang demi seorang. Mereka tidak menjawab pertanyaanku sebaliknya masing-masing mendiamkan diri. Farhan memandang wajah Azim, begitu juga sebaliknya.
"Jawab soalan papa. Ingat, ALLAH marah kalau kita tipu." Aku mengugut mereka. Farhan kelihatan gelisah. Tumpuannya tidak lagi kepada permainan videonya. Aku pula semakin tidak sabar untuk mengetahui jawapan dari mereka berdua.
"Tapi... A'an dah janji ngan Auntie Mama. Adik pun sama." Wajah Farhan kelihatan cemas dan adakalanya seperti takut-takut.
"Auntie Mama kata, kalau A'an bagitau papa... Auntie Mama tak mau datang jumpa kami lagi." Tambah Farhan lagi. Azim pula mendiamkan diri di pangkuanku.
Nampaknya Farah datang berjumpa dengan Farhan dan Azim tanpa pengetahuanku. Sejak bila ianya berlaku? Patutlah sejak kebelakangan ini, kesihatan Farhan dan Azim semakin baik. Rupa-rupanya mereka sudah menemui 'penawar'. Farah sudah menemui mereka.
"A'an dan Azim sayang papa tak?" Soalku. Mereka cepat-cepat menganggukkan kepala. Aku tersenyum lebar.
"Ok, kalau sayangkan papa... A'an dan Azim kena ikut cakap papa tau. Nanti kalau A'an dan Azim tak mau ikut cakap papa, papa lari macam mama. Tak mau jumpa dengan A'an dan Azim lagi." Aku buat-buat seperti merajuk. Aku memasamkan mukaku. Farhan dan Azim berpandangan sesama sendiri. Masing-masing mendiamkan diri.
"Adik, camne? Nak bagitau tak?" Farhan meminta pandangan dari adiknya. Azim mengangkat bahunya.
"A'an dan Azim tak sayang papa." Ujarku lalu mengalihkan Azim dari pangkuanku dan meletakkannya ke atas katil semula. Aku pura-pura mahu keluar dari bilik mereka.
"Ok, A'an cerita." Pantas Farhan menjawab lalu menahan aku. Dia menarik tanganku. Aku tersenyum senang. Bukan susah mahu memujuk mereka berdua. Kena gayanya, mudah sahaja mereka membuka mulut.
"Auntie Mama ada datang jumpa A'an dan Azim kat rumah Mak Cik Bedah." Lancar sahaja Farhan bercerita kepadaku. Jadi, selama ini Farah datang berjumpa mereka di rumah Kak Bedah. Hatiku lega kerana aku tidak perlu lagi bersusah payah mencarinya ke sana sini. Rupanya, dia sendiri yang datang 'menyerah diri'. Tapi, mengapa Kak Bedah langsung tidak membuka mulut tentangnya?
"Selalu Auntie Mama datang jumpa Farhan dan adik?" Mereka berdua mengangguk serentak dan tersenyum senang.
"Mama dah gemuk!" Azim membuka mulut. Aku mengangkat kening kepadanya. Farah semakin gemuk? Adakah dia amat gembira dengan perpisahan kami yang tidak rasmi ini? Baru empat bulan dia tinggalkan kami, takkanlah badannya mengalami perubahan sebegitu sekali. Hairan!!!
"Gemuk macam mana tu Azim?" Aku menyoalnya kembali.
"Perut mama besar." Hah?? Perutnya besar? Apa makna semuanya ini?
"Bukanlah. Mak cik kata, ada adik dalam perut Auntie Mama. Nanti A'an dan Azim akan dapat adik baru. Bestkan adik?" Kata-kata Farhan disambut dengan gelak ketawa oleh Azim. Mereka sungguh gembira!
Baby? Adik baru? Adakah ini bermakna Farah sedang hamil? Berdasarkan kata-kata Farhan dan Azim tadi, memang sah menggambarkan Farah sedang hamil. Alhamdulillah... aku bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.
Tapi, di mana dia sekarang? Kejamnya aku membiarkan dia seorang diri dalam keadaan berbadan dua. Entah-entah sewaktu aku menghalaunya dulu, dia sudah hamil. Aku memang bukan manusia. Aku telah berlaku kejam terhadapnya. Tak mungkin dia dapat memaafkan aku. Terlalu besar kesalahanku terhadapnya. Aku sepatutnya sentiasa mendampinginya. Ini kali pertama dia hamil. Maafkan abang Farah. Abang telah menyiksa perasaanmu. Di manakah kau berada sekarang sayang?
Bersambung - Bab 49 : Khairul
No comments:
Post a Comment