Sunday, January 9, 2011

Kasih Di Hujung Rindu : Bab 10

Bab 10 - Khairul

Terdesak sangatkah aku? Pertanyaan ini sering berlegar-legar di dalam fikiranku. Kenapa aku begitu cepat mencari pengganti Linda. Dan kenapa pula Farah menjadi pilihanku bukan orang lain. Anak-anak aku pula nampaknya semakin suka pada Farah. Boleh dikatakan setiap hari mereka bertanya mengenai Farah.

"Apa yang kau menungkan tu?" Sapa Farah dari belakang. Sebenarnya aku dan Farah bersama anak-anakku datang ke taman permainan. Farhan yang mendesak mahu datang ke sini. Tapi, dia mahu Farah ikut bersama.

"Tak ada apa-apa. Mungkin penat agaknya." Balasku lalu memberikan sedikit ruang pada Farah untuk duduk di kerusi di sebelahku. Dia sedang mendukung Azim yang sedang leka menjilat aiskrim coklat di tangannya.

‘Kau tu kalau kerja, tak ingat dunia. Janganlah terlalu sibuk bekerja, nanti kau sakit, siapa nak jaga budak-budak nie." Farah memang seorang yang mengambil berat. Aku amat senang dengan sikapnya itu.

"Habis tu, cawangan aku tu baru sahaja dibuka. Kenalah kerja lebih sikit."

"Kerja.. kerja jugak. Tapi kesian aku tengok Farhan dan Azim nie. Kau cepat-cepatlah cari pengganti mama mereka. Biar mereka ini membesar dengan asuhan seorang ibu." Ujar Farah lagi sambil tangannya sibuk mengelap sekitar mulut Azim yang comot.

"Aku pun ada terfikir begitu. Tapi aku rasa masih terlalu awal. Nanti apa pula kata orang." Balasku pula sambil merenung wajahnya lama. Dia menyedari aku sedang merenungnya berpaling ke arah lain. Merona merah pipinya, mungkin malu direnungku!

"Pedulikan kata orang. Orang tak tahu kesulitan yang kau hadapi. Mereka hanya nampak luaran, dalaman siapa yang tahu. Kau saja yang tahu dan merasainya."

"Entahlah Farah. Kadang-kadang aku rasa tak ada orang yang paling layak menggantikan tempat Linda sebagai isteri dan ibu buat anak-anakku. Aku takut kalau-kalau mereka beribu tiri, nanti didera pula anak-anakku itu." Aku menyuarakan rasa hatiku padanya. Dia berpaling semula kepadaku, sekejap sahaja dan kemudiannya berpaling memerhatikan Farhan yang sedang bermain buaian di tengah-tengah taman itu.

"Tak semua ibu tiri itu kejam. Takkanlah orang terpelajar seperti kau masih dibelenggu dengan kisah-kisah seperti itu. Janganlah cari orang yang kau tak kenal hati budinya. Carilah orang yang kau sudah kenal lama. Yang kau sudah memahami dirinya. Tak elok biarkan mereka ini membesar dalam ketandusan kasih sayang ibu." Dia menarik nafas seketika. Aku hanya mendiamkan diri. Aku hanya membiarkan dia mengeluarkan pendapatnya. Seketika kemudian Farhan berlari dan menerpa ke arah Farah. Lihat, betapa manjanya anak-anakku dengannya. Bagaikan Farah itulah ibu mereka.

"Memang tiada sesiapa pun yang dapat menggantikan tempat Linda dalam hidup kau. Linda adalah wanita yang teramat istimewa di hati kau. Tapi, berilah peluang agar ada wanita lain yang dapat menyalurkan kasih sayang ibu buat Farhan dan Azim. Walaupun dia tidak sesempurna Linda, sekurang-kurangnya dia dapat menjaga dan menyayangi Farhan dan Azim bagaikan anaknya sendiri. Tapi kalau nak cari, biar mereka betul-betul memahami anak-anak kau nie. Walaupun mereka ini nakal, tapi sebenarnya mereka ini nakal disebabkan ingin menarik perhatian kita, orang tua." Begitu panjang lebar dia menasihati diriku. Saling tak tumpah seperti sikap Linda. Kalau tak, takkanlah dulu mereka berdua\ dikenali sebagai 'kembar tak seperut'.

"Cari perempuan yang memahami anak-anakku?" Aku menyoalnya kembali. Dia menganggukkan kepalanya pantas.

"Seperti kau yang begitu memahami anak-anakku?" Berubah wajahnya. Dia menundukkan wajahnya.

"Kau begitu memahami perangai anak-anakku. Lagipun Farhan dan Azim juga nampaknya begitu manja dengan kau. Bagaikan tidak boleh dipisahkan. Adakah ini bermaksud kau...."

"Khairul!!!" Belum pun sempat aku menghabiskan kata-kataku, dia memanggil namaku dengan suara yang agak keras.

"Aku.... aku.. bukannya maksudkan diriku sendiri. Tapi, aku cuma berikan ciri-ciri yang perlu ada perempuan itu jikalau mahu menjadi ibu kepada Farhan dan Azim dan juga sebagai isteri kau." Perlahan sahaja dia berkata-kata dengan sedikitpun tidak memandang wajahku.

"Tapi, semua ciri-ciri yang kau katakan itu ada pada kau. Jadi, apa salahnya kalau..."

"Please...." Sekali lagi dia memintas percakapanku. Kali ini dia sudah berdiri dengan muka yang kemeraha-merahan. Tak tahulah samada dia malu atau menahan marah.

"Aku... aku nak balik!" Tegasnya. Seketika dia menunduk dan mengucup pipi Farhan dan Azim. Kemudian dengan tergesa-gesa dia mengambil beg tangannya dan berlari-lari anak menuju ke keretanya. Farhan dan Azim terpinga-pinga melihat pemergiaan 'mama' mereka. Begitu jua dengan diriku.

Bersambung - Bab 11 : Farah

2 comments:

  1. akak belum sempat nak baca..
    Insya Allah akan baca dari awal

    ReplyDelete
  2. takpe kak.. take your time.. saje nak share ngan kengkawan.. saya kekadang ada jugak baca novel kat tokeikedai.com..

    ReplyDelete